Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia @IPT

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN KELUARGA MALAYSIA@IPT


Bismillahir Rahmanir Rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Saarani bin Mohamad ,
Menteri Besar Perak;

Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ,
Menteri Pengajian Tinggi;

Yang Berhormat Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan,
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli;

Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon,
Timbalan Menteri Pendidikan;

Yang Berbahagia Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar,
Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi

Yang Berhormat Dato’ Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim ,
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak

Yang Berhormat Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

Pengerusi – Pengerusi Lembaga Pengarah dan Naib – Naib Canselor Universiti – Universiti ;

Pegawai – Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri ;

Wakil – Wakil Majlis Perwakilan Pelajar ;

Tuan – Tuan dan Puan – Puan ,

Keluarga Malaysia yang saya kasihi.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama – sama pada pagi ini di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Kampus Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim yang amat bersejarah ini.

2. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan UPSI, yang menganjurkan program Keluarga Malaysia@IPT yang bermula semalam sempena Sambutan Ulang Tahun
Ke-100 UPSI.

3. Sebentar tadi , saya sempat meninjau paparan inisiatif Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) 100 hari KPT yang memberi fokus kepada empat pencapaian AKM yang ditetapkan , iaitu FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia ; VACC2CAMPUS; RTK @ CAMPUS ; dan GET-HIRED @ KPT. Tahniah Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan warga KPT kerana mencapai sasaran yang ditetapkan Aspirasi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi

4. Saya sangat teruja bila melangkah ke dalam dewan melihat wajah – wajah ceria anak muda dalam dewan ini, mengimbau kembali memori ketika saya bergelar mahasiswa di Universiti Malaya. Ketika itu saya juga seperti saudara saudari semua, sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti di universiti. Saya pernah mengetuai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) pada 1982/83.

Apabila pemimpin pelajar bertemu dengan saya, salah satu soalan yang ditanya bolehkah kami bersifat kritis dan kritikal terhadap kerajaan, saya jawab boleh dan tidak salah. Cuma yang penting, setiap perkara yang dikatakan mestilah mempunyai fakta. Kerajaan hari ini mengiktiraf peranan anak muda dan ini di buktikan apabila meluluskan Undi 18.

Kita benarkan golongan ini untuk menetukan dan memilih siapa yang bakal menjadi pemimpin negara. Ramai yang tidak yakin dan skeptical terhadap keputusan kerajaan dalam hal itu kerana dianggap mereka masih terlalu mentah untuk menentukan pemimpin negara.

Tetapi kerajaan yakin dengan kemampuan anak muda dan mahu mereka menentukan siapa yang berhak jadi pemimpin.

Sehubungan itu bermula 1 Jan 2022 semua anak muda yang berumur 18 tahun ke atas, secara automatik akan jadi pengundi Insha-Allah. Apabila PRU diadakan kerajaan akan pastikan mereka boleh mengundi

5. Hari ini , UPSI melangkah dengan begitu pantas membina kecemerlangan, memberikan saingan hebat kepada universiti ternama lain. Dengan penuh karisma, UPSI menyambung legasi, mengukir keunggulan , dan giat membina kemasyhuran di pentas nasional serta antarabangsa . Ternyata , UPSI mempunyai keupayaan yang tersendiri dan idealisme warganya yang bijaksana dalam menguruskan sebuah universiti pendidikan tersohor negara.

6. Lakaran panjang sejarah gemilang UPSI sudah pun bermula pada era penubuhan Sultan Idris Training College (SITC), iaitu pada tanggal tarikh keramat 29 November 1922 . Ia kemudiannya bertukar kepada Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada 1957 , dan diperkasakan sebagai Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) pada 1987.

7. Tanggal 1 Mei 1997, IPSI dinaik taraf sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris atau UPSI. Bermula penubuhannya, lahirlah ribuan pendidik, serta pemimpin ternama, bukan sahaja di tanah air, malah di pentas global juga. Lebih membanggakan, apabila pemimpin-pemimpin ini membawa obor suluh budiman memajukan pendidikan di negara masing-masing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Tahniah kepada KPT kerana melancarkan Keluarga Malaysia @IPT. Saya ingin menyeru warga IPT sekalian, khususnya anak – anak muda kita untuk sama -sama menghayati tiga teras dan nilai utama Keluarga Malaysia , iaitu KETERANGKUMAN, KEBERSAMAAN dan juga KESYUKURAN.

9. Sedar atau tidak, kebanyakan masa, khususnya para pelajar sekalian berluang masa di kampus dengan rakan-rakan seperjuangan dan juga para pensyarah, menyerlahkan kebersamaan sebagaimana semangat Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia Yang Saya Kasihi

10. Sesebuah keluarga memiliki ikatan persaudaraan , menjalani hidup bersama – sama, memiliki kesatuan , saling berkomunkasi serta mempertahan suatu kebudayaan secara bersama. Sebagai sebuah institusi sosial yang paling asas, pembentukan sesebuah keluarga menuntut usaha penerapan nilai – nilai murni , semangat kebersamaan , berkasih sayang serta saling menghormati antara satu sama lain dan meraikan perbezaan.

11. Uniknya , institusi pengajian tinggi seperti UPSI ini dilatari kepelbagaian agama, bangsa , usia serta latar belakang ekonomi. Bagi merentasi hari , kita memerlukan semangat serta nilai kekeluargaan. Umpama aur dan tebing; tiada aur, runtuhlah tebing.

12. Tuntasnya, persekitaran ini telah membentuk keluarga baharu kepada para pelajar sekelian. Dan sinilah lahirnya idea untuk membentuk Keluarga Malaysia @ IPT. Aura Keluarga Malaysia dilakar melalui kerjasama yang harmoni , sikap saling menghormati dan keterbukaan pelajar terhadap perbezaan.

13. Bagi menerajui penyelidikan dan mempromosikan konsep keluarga Malaysia , suka saya umumkan penubuhan Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Keluarga Malaysia. Sesuai dengan jolokan sebagai institusi ulung yang membawa perubahan dalam pengembangan pendidikan , saya mahu pusat ini ditempatkan di sini , iaitu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

14. Menjadi harapan saya agar pusat ini nanti berupaya menginstitusikan ‘Keluarga Malaysia’ dengan menjadi hab penyelidikan, pendidikan , latihan dan penyebaran ilmu , dalam kalangan warga Malaysia.

15. Saya sangat optimis, dengan kreativiti , inovasi serta kolaborasi strategik yang melibatkan pelbagai pihak , pusat ini dapat memainkan peranan yang signifikan dalam meningkat , mempromosi dan menyebarluaskan lagi konsep serta usaha membudayakan nilai-nilai pengkayaan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Pelancaran Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia pada 28 Oktober 2021 yang lalu adalah sangat bertepatan dengan nilai kebersamaan yang menjadi antara tunjang Keluarga Malaysia ini.

17. Sebagai permulaan, yayasan ini disalurkan dana permulaan sebanyak RM 5 juta bagi membantu mempermudah serta meringankan beban kewangan para pelajar dan keluarga khususnya dalam mendepani fasa pandemik.

18. Penubuhan yayasan ini seiring dengan prinsip kerajaan untuk sentiasa memastikan tiada seorang pun yang tercicir atau terpinggir . Insya-Allah , yayasan akan mewujudkan kolaborasi strategik dengan semua saluran bantuan untuk mahasiswa agar proses ini dapat diselaraskan dengan lebih baik.

19. Selain itu , khusus untuk mahasiswa , kerajaan juga turut memberikan pengurangan 20 peratus yuran pelajar warga Malaysia bagi semester 1 2021 / 2022, selain inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia untuk 600 ribu mahasiswa dari keluarga B40.

20. Kerajaan juga memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN antara 10 hingga 15 peratus , serta galakan kepada pihak swasta untuk melaksanakan inisiatif pembayaran elaun sebanyak 900 ringgit kepada pelajar yang menjalani program latihan industri.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Menjadi harapan saya agar semangat Keluarga Malaysia dapat dihayati oleh semua pihak , bukan sahaja oleh warga IPT, tetapi juga segenap lapisan masyarakat.

22. Syabas saya zahirkan kepada KPT kerana berjaya menyebar luas prinsip Keluarga Malaysia dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan IPT.

23. Akhir kata , sekali lagi terima kasih dan tahniah kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad , Menteri Pengajian Tinggi serta seluruh warga Kementerian dan juga UPSI yang menjayakan program Keluarga Malaysia@IPT pada hari ini.

24. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Keluarga Malaysia@IPT.

Sekian,

Wabillahitaufik

Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.