Teks Ucapan Sempena Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021


TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MALAM KASIH OKU KELUARGA MALAYSIA DAN
SAMBUTAN HARI ORANG KURANG UPAYA (OKU) SEDUNIA PERINGKAT KEBANGSAAN 2021
3 DISEMBER 2021 | 8.30 MALAM
KUALA LUMPUR CONVENTION CENTRE


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya, kita dapat bersama- sama dalam Majlis Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia ini.

2. Majlis yang amat bermakna ini diadakan sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya (OKU) Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021.

3. Kehadiran jemaah menteri, pengurusan tertinggi sektor awam dan korporat serta pertubuhan bukan kerajaan pada malam ini menunjukkan semua pihak menyokong agenda pembangunan OKU yang merupakan sebahagian ahli Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Kerajaan tidak pernah sesekali meminggirkan golongan OKU. Malah sentiasa mengiktiraf peranan dan kepentingan mereka terutamanya dalam agenda Keluarga Malaysia kerajaan hari ini. Kita semua perlu menyantuni golongan OKU secara adil serta meningkatkan penyertaan mereka di dalam pelbagai bidang.

5. Sesuai dengan konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai keterangkuman, yakni menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga. Lebih banyak ruang dan peluang perlu diberikan untuk memastikan OKU terlibat di dalam agenda pembangunan negara.

6. Peranan dan sumbangan golongan OKU memang tidak boleh dinafikan. Mengimbas kembali semasa awal pandemik COVID-19 melanda, seorang Wirawati OKU bernama Saudari Norfarrah Syahirah dari Bagan Datuk yang dilahirkan tanpa kedua belah tangan, secara sukarela menyumbang tenaga dengan menjahit sejumlah Pakaian Perlindungan Diri (PPE) untuk kegunaan Petugas Barisan Hadapan (Frontliners).

7. Syabas saya ucapkan kepada Saudari Norfarrah di atas usaha murni beliau.

8. Hasil sokongan kerajaan dan pihak swasta, semakin ramai rakan-rakan istimewa kita ini boleh berdikari dan bekerja sendiri. Ada yang menjadi pemandu, pendidik serta usahawan yang berjaya. Bahkan, wakil OKU turut berada di dalam Dewan Negara dan terlibat dalam proses meluluskan Rang Undang-undang negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Dalam tempoh hampir dua (2) tahun ini seluruh rakyat terbeban dengan ancaman pandemik COVID-19. Golongan OKU merupakan antara kelompok yang sangat terkesan akibat daripada wabak ini.

10. Oleh itu, Tema Sambutan Hari OKU pada tahun ini iaitu “Kepimpinan dan Penyertaan OKU Menuju Endemik COVID-19”, dipilih bagi menerapkan kepentingan supaya golongan OKU bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan ke arah fasa endemik COVID-19.

11. Pelbagai cabaran pastinya bakal dihadapi, dan daripada tekanan ini juga akan menghasilkan peluang kepada kita semua khususnya Keluarga OKU. Seperti firman Allah SWT dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6 yang bermaksud: Sesudah kesulitan ada kemudahan.

12. Kerajaan akan sentiasa membantu dan menyokong agar OKU terus kental, berdaya tahan dan bersifat lentur bagi menyesuaikan diri dengan cara hidup norma baharu.

13. Kerajaan melalui Kementerian Kewangan telah mengadakan beberapa sesi libat urus, dengan pihak berkepentingan berkaitan golongan OKU sebelum Bajet 2022 diluluskan.

14. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta lain-lain agensi yang terlibat dengan inisiatif Bajet 2022 untuk OKU, hendaklah membuat perancangan yang teliti, mengambil kira pandangan OKU dan merujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran untuk pelaksanaannya kelak.

15. Hal ini bagi memastikan setiap ringgit yang disalurkan untuk keperluan OKU dibelanjakan dengan optimum, isu-isu yang telah berbangkit diselesaikan dengan sempurna dan benar-benar sampai kepada penerima manfaat yang direncanakan.

16. Sebagai contoh, peruntukan sebanyak RM30 juta untuk menjadikan bangunan-bangunan Kerajaan mesra OKU perlu direalisasikan secara holistik oleh kementerian- kementerian lain yang berkaitan bagi membolehkan bangunan-bangunan terbabit mematuhi undang-undang dan peraturan yang relevan.

17. Selain itu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), akan terus digalakkan untuk menerima pakai prinsip ‘Universal Design’ atau Reka Bentuk Sejagat bagi menambah baik akses kemudahan awam untuk OKU.

18. Begitu juga dengan peruntukan-peruntukan lain yang telah diluluskan perlu dilaksanakan dengan lebih teliti, supaya usaha memperkasa OKU secara komprehensif dapat direalisasikan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Golongan OKU di Malaysia telah mencatatkan kejayaan dalam pelbagai bidang. Antaranya saudara Mohd Sukur Ibrahim dalam bidang keusahawanan; Lee Thiam Wah, pengasas pasaraya 99 Speedmart; Bonnie Bunyau Gustin, pemenang Powerlifting sukan paralimpik Tokyo 2020.

20. Dalam RMK-12: Strategi 5 – Memperkasa OKU: Kerajaan dalam usaha memastikan keterangkuman bagi OKU dalam semua bidang.

21. Dalam segmen ekonomi, lebih banyak peluang ekonomi akan disediakan kepada OKU melalui pelbagai platform, termasuk ekonomi perkongsian dan ekonomi digital.

22. Kerajaan telah menyediakan banyak skim bantuan modal dan mikro kredit dalam usaha menyokong OKU menceburi perniagaan.

23. Sebagai contoh, di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kerajaan telah merangka Program Rintis CARE: Capable and Reliable Entrepreneur untuk membantu usahawan OKU.

24. Projek ini diterajui oleh TEKUN Nasional dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Yayasan Kesihatan Mental dengan peruntukan awal sebanyak RM240,000.

25. Inisiatif Malaysia Short-term Employment Programme atau MySTEP akan diteruskan bagi tahun 2022 dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan 30,000 pekerjaan dalam syarikat berkaitan kerajaan mulai Januari 2022.

26. Dalam Bajet 2022, Kerajaan turut menyediakan peluang untuk anak muda OKU dilantik menerusi skim MySTEP. Azam dan usaha ini sekaligus membantu mempercepatkan Dasar 1 Peratus OKU dalam sektor awam tercapai.

27. Kerajaan juga memberi penekanan kepada kehidupan yang selaras dengan iltizam Wawasan Kemakmuran Bersama.

28. Usaha ini untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan sejajar dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif untuk semua termasuk OKU.

29. Selain itu, peluang pendidikan yang lebih luas dan terbuka serta skim perlindungan sosial yang lebih mampan untuk OKU juga akan diperkukuhkan dengan menyemak semula liputan perlindungan insurans, termasuk kepada penjaga.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Menyedari bahawa Dasar 1 Peratus OKU dalam sektor awam belum lagi mencapai sasaran, sukacita saya menetapkan bahawa pelaksanaan dasar ini akan dijadikan sebagai penunjuk prestasi bagi semua kementerian dan perlu dicapai pada penghujung tahun 2022.

31. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah mencapai sasaran Dasar 1 Peratus pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU.

32. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi tahniah dan syabas kepada YB Datuk Seri Rina Harun, KPWKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Yayasan Kebajikan Negara, Persatuan OKU Sentral, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kiu, Taman Maluri, Kuala Lumpur serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini.

33. Semoga usaha ikhlas semua pihak dalam menjayakan majlis ini diterima sebagai amalan terpuji oleh Allah SWT.

34. Dengan lafaz mulia “bismillahir rahmanir rahim” saya dengan ini merasmikan sambutan hari oku sedunia peringkat kebangsaan tahun 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.