Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Pameran Tahunan PKS-SMIDEX 2021 “PMKS:Bangkit Kembali!”

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PERASMIAN PAMERAN TAHUNAN PKS – SMIDEX 2021
“PMKS: BANGKIT KEMBALI!”
7 DISEMBER 2021 | 10.00 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, dapat kita bertemu dan bersama-sama di Majlis Perasmian Pameran Tahunan PKS – SMIDEX 2021 pada pagi ini.

2. Tahniah diucapkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang melalui agensinya, SME Corp. Malaysia kerana telah merealisasikan pelaksanaan inisiatif SMIDEX 2021 yang dilaksanakan buat kali yang ke-21 dan pertama kalinya secara hibrid.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Sebelum saya melangkah masuk ke dalam dewan ini, saya tertarik apabila melihat beberapa produk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dipamerkan di sepanjang “Gallery Walk”. Ada syarikat-syarikat PMKS ini yang telah berjaya membekalkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.

4. Pencapaian-pencapaian seperti ini menjadi satu penunjuk penting bagi menonjolkan kejayaan PMKS tempatan dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti, bukan sahaja memenuhi permintaan tempatan malah permintaan pasaran antarabangsa. Kepada semua PMKS yang hadir pada hari ini, syabas dan tahniah saya ucapkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Betullah kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Siapa sangka, bermula dengan sebuah industri yang kecil, PMKS telah menjadi pemangkin kepada perubahan dan perkembangan ekonomi negara sejak bertahun lamanya.

6. Jika pada tahun 2010, sumbangan PMKS kepada KDNK berjumlah RM298 bilion namun pada 2020, jumlah ini telah meningkat 72% kepada RM512 billion. Kini, PMKS juga memberi peluang pekerjaan kepada 7.3 juta pekerja dan menyumbang RM118 bilion kepada eksport negara.

7. Kerajaan akur bahawa sektor PMKS merupakan salah satu kumpulan yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan 95.3% mengalami penurunan jualan secara mendadak dalam tempoh awal pembendungan.

8. Hampir dua tahun dunia menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi akibat pandemik COVID-19. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah melaporkan bahawa ekonomi global mencatat pertumbuhan negatif sebanyak 3.1% pada tahun 2020 dan Malaysia turut terkesan dengan pertumbuhan negatif 5.6% pada tahun yang sama.

9. Sejak Mac 2020, sejumlah RM196 bilion telah diperuntukkan untuk membantu PMKS dalam menangani kesan wabak COVID-19. Langkah-langkah tersebut telah dan sedang dilaksanakan melalui sepuluh pakej ekonomi yang komprehensif termasuk dua pakej belanjawan tahunan.

10. Pakej-pakej rangsangan ini bertujuan menangani permasalahan yang dihadapi PMKS terutamanya dari segi pembiayaan, aliran tunai, pengekalan pekerja, pembangunan modal insan dan penerapan teknologi dan digitalisasi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Rancangan Malaysia Ke-12 serta Belanjawan 2022 yang diumumkan Kerajaan menyaksikan hampir semua kategori usahawan merangkumi perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perusahaan sosial dan usahawan tidak formal menerima manfaat.

12. Kerajaan turut memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Tumpuan khusus adalah mentransformasi PMKS sebagai pemacu pertumbuhan baharu serta memperkasakan pendigitalan bagi mengamalkan norma baharu.

13. Di samping itu, tumpuan juga diberi untuk PMKS beralih daripada pasaran domestik kepada pasaran global untuk meningkatkan daya saing sekaligus membantu PMKS untuk mencapai sasaran iaitu menyumbang sebanyak 45% kepada KDNK dan 25% daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Pertumbuhan PMKS diberi penekanan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara. Strategi yang menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian dan pertumbuhan inklusif

dijangka dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh.

15. Kerajaan terus mempergiatkan usaha bagi menambah baik akses dan peluang pasaran bagi membantu PMKS meningkatkan jualan di pasaran antarabangsa.

16. Inisiatif ini dilaksanakan melalui kerjasama G2G serta usaha sama dalam kalangan negara ASEAN dan APEC serta pertubuhan antarabangsa yang lain.

17. Usaha juga akan dilaksanakan untuk memanfaatkan faedah perjanjian perdagangan bebas (FTA) dalam memperluas akses pasaran dan mempercepat pengantarabangsaan PMKS, termasuklah pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025 serta memeterai perjanjian FTA baharu.

18. Pelbagai inisiatif akan diteruskan menerusi platform antarabangsa seperti ini dan forum-forum seumpamanya bagi terus menambah baik persekitaran perniagaan serta mengurangkan halangan perdagangan seterusnya memartabatkan industri PMKS di persada antarabangsa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Tema SMIDEX 2021 iaitu PMKS: Bangkit Kembali! dilihat bertepatan dalam membantu usahawan PMKS memulihkan semangat keusahawanan serta bergerak semula setelah terjejas kesan daripada wabak penyakit.

20. Dua fokus utama sebagai pemangkin pemulihan PMKS yang telah digariskan. Pertama, PMKS harus memanfaatkan inovasi, digitalisasi serta penggunaan teknologi untuk mendorong agenda pemulihan.

21. Pelbagai aktiviti menerusi e-dagang termasuklah pembayaran secara digital, pembelajaran jarak jauh, persidangan video serta perkhidmatan logistik merupakan perkara lazim di dalam ekonomi hari ini, disebabkan oleh keperluan dan peluang yang semakin meningkat.

22. Ini juga adalah antara usaha yang boleh membiasakan PMKS dalam era persaingan Revolusi Industri 4.0. Kita dapat melihat bahawa kehadiran PMKS di atas talian telah meningkat dua kali ganda daripada 35.3% yang dicatatkan pada tahun 2019 (pra-COVID) kepada 75.8% pada tahun 2021 (pasca COVID).

23. Kedua, pembangunan jangka panjang PMKS harus menerapkan prinsip-prinsip kelestarian yang meliputi persekitaran, sosial dan tadbir urus (Enviroment, Social and Governance – ESG) ke dalam strategi perniagaan mereka.

24. Tumpuan harus diberikan kepada pengurangan kos dan peningkatan produktiviti menerusi kecekapan tenaga, prinsip ekonomi kitaran (circular economy), amalan penggajian tenaga kerja yang baik serta struktur tadbir urus syarikat yang kukuh bagi memenuhi matlamat kelestarian.

25. Menyedari hakikat bahawa penerapan prinsip-prinsip kelestarian adalah amat penting di dalam strategi perniagaan sesebuah PMKS, saya difahamkan SME Corp. Malaysia serta United Nations Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB) sedang bekerjasama dalam usaha membangunkan PMKS yang mampan melalui satu platform digital yang dinamakan sebagai Action Centre for Sustainable Development of SMEs atau singkatannya ACCESS.

26. Platform ini akan menyediakan PMKS khidmat nasihat, pembangunan kapasiti serta jalinan rangkaian bersama syarikat besar yang terlibat di dalam amalan Sustainable Development Goals (SDG) serta ESG.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

27. Penganjuran SMIDEX 2021 akan membuka ruang bagi membolehkan PMKS tempatan mendapat akses kepada pasaran yang lebih luas, seterusnya meningkatkan aktiviti perdagangan dan menyerlahkan kewujudan produk dan perkhidmatan tempatan secara menyeluruh di peringkat antarabangsa.

28. Akhir kata, marilah kita sama-sama mendoakan kejayaan inisiatif ini dan semoga segala urusan tuan-tuan dan puan-puan dapat dipermudahkan.

29. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Pameran Tahunan PKS – SMIDEX 2021.

Sekian,

Wabillahi al-taufiq
Wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.