Teks Ucapan Sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia Residensi Kuchaimas

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PENYERAHAN KUNCI RESIDENSI WILAYAH KELUARGA MALAYSIA
RESIDENSI KUCHAIMAS
7 DISEMBER 2021 | 4.30 PETANG
KUCHAI LAMA, SEPUTEH KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama sempena Majlis Penyerahan Kunci Residensi Wilayah Keluarga Malaysia, Residensi Kuchaimas, pada petang ini.

2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan yang diterajui oleh Menterinya, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atas jemputan merasmikan majlis ini.

3. Sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda 2030, kerajaan komited menyediakan perumahan mampu milik yang selesa kepada semua golongan Keluarga Malaysia termasuk warga yang berpendapatan sederhana rendah atau M40.

4. Melalui inisiatif Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini, tumpuan adalah di kawasan pesat membangun walaupun terpaksa berhadapan dengan cabaran nilai hartanah yang semakin tinggi.

5. Residensi Wilayah Keluarga Malaysia bertujuan merealisasikan impian warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki kediaman sendiri dengan persekitaran yang selesa dan kondusif. Apa yang menjadi keutamaan adalah harga rumah tersebut berpatutan dan mampu milik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Residensi Kuchaimas merupakan salah satu projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia yang dibina di atas tanah berkeluasan 1.58 ekar.

7. Blok bangunan berketinggian 49 tingkat ini, menyediakan 478 unit kediaman pada harga RM198,000 setiap unit. Setiap kediaman ini berkeluasan 800 kaki persegi, dengan tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta berbumbung.

8. Residensi Kuchaimas menggambarkan keterangkuman Keluarga Malaysia dengan 60.3% kaum Bumiputera, 37.4% kaum Cina dan 2.3% kaum India.

9. Sudah tentu, dengan keselesaan ini, masyarakat berbilang kaum dalam Keluarga Malaysia dapat hidup dalam suasana harmoni dan bersatu padu.

10. Saya yakin komuniti Residensi Kuchaimas akan meraikan persamaan dan perbezaan berdasarkan nilai-nilai dan ciri-ciri Keluarga Malaysia.

11. Residensi Kuchaimas ini juga menawarkan pelbagai kemudahan komuniti seperti ruang taska, tempat rekreasi, bilik permainan, ruang kedai dan surau. Ia juga berdekatan dengan sekolah.

12. Di samping itu, residensi ini juga menyediakan dewan serbaguna dan kawasan khusus untuk komuniti menjalankan aktiviti bersama keluarga dan jiran tetangga.

13. Residensi Kuchaimas terletak di lokasi strategik dan mempunyai akses mudah kepada lebuh raya utama seperti Lebuhraya Pantai Baru dan Lebuhraya SMART yang dapat memudahkan penduduk untuk menjalankan urusan harian.

14. Kerajaan menyambut baik dan amat berterima kasih kerana pihak pemaju kerana berjaya menyediakan rumah mampu milik Residensi Wilayah Keluarga Malaysia ini.

15. Saya amat menghargai komitmen dan dedikasi pemaju dalam menjayakan program ini yang membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan.

16. Sehingga November 2021, sebanyak 62,836 unit rumah yang melibatkan 102 projek Residensi Wilayah Keluarga Malaysia telah mendapat kelulusan untuk pembinaan di Wilayah Persekutuan.

17. Daripada jumlah itu, sebanyak 95 buah projek terletak di Kuala Lumpur, tiga di Putrajaya dan empat di Labuan.

18. Sasaran Residensi Wilayah Keluarga Malaysia adalah untuk menyediakan sebanyak 80 ribu unit dalam tempoh 10 tahun sehingga 2028, dengan sasaran 8,000 unit setahun.

19. Saya minta Kementerian Wilayah Persekutuan dan agensi-agensi di bawahnya memastikan sasaran yang ditetapkan dapat dicapai dengan kerjasama pemaju swasta kerana ini adalah penting untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia.

20. Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ucapkan sekalung tahniah kepada Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd.,dan semua pihak yang terlibat atas usaha yang digembleng secara bersama dalam menjayakan projek pembangunan Residensi Kuchaimas ini.

21. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya dengan ini merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Residensi Kuchaimas.

Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.