Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Penubuhan Yayasan MYSDG dan Tabung Amanah MYSDG

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PENUBUHAN YAYASAN MYSDG
DAN
TABUNG AMANAH MYSDG

27 JANUARI 2022 | 2.30 PETANG
DEWAN UTAMA, KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

SALUTASI

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana di atas limpah dan rahmat-Nya, kita semua dapat berkumpul pada hari ini dalam majlis perasmian Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG.

2. Saya juga amat berbesar hati dan mengucapkan ribuan terima kasih kerana kesudian mengundang saya untuk menyempurnakan majlis pada petang ini.

3. Dana Amanah MySDG merupakan koloborasi antara kerajaan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia yang menyediakan sebuah platform bagi menghimpunkan pelbagai sumbangan bagi menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030).

4. Matlamatnya antara lain bertujuan untuk membasmi semua kategori kemiskinan, memerangi ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada siapa pun dalam Keluarga Malaysia terpinggir daripada arus pembangunan.

5. Manakala, penubuhan Yayasan MySDG pula mampu menarik lebih banyak sumbangan bagi melaksanakan pelbagai program berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan Agenda 2030 tercapai. Insya-Allah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesaksamaan dari segi kemajuan sosio-ekonomi bagi seluruh Keluarga Malaysia. Ini merangkumi konsep pembangunan untuk semua, termasuklah menangani jurang kekayaan dan pendapatan, serta bagi menuju ke arah sebuah negara yang bersatu, makmur dan berintegriti.

7. Dengan pertumbuhan saksama setiap rantaian nilai, kelas, komuniti dan geografi, matlamat ini dijangka mewujudkan keharmonian, kestabilan dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan Keluarga Malaysia menjelang tahun 2030.

8. Justeru, SDG bukanlah perkara baharu di negara ini kerana telah diterima sejak 2015 dan akan terus dijajarkan serta diintegrasikan dengan pelbagai proses dan dasar yang telah dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu.

9. Pada masa yang sama, kerajaan akan terus menekankan dasar pertumbuhan inklusif yang merupakan teras kepada matlamat pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Berlandaskan kepada SDG, saya yakin pembangunan negara akan bertambah baik dan Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih teguh, berdaya tahan, aman dan makmur, disulami oleh keterangkuman bagi setiap lapisan masyarakat.

11. SDG juga akan terus diintegrasikan sepenuhnya di dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara. Malah, SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara, bermula dengan Rancangan Malaysia Ke- Sebelas (RMK-11).

12. Melalui penjajaran penuh SDG ini, kerajaan dapat memantau segala kemajuan berkenaan usaha ini dengan lebih berkesan. Pada masa yang sama, penggemblengan sumber untuk menyokong SDG juga dapat dipastikan.

13. Kerajaan juga telah membangunkan satu pangkalan data SDG secara dalam talian – disokong oleh satu rangka kerja institusi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

14. Sebagai salah satu daripada 193 negara yang telah menyertai Agenda 2030 pada tahun 2015, Malaysia telah mengemukakan dua Laporan Voluntary National Review kepada PBB.

15. Laporan terkini mengenai pencapaian SDG itu telah dibentangkan pada Ogos 2021 yang lalu. Berdasarkan laporan tersebut, Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pembangunan SDG yang meliputi pelbagai aspek.

16. Namun demikian, masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan, terutamanya bagi SDG yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan golongan rentan serta miskin tegar.

17. Dengan penjajaran sepenuhnya yang dilaksanakan dalam bajet tahunan kerajaan, kini kita dapat mengenal pasti jurang pembiayaan untuk mencapai aspirasi negara berkenaan SDG.

18. Saya percaya, Yayasan MySDG dan Dana Amanah MySDG akan dapat mengisi jurang ini, dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian Agenda 2030.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Semenjak dua tahun lalu, seluruh dunia telah digemparkan dengan pandemik COVID-19 sehingga telah menjejaskan pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada impak jangka panjang atau bersifat kekal. Dalam hal ini, Malaysia juga tidak terkecuali.

20. Situasi ini disukarkan lagi dengan bencana banjir yang melanda negara baru-bari ini, yang menjejaskan kehidupan Keluarga Malaysia di beberapa negeri yang bukan sahaja kehilangan bukan sahaja harta benda, tetapi juga orang tersayang.

21. Saya berharap perkara ini dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar.

22. Kita perlu sedar bahawa betapa pentingnya SDG sebagai paksi dalam semua perancangan dan dasar, terutamanya dalam menangani isu pembangunan yang tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar. Ini perlu diutamakan, lebih-lebih lagi bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang pada masa hadapan.

23. Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi – sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. Ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan.

24. Kerajaan tidak mampu untuk menangani perkara ini secara bersendirian. Sokongan padu amat diperlukan daripada semua pihak, selari dengan pendekatan senegara terutamanya apabila kita merujuk kepada SDG.

25. Dalam hal ini sektor perniagaan, institusi kewangan dan masyarakat perlu bersama-sama menyumbang dan turut serta dalam melengkapi usaha kerajaan mencapai matlamat SDG menjelang 2030.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Pada petang ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk menjemput seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira sektor swasta, NGO, CSO atau individu di dalam dan di luar negara, untuk sama-sama menyumbang kepada Dana Amanah MySDG.

27. Sebagai langkah pertama, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa sumbangan kepada dana akan menerima pengecualian cukai penuh sehingga 10% daripada jumlah pendapatan tahunan keseluruhan.

28. Saya berharap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif yang bersejarah ini. Saya berterima kasih kepada PBB atas bantuan dan kerjasama yang diberikan, terutamanya dalam mempromosikan inisiatif ini kepada penyumbang antarabangsa yang sentiasa yakin dengan usaha dan aspirasi Malaysia dalam mencapai matlamat ini.

29. Akhir kata, saya berharap kerjasama yang lebih erat dan utuh antara kerajaan dan PBB serta semua pihak yang terlibat akan terus terjalin.

30. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya merasmikan PENUBUHAN YAYASAN MYSDG dan TABUNG AMANAH MYSDG.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.