Teks Pembentangan Sempena Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat

TEKS PEMBENTANGAN
OLEH:
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Sempena
MESYUARAT KHAS PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KE-14 DEWAN RAKYAT

20 JANUARI 2022 | 10.00 Pagi



Tan Sri Yang di-Pertua,

1. Kerajaan menzahirkan perasaan dukacita terhadap bencana alam yang telah melanda negara bermula penghujung tahun 2021 disebabkan oleh taburan hujan yang luar biasa. Bencana banjir dan tanah runtuh telah berlaku di beberapa buah negeri iaitu negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan beberapa buah negeri lain.

2. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pada 1 November 2021, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengumumkan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) di Malaysia akan bermula dari 3 November 2021 hingga Mac 2022. MET Malaysia menjangkakan sebanyak 4 hingga 6 episod hujan lebat berterusan akan berlaku dalam tempoh tersebut.

3. Sehingga 11 Januari 2022 sebanyak 4 episod hujan lebat berterusan telah berlaku:

(i) 10 November 2021 (episod 1). Negeri-negeri yang terlibat banjir adalah Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Johor, Melaka dan Perak;

(ii) 2 hingga 4 Disember 2021 (episod 2). Negeri-negeri yang terlibat banjir adalah Terengganu, Kelantan, Johor dan Sarawak;

(iii) 12 hingga 19 Disember 2021 (episod 3). Negeri-negeri yang terlibat banjir adalah Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor, Sabah, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan

(iv) 27 Disember 2021 hingga 4 Januari 2022 (episod 4). Negeri-negeri yang terlibat banjir adalah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor, Terengganu dan Sabah.

PERSEDIAAN YANG TELAH DIBUAT SEBELUM MTL 2021/2022

Tan Sri Yang di-Pertua,

4. Di kesempatan ini, saya ingin menjelaskan sekali lagi bahawa persediaan menghadapi MTL 2021/2022 adalah berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20. Berdasarkan Arahan ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada setiap tahun akan merancang persediaan menghadapi musim MTL.

5. Pada kali ini, saya sendiri telah mempengerusikan Mesyuarat JPBP pada 13 September 2021 yang dihadiri oleh Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) serta wakil-wakil agensi persekutuan dan juga negeri. Agenda utama mesyuarat ini adalah pembentangan mengenai kesiapsiagaan bagi menghadapi MTL 2021/2022.

6. Mesyuarat juga bersetuju supaya peruntukan sebanyak RM9.5 juta daripada tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) disediakan bagi kesiapsiagaan operasi MTL 2021/2022 dengan agihan pecahan seperti berikut:

(i) RM100,000 diagihkan kepada setiap agensi tindak balas iaitu ATM, PDRM, JBPM, KKM, JKM, APM dan RELA;

(ii) RM20,000 bagi setiap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di 14 Negeri; dan

(iii) RM50,000 bagi setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

7. Lanjutan daripada mesyuarat ini, pada 5 Oktober 2021, NADMA telah mengaturkan sesi libat urus YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) selaku Menteri yang bertanggungjawab terhadap pengurusan bencana negara bersama semua Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi JPBN. Sesi ini menekankan kepada keperluan kesiapsiagaan semua jentera pengurusan bencana di setiap peringkat untuk menghadapi MTL 2021/2022. Inilah peranan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan sebagai mengingatkan Kerajaan Negeri untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

8. Selain itu, NADMA juga telah mengambil tindakan-tindakan seperti berikut:

(i) menyelaras dan mengadakan latih amal serta simulasi pengurusan bencana yang melibatkan agensi-agensi tindak balas, kerajaan negeri, pejabat-pejabat daerah dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO);

(ii) mengeluarkan arahan pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri dan Daerah pada 2 November 2021 kepada semua Pengerusi JPBN (Setiausaha Kerajaan Negeri) sejurus selepas pengumuman MET Malaysia pada 1 November 2021 bahawa permulaan MTL dari 3 November 2021 hingga bulan Mac 2022 bagi memastikan penyelarasan tindak balas operasi bencana di setiap peringkat berjalan lancar;

(iii) mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) kepada semua agensi tindak balas dari semasa ke semasa berdasarkan amaran terkini yang dikeluarkan oleh MET Malaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS); dan

(iv) hebahan amaran banjir melalui media massa dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

KRONOLOGI BANJIR LUAR BIASA DI SELANGOR

Tan Sri Yang di-Pertua,

9. Sebagaimana Ahli-Ahli Yang Berhormat sedia maklum, MET Malaysia telah pun mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi Kategori Merah iaitu kategori Bahaya pada Sabtu, 18 Disember 2021, susulan hujan lebat berterusan di kebanyakan wilayah di Semenanjung Malaysia.

10. Angin MTL yang sepatutnya bertiup ke Laut Andaman telah melalui Selat Melaka ekoran sistem tekanan rendah di perairan tersebut. Keadaan ini telah mencetuskan hujan lebat yang luar biasa terutamanya di negeri Selangor.

11. MET Malaysia telah mengeluarkan sebanyak 6 kali amaran cuaca signifikan yang boleh mengakibatkan hujan lebat berterusan. Namun, amaran cuaca ini tidak diendahkan oleh sesetengah pihak yang terlibat secara langsung dalam pengurusan bencana kerana andaiannya hanya negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia yang akan terjejas akibat banjir yang dibawa oleh hujan lebat berterusan akibat luruan monsun. Persediaan bagi menghadapi musim tengkujuh juga lebih banyak tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan banjir luar biasa di Selangor yang berlaku ini adalah di luar jangkaan banyak pihak.

12. Banjir di negeri Selangor yang bermula pada hari 18 Disember 2021 telah berlaku akibat daripada jumlah purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 milimeter pada hari tersebut yang menyamai jumlah purata taburan hujan bagi tempoh sebulan. Pada masa yang sama, kejadian air pasang telah menyebabkan banjir ini bertambah lebih buruk.

13. Berikutan keadaan banjir luar biasa yang tidak disangka ini, situasi kelam kabut yang berlaku pada hari pertama pengurusan banjir di Selangor telah mengakibatkan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi kerana berlakunya kompleksiti banjir bandar (urban flooding). Malah pengurusan banjir di Selangor masih tidak menunjukkan perubahan yang ketara pada hari kedua dan ketiga sehingga menyebabkan ketidakpuasan hati mangsa-mangsa berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.

14. Menyedari situasi banjir yang kritikal di Selangor, pada malam Sabtu 18 Disember 2021 tersebut, saya telah bergegas ke Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bagi mendapatkan maklumat dan mengetahui situasi sebenar di lapangan melalui penerangan oleh Ketua Pengarah NADMA. Di sana, saya telah mengambil tindakan segera dengan mengaktifkan talian hotline bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir melalui NDCC.

15. Saya sendiri telah menghubungi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Panglima Tentera Darat (PTD) dan Ketua Polis Negara (IGP) bagi menggerakkan anggota dan aset tambahan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari negeri berhampiran ke Negeri Selangor bagi membantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta lain-lain agensi yang sedang giat melaksanakan operasi menyelamat. Ini kerana sebahagian besar aset seperti bot penyelamat telah siap sedia ditempatkan di negeri-negeri lain khususnya Pantai Timur yang dijangkakan berisiko berdepan dengan banjir besar.

16. Susulan daripada komunikasi tersebut, PAT telah mengarahkan Panglima 11 Briged untuk serta-merta mengatur gerak anggota dan aset tambahan ke kawasan yang terjejas. IGP juga telah mengarahkan tambahan anggota dan aset dari negeri-negeri yang berhampiran untuk membantu pasukan sedia ada.

17. Sejurus selesai di NDCC, saya telah melakukan tinjauan situasi banjir di Kampung Bukit Lanchong, Putra Heights sehingga lewat malam.

18. Keesokannya pada Ahad 19 Disember 2021, saya juga telah melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Klang dan PPS Sekolah Kebangsaan Johan Setia.

Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

19. Berikutan kelewatan operasi menyelamat dan penghantaran bantuan yang diselaraskan oleh JPBN dan JPBD di Selangor sehingga mendapat reaksi negatif daripada rakyat, saya telah mengambil keputusan untuk mempengerusikan beberapa siri mesyuarat:

(i) Mesyuarat Khas pada 19 Disember 2021 di Pejabat Daerah dan Tanah Klang yang turut dihadiri oleh YAB Menteri Besar Selangor dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengerusi JPBN) bagi mendapatkan penerangan situasi semasa banjir dan isu-isu yang memerlukan tindakan segera;

(ii) Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara pada 20 Disember 2021 bersama anggota Kabinet dan Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian di Parlimen bagi menyelaras tindakan-tindakan menyelamat dan pemberian bantuan kepada mangsa dengan menggerakkan anggota dan aset tambahan ke kawasan terjejas banjir bagi memastikan rakyat diselamatkan serta ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) secepat mungkin; dan

(iii) Mesyuarat Khas Bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 21 Disember 2021 bagi mendapatkan maklum balas semua negeri berhubung isu banjir.

20. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, bermula pada petang Sabtu, 18 Disember 2021, PDRM, JBPM, ATM dan APM sebenarnya telahpun menggerakkan pasukan masing-masing bagi memindahkan mangsa, namun menghadapi kesukaran kerana suasana yang semakin gelap dan terdapat ramai mangsa yang masih enggan meninggalkan kediaman mereka ketika itu.

21. Kejadian banjir yang berlaku ini melebihi kemampuan jentera tindak balas JPBN Selangor. Selangor juga jarang berdepan dengan banjir besar luar biasa seperti kali ini.

22. Biarpun amaran hujan berterusan telah dikeluarkan, impak taburan hujan yang tinggi ini, sangat tidak diduga oleh semua pihak. Sebagai contoh, meskipun penduduk di Taman Sri Muda, Shah Alam sudah biasa berdepan banjir kilat akibat hujan lebat namun mereka tidak menyangka air akan naik begitu cepat dan tinggi pada kali ini.

23. Agensi penyelamat juga menghadapi kesukaran mendapatkan kerjasama penduduk untuk berpindah dengan segera. Rata-rata mangsa memberikan alasan hendak menyelamatkan harta benda, jarak PPS yang agak jauh dari rumah, bimbang rumah dimasuki pencuri serta bimbang risiko jangkitan COVID-19 di PPS. Berikutan itu, apabila paras air naik secara mendadak, ramai penduduk terperangkap dan memerlukan pertolongan segera.

24. Namun demikian, kerja-kerja menyelamat menjadi lebih sukar berikutan kenderaan yang terperangkap di jalan utama sehingga menghalang kenderaan penyelamat memasuki kawasan perumahan sehingga ada keadaan yang mana aset-aset menyelamat terpaksa dipikul ke kawasan terlibat. Selain itu, bot-bot penyelamat juga sukar untuk bergerak di dalam kawasan banjir kerana tersangkut pada kenderaan yang tenggelam di kawasan terjejas. Kelewatan kerja-kerja menyelamat juga adalah disebabkan alamat rumah yang diberikan oleh pemanggil tidak dapat dikenal pasti kerana sudah ditenggelami air.

25. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, sokongan aset dan kekuatan anggota penyelamat serta petugas dari lain-lain negeri pula berhadapan dengan kesukaran kerana tidak arif dengan selok belok kawasan ditenggelami banjir dan memerlukan jurupandu.

26. Selain daripada itu, sekolah dan fasiliti yang telah diwartakan sebagai PPS pula turut ditenggelami air. Justeru, PPS ad hoc diwujudkan seperti penggunaan surau, masjid malahan khemah sementara juga telah didirikan dengan kadar segera bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang diselamatkan.

27. Ketiadaan bekalan elektrik dan infrastruktur komunikasi yang terputus akibat banjir, menyebabkan penduduk tidak dapat menghubungi agensi penyelamat untuk bantuan. Inilah antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan penyelamat dan petugas di lapangan dalam operasi bencana yang luar biasa ini.

Tan Sri Yang di-Pertua,

28. Pada 26 Disember 2021, saya telah mengarahkan satu task force ditubuhkan bertujuan untuk menyegerakan operasi pembersihan dan penyampaian bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas di samping persediaan gelombang kedua banjir. Task force ini yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan diurusetiakan oleh NADMA, mempunyai 5 kluster utama seperti berikut:

(i) Kluster Penyaluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang diterajui oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM);

(ii) Kluster Komunikasi Strategik yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM);

(iii) Kluster Pemulihan Infrastruktur yang diterajui oleh Jabatan Kerja Raya (JKR);

(iv) Kluster Pemulihan Kelestarian dan Kebersihan Awam yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA); dan

(v) Kluster Pemulihan Kesihatan Awam yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

29. Perlu saya tekankan di sini bahawa banjir di Selangor merupakan suatu kejadian yang luar jangka dan berikutan kelemahan yang telah dikenal pasti di peringkat negeri dan daerah, menyebabkan saya terpaksa campur tangan. Umum mengetahui pada tempoh yang sama, terdapat beberapa negeri lain yang turut dilanda banjir malah ada negeri yang dilanda banjir pada skala yang lebih buruk seperti negeri Pahang. Namun, disebabkan jentera pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah adalah teratur dan bersedia, bencana ini dapat dikendalikan dengan baik walaupun terdapat beberapa cabaran.

30. Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20 berkaitan dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara dengan jelas menggariskan peranan dan tanggungjawab setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat. Dari segi Perintah dan Kawalan, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dikendalikan oleh Ketua Polis Daerah dan Pegawai Bomba Daerah masing-masing bertindak sebagai Komander dan Timbalan Komander Operasi Bencana manakala Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) perlu dibuka oleh urus setia Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat yang berkaitan.

31. Pengerusi JPBD bersama-sama dengan Komander Operasi bencana bertanggungjawab membuat penilaian mengenai bencana yang berlaku dan keupayaan agensi-agensi di peringkat daerah dalam mengendalikan bencana tersebut. Setelah penilaian dibuat dan tindakan awalan diambil tetapi didapati bahawa kejadian bencana tersebut tidak dapat ditangani di peringkat daerah, JPBD hendaklah memaklumkan kepada JPBN dan seterusnya JPBP untuk mendapatkan bantuan segera.

TINDAK BALAS TERHADAP SITUASI BANJIR MTL 2021/2022

Tan Sri Yang di-Pertua,

32. Sejak MTL 2021/2022 bermula, PKOB Pusat telah diaktifkan. Mulai 18 Disember 2021 sehingga hari ini, PKOB Pusat beroperasi 24 jam sehari dengan kehadiran wakil-wakil agensi (Liaison Officer) secara full manning. Selain itu, tindakan-tindakan yang telah diselaraskan PKOB Pusat antara lain mengadakan Mesyuarat Penyelarasan secara harian melibatkan semua PKOB Negeri, agensi- agensi penyelamat dan teknikal. Maklumat dan data harian daripada mesyuarat ini dijadikan panduan kepada Bilik Gerakan PKOB Pusat (NDCC) untuk penyelarasan segera semua agensi serta PKOB Negeri dan Daerah.

33. Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah mengambil tindakan segera bagi penyediaan makanan dan keperluan kepada mangsa- mangsa yang berpindah ke PPS yang diwartakan mahupun yang dibuka secara ad hoc.

34. Di samping itu, NADMA telah mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dalam membantu operasi tindak balas bencana di lapangan. Pasukan pemantauan iaitu NADMA Emergency Support Team (NEST) turut diatur gerak ke lapangan untuk membantu tindakan strategik dan memudah cara pengurusan di negeri dan daerah ketika bencana.

35. Jabatan Kerja Raya (JKR) dari semasa ke semasa melaporkan maklumat penutupan jalan serta peta/pelan laluan alternatif. Bagi situasi jambatan runtuh, JKR bersama pihak ATM dan NADMA melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera bagi kawasan yang terputus hubungan melalui pemasangan jambatan bailey.

36. Kerajaan juga telah menyediakan talian hotline bagi memudahkan aduan dan pertanyaan berkaitan banjir melalui NDCC dan MyGCC. Selain itu, nombor perhubungan PKOB Negeri dan Daerah juga telah dimuat naik ke Portal NADMA dan di media-media sosial.

STATISTIK MANGSA BANJIR

Tan Sri Yang di-Pertua,

37. Berdasarkan maklumat daripada JKM, secara keseluruhannya sejak MTL 2021/2022 bermula, seramai 38,113 keluarga telah dipindahkan ke 1,112 buah PPS yang melibatkan 136,030 mangsa.

38. Meskipun MTL 2021/2022 masih belum tamat (dijangka berakhir pada Mac 2022), pada ketika ini, semua PPS di seluruh negara telah ditutup sepenuhnya tetapi sentiasa bersedia pada sebilang masa sekiranya perlu dibuka semula.

39. Manakala PDRM pula telah melaporkan sebanyak 55 kes kematian akibat bencana banjir luar biasa ini yang melibatkan 40 orang lelaki dewasa, 12 orang perempuan dewasa, 2 orang kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Seramai 2 orang mangsa dilaporkan masih hilang.

40. Saya ingin merakamkan ucapan takziah serta menzahirkan rasa simpati yang amat mendalam terhadap mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat bencana ini yang turut mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan kediaman serta harta benda.

BANTUAN KERAJAAN KEPADA MANGSA BANJIR

Tan Sri Yang di-Pertua,

41. Bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa-mangsa banjir kali ini, pada 29 Disember 2021, saya telah mengumumkan bantuan Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion seperti berikut:

(i) Bantuan Wang Ihsan (BWI)

(a) sehingga 19 Januari 2022, sejumlah RM125.504 juta telah disalurkan menggunakan tabung KWABBN kepada negeri-negeri yang terjejas bagi tujuan pengagihan BWI berjumlah RM1,000 kepada setiap KIR; dan

(b) sehingga 18 Januari 2022, bagi mangsa-mangsa yang berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah sebanyak 97.3% daripada bilangan KIR yang layak bagi gelombang pertama banjir (meliputi 8 buah negeri). Manakala prestasi pengagihan bagi gelombang kedua adalah sebanyak 57.3% meliputi negeri Terengganu, Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Sabah dan Johor. Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS, prestasi pengagihan adalah sebanyak 50.8%.

(ii) Bantuan Pembelian Keperluan Asas (BPKA).
NADMA telah menyalurkan RM25 juta kepada ICU menggunakan tabung KWABBN bagi tujuan pengagihan bantuan ini kepada KIR yang layak. Bantuan ini telah mula diberikan sejak 8 Januari 2022. Peruntukan tambahan diberikan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan semasa.

(iii) Bantuan Membina dan Membaik Pulih Rumah

(a) Kategori 1. Bantuan pembaikan ini berjumlah kurang RM5,000 menggunakan tabung KWABBN yang diberikan secara tunai kepada KIR yang layak. Ia diselaraskan oleh ICU dengan kerjasama agensi- agensi teknikal dan Kerajaan Negeri;

(b) Kategori 2. Bantuan pembaikan ini berjumlah antara RM5,000 ke RM15,000. Kategori Bandar dilaksanakan oleh KPKT manakala Kategori Luar Bandar dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB); dan

(c) Kategori 3. Bantuan pembinaan rumah baharu akibat kemusnahan keseluruhan berjumlah RM56,000 untuk sebuah unit. Kategori Bandar dilaksanakan oleh KPKT manakala Kategori Luar Bandar dilaksanakan oleh KPLB.

(iv) Baucar Diskaun Pembelian Alat Elektrik & Rebat Bil Elektrik Bulan 12/2021. Bantuan berjumlah RM500 bagi setiap KIR yang layak.

(v) GLIC/GLC Disaster Recovery Network (GDRN). Sumbangan sebanyak RM139.2 juta bagi membantu menyediakan keperluan asas kepada KIR yang terkesan.

(vi) Pinjaman Mikro BSN Untuk Isi Rumah. Pinjaman tanpa faedah sehingga RM10,000 dengan 6 bulan moratorium serta bayaran balik dalam tempoh 3 tahun.

(vii) Pinjaman TEKUN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Pinjaman maksimum RM100,000 (Pinjaman adalah tanpa faedah bagi perusahaan mikro sehingga RM10,000).

(viii) Kemudahan Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS. Disediakan oleh Bank Negara Malaysia. Pinjaman maksimum RM500,000.

(ix) Moratorium Pinjaman Mangsa Banjir. Permohonan moratorium sehingga 6 bulan bagi pinjaman sedia ada.

42. Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, jumlah RM1.4 bilion ini adalah bantuan secara terus oleh Kerajaan kepada mangsa-mangsa banjir yang terkesan. Selain daripada jumlah ini, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan bagi pembaikan infrastruktur, kerosakan dan sebagainya yang jauh melebihi nilai tersebut. Pihak Kerajaan sedang membuat penilaian bagi semua kerja-kerja yang dimaksudkan ini.

PERKEMBANGAN KERJA-KERJA PEMBERSIHAN & PEMBAIKAN INFRASTRUKTUR

Tan Sri Yang di-Pertua,

43. Sehingga 18 Januari 2022, secara keseluruhannya sebanyak 99.67% telah siap dilaksanakan bagi kerja pembersihan Fasa 1 yang melibatkan 6 buah negeri iaitu Johor, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Manakala 100% bagi Fasa 2 yang melibatkan 2 buah negeri sahaja iaitu Negeri Sembilan dan Melaka telah dibersihkan. Jumlah sisa terkumpul yang dibersihkan bagi Fasa 1 dan 2 adalah sebanyak 85,516 tan.

44. Sehingga 11 Januari 2022, semua kawasan yang terjejas bekalan elektrik telah disambung semula. Sehingga 19 Januari 2022, sebanyak 1,058 dari 1,066 infrastruktur komunikasi atau 99% daripada jumlah keseluruhan lokasi infrastruktur komunikasi telah diperbaiki.

45. Dalam pada itu, terdapat kerosakan infrastruktur awam, premis- premis Kerajaan, kerugian perniagaan, kediaman rakyat dan lain-lain kerosakan sedang dinilai oleh agensi berkaitan. Setakat ini, sebanyak 2,180 unit pencawang elektrik, 1,066 unit menara komunikasi, 5 lokasi jambatan runtuh/rosak dan 61 lokasi jalan telah mengalami kerosakan.

CABARAN PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Tan Sri Yang di-Pertua,

46. Berdasarkan situasi pengurusan bencana yang telah berlaku ini, Kerajaan telah mengenal pasti tiga (3) cabaran utama yang perlu diberi perhatian untuk diperbaiki dan ditambah baik dengan segera iaitu:

(i) Pemahaman Terhadap Arahan MKN No. 20

Saya berpandangan bahawa masih terdapat kelemahan dari segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi berkaitan di peringkat pusat, negeri dan daerah serta badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan bukan Kerajaan berkaitan tanggungjawab mereka di bawah Arahan MKN No. 20 di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana;

(ii) Kelemahan Perintah Dan Kawalan

(a) ketiadaan NADMA di negeri dan daerah menyukarkan koordinasi secara terus dengan agensi-agensi di lapangan. Kerjasama rapat pelbagai pihak seperti kerajaan negeri dan kerajaan tempatan penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana negara pada tahap optimum; dan

(b) struktur organisasi sedia ada juga membataskan keupayaan NADMA untuk menyelaras tindakan pengurusan bencana yang melibatkan penduduk setempat, badan-badan bukan Kerajaan dan kerajaan tempatan. Kekangan ini menyebabkan NADMA tidak dapat menguruskan bencana secara terus di peringkat negeri dan daerah.

(iii) Kelemahan Pengurusan Maklumat Dalam Pengurusan Bencana

(a) pengurusan bencana negara sangat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan. Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisaan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara; dan

(b) penyaluran maklumat dengan lebih pantas dan tepat kepada agensi-agensi tindak balas dan mangsa- mangsa banjir masih perlu diperbaiki.

PENAMBAHBAIKAN PENGURUSAN BENCANA

47. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, saya telah mengarahkan agensi yang bertanggungjawab supaya mempercepatkan pembangunan Fasa Ke-2 Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meliputi 38 lembangan sungai utama seluruh negara bagi membolehkan ramalan awal banjir yang lebih tepat dikeluarkan.

48. Dari segi hebahan kepada orang awam, kaedah-kaedah terbaik dan terpantas untuk mengeluarkan amaran awal dan arahan bersedia khususnya kepada penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir perlu ditambah baik, misalnya menggunakan aplikasi WhatsApp, push notification melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi. Penghasilan visual simulasi banjir, infografik dan sebagainya juga perlu diberi perhatian yang boleh disebarluaskan melalui media massa dan media sosial.

49. Bagi penyediaan makanan kepada mangsa banjir pula, penggunaan teknologi retort ataupun makanan sedia dimakan (meals ready to eat) untuk diedarkan kepada mangsa banjir kerana kaedah pembungkusan tersebut lebih tahan lama dan kalis air.

50. Pengerusi dan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap peringkat perlu mahir dan memainkan peranan masing-masing selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20. Sudah tiba masanya kita juga memperkasa peranan dan sumbangan organisasi masyarakat sivil (civil society organisation, CSO) dalam pengurusan bencana serta mengalu-alukan penglibatan mereka. Penglibatan CSO secara terselaras dapat melancarkan lagi proses penyampaian bantuan kepada mereka yang terjejas.

51. Selain itu, pemerkasaan komuniti perlu dipertingkatkan lagi bagi mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan terhadap bencana. Peranan setiap ahli komuniti sebagai first responder apabila berlaku sebarang bencana perlu diterapkan dan bukan hanya bergantung kepada agensi penyelamat semata-mata.

LANGKAH PENYELESAIAN JANGKA PANJANG

Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

52. Aspek pengurangan risiko bencana (Disaster Risk Reduction – DRR) juga tidak boleh dipandang remeh. DRR perlu ditambahbaik secara “whole of society approach” dan diterapkan di dalam segenap aspek meliputi pembangunan, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya. Ini kerana pengurusan bencana adalah urusan semua pihak. Komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (Communication, Education and Public Awareness – CEPA) merupakan kunci yang perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membentuk budaya perkongsian tanggungjawab, termasuk dalam DRR.

53. Selain itu, pihak berkuasa tempatan perlu sentiasa memainkan peranan seperti memastikan saluran longkang monsun khususnya di bandar dan pinggir bandar sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak tersumbat dengan sampah sarap. Ini bagi mengurangkan risiko berlakunya banjir kilat yang juga boleh membawa kerugian akibat kerosakan harta benda.

54. Saya melihat bencana bukan sahaja daripada aspek kerosakan yang dibawa, tetapi juga daripada sudut positif di mana ianya adalah peluang untuk kita belajar, mengambil pengajaran serta iktibar agar kita lebih bersedia dan berdaya tahan terhadap bencana pada masa hadapan. Saya juga telah mengarahkan NADMA mempercepatkan penggubalan Akta Pengurusan Bencana.

55. Selain daripada itu, saya selaku Pengerusi Jawatankusa Pengurusan Bencana Pusat akan memanggil mesyuarat yang melibatkan Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, Setiausaha- Setiausaha Kerajaan Negeri serta wakil-wakil Kerajaan Negeri untuk kita membuat perancangan jangka panjang yang menyeluruh bagi mengatasi masalah banjir.

PENUTUP

Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

56. Sebelum mengakhir ucapan, saya ingin memaklumkan juga bahawa bagi butiran terperinci mengenai pengurusan bencana akan diterangkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), YB Menteri Kewangan akan memberikan butiran jelas mengenai bantuan kewangan yang disediakan oleh Kerajaan dan akhir sekali YB Menteri Alam Sekitar dan Air akan memberikan penerangan mengenai pelan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirancangkan.

57. Akhir kata, ingin saya tekankan bahawa pengurusan bencana adalah tanggungjawab semua pihak dari peringkat komuniti sehinggalah Kerajaan Persekutuan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan penting dalam menghulurkan bantuan bukan sahaja daripada segi kewangan dan material, malahan bantuan sokongan psikososial yang sangat diperlukan oleh mangsa banjir untuk bangkit semula dan meneruskan kehidupan. Saya amat terharu melihat semangat Keluarga Malaysia yang telah disemai bersama di waktu-waktu sukar ketika ini. Inilah Keluarga Malaysia, keluarga kita.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.