Teks Perutusan Sempena Tahun Baharu 2022

TEKS PERUTUSAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
TAHUN BAHARU 2022

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdullilah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat bersua pada malam ini. Sepanjang tahun 2021, kita melalui cabaran dan dugaan yang pelbagai. Namun, ini tidak sesekali mematahkan semangat Keluarga Malaysia. Yakinlah kita, seperti janji Allah SWT, setiap kesukaran disertai kemudahan.

2. Berbekalkan keyakinan ini, saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh Keluarga Malaysia. Dengan ketibaan tahun 2022 ini, maka bermulalah lembaran baru dalam kehidupan kita. Saya berdoa semoga tahun 2022 memberikan Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia.

3. Tahun 2021, menyaksikan COVID-19 ini menular sehingga ia mencapai rekod sebanyak 24,599 kes harian dan mengakibatkan 393 kematian pada 26 Ogos. Pelbagai langkah proaktif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membendung pandemik COVID-19. Usaha bersama antara Kerajaan dan rakyat telah membuahkan hasil apabila mutakhir ini, jumlah jangkitan telah mencatatkan penurunan sehingga sekitar 3 ribu kes harian.

4. Walau bagaimanapun, melihat kepada peningkatan kes semasa pada hari ini di negara-negara seperti Amerika Syarikat (589 ribu kes), Perancis (206 ribu kes) dan United Kingdom (188 ribu kes), kita perlu sentiasa berwaspada dengan wabak COVID-19 ini, tambahan pula dengan kemunculan varian baharu seperti Omicron. Untuk itu, Kerajaan telah mengambil beberapa langkah tertentu untuk bersiap siaga bagi menghadapi sebarang penularan di negara ini. Kerajaan juga memerlukan sokongan rakyat untuk terus patuh kepada SOP dan mengamalkan kawalan kendiri.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Tatkala kita menghampiri penghujung tahun 2021, Keluarga Malaysia diuji dengan bencana banjir yang agak luar biasa terutama di negeri Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain. Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan kehilangan 48 nyawa yang menjadi korban banjir.Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka tabah menghadapi ujian ini.

6. Di sebalik tragedi dan kesedihan, musibah banjir ini telah menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia iaitu kebersamaan dalam kalangan rakyat tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan pangkat.

7. Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi keselamatan, kakitangan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sukarelawan serta individu-individu yang bertungkus lumus membantu dan menyelaraskan misi bantuan semasa banjir serta melakukan kerja-kerja pemulihan pasca banjir. Begitu juga bantuan dan sumbangan daripada sektor korporat termasuk GLC dan GLIC. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendang. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

8. Kerajaan sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan amat-amat memerlukan sokongan kita semua untuk bangkit semula membina kehidupan. Lantaran itu, Kerajaan ini komited untuk memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan akan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

9. Maka dengan ini saya mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia seperti berikut;

i. Pertama, Bantuan Wang Ihsan (atau BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 sebelum ini. Bayaran Bantuan Wang Ihsan tersebut telah mula diberikan sejak 27 Disember yang lalu, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa 3 hingga 6 bulan. Ini akan memanfaatkan lebih 45 ribu Ketua Isi Rumah. Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (atau PPS). Setakat hari ini, seramai 20 ribu Ketua Isi Rumah telah menerima bantuan ini.

ii. Kedua, baucar tunai sebanyak RM500 Ringgit bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir. Pembelian boleh dibuat di premis atau di platform e-dagang yang diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Program ini akan dilaksanakan bermula 7 Januari 2022.

iii. Ketiga, saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan. Bagi pemilik PERODUA dan PROTON yang terkesan, syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50% ke atas alat ganti. Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25% ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, Kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022.

iv. Keempat, Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

Walau bagaimanapun, bagi kerosakan serius, Kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

v. Kelima, memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, Kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing- masing. Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

10. Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah. Inilah usaha Kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP. Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar 5% sekaligus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.

11. Malah bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

12. Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Tahun 2021 juga menyaksikan cabaran ketidakstabilan politik yang sekaligus mengancam agenda pemulihan dan perpaduan negara keseluruhannya. Namun, melalui memorandum persefahaman transformasi dan kestabilan politik yang ditandatangani pada 13 September lalu, cabaran ini dapat ditangani atas semangat Keluarga Malaysia, merentasi perbezaan politik.

14. Melalui kestabilan ini, Alhamdulillah, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) diluluskan tanpa sebarang pindaan pada 7 Oktober, begitu juga dengan Bajet 2022 turut lulus dengan sokongan majoriti pada 13 Disember lalu.

15. Saya amat gembira dan terharu apabila Rang Undang- undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan oleh kesemua Ahli Parlimen yang hadir seramai 200 orang. Ini membuktikan semangat kesatuan dalam perbezaan. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap Ahli Parlimen yang menyokong.

16. Selaras dengan nilai kebersamaan yang terangkum di dalam konsep dan falsafah Keluarga Malaysia, saya percaya ahli- ahli Parlimen akan turut menyokong beberapa Rang Undang-undang yang bakal dibentangkan seperti Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti, Pindaan Perlembagaan serta lain-lain pindaan undang-undang dan Transformasi Parlimen. Semangat kebersamaan ini sudah pasti akan menambahkan lagi kestabilan politik di negara ini.

17. Seiring dengan Transformasi Parlimen yang sedang dilaksanakan, Kerajaan juga bersedia untuk mengadakan transformasi di dalam sistem Kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Di sebalik segala kesulitan yang kita hadapi, tahun 2021 juga menyaksikan permulaan usaha Kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan ekonomi negara. Ini telah membuahkan hasil dengan pencapaian positif beberapa indikator-indikator utama ekonomi makro dan rakyat.

19. Buat pertama kali, jumlah perdagangan mencecah RM2 trillion selepas berkembang 24.6% bagi tempoh Januari hingga November 2021 berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia turut meningkat sebanyak 3.0% dalam tempoh Sembilan bulan pertama 2021.

20. Sebagai indikator kepada kerancakan ekonomi di peringkat kepenggunaan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit juga merekodkan peningkatan sebanyak 5.4% kepada RM116.4 bilion pada Oktober 2021.

21. Kadar pengangguran sudah mula beransur pulih kepada 4.3% pada Oktober 2021, berbanding kemuncak 5.3% pada Mei 2020. Angka terbaru ini juga lebih rendah daripada dua bulan sebelumnya.

22. Angka pelaburan sering menjadi antara petunjuk popular keyakinan komuniti perniagaan terhadap keutuhan ekonomi sesebuah negara. Di sini, Malaysia mencatatkan perkembangan positif RM12.8 bilion pelaburan langsung asing (FDI) bersih pada suku ketiga 2021 berbanding RM8.2 bilion pada suku kedua, iaitu peningkatan sebanyak 56%.

23. Ini menjadikan jumlah FDI bersih bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini sebanyak lebih RM30 bilion. Saya juga yakin, dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara dijangka berterusan pada tahun 2022 dengan kadar pertumbuhan KDNK yang diunjurkan berkembang antara 5.5% hingga 6.5%, seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6% dan Bank Dunia pada 5.8%.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Di sini saya ingin Keluarga Malaysia berasa lebih optimis dan bersemangat dengan kehadiran tahun baharu 2022. Kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah diumumkan di dalam dokumen RMK-12 dan Bajet 2022 untuk memastikan ketahanan ekonomi dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

25. Ke arah itu, antara tumpuan utama Kerajaan pada tahun 2022 adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya 600 ribu peluang pekerjaan baharu di samping pemulihan segera sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

26. Tahun 2022 juga adalah tahun untuk Malaysia kembali ke landasan bagi menetapkan pelan ekonomi negara jangka masa panjang. Beberapa tema mustahak perlu digerakkan pada tahun 2022. Antaranya ialah pemerkasaan ekonomi digital sejajar dengan tuntutan realiti semasa. Atas kesedaran sama tentang perlunya mengadaptasi kepada keperluan kini dan masa depan, Malaysia juga telah memberikan komitmen bagi mencapai status “carbon- neutral nation” pada tahun 2050.

27. Transformasi ke arah ekonomi dan masyarakat yang cakna terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (atau ESG) memerlukan peralihan dalam pelbagai aspek pengurusan, pentadbiran dan kerangka minda dalam pembuatan dasar. Misalnya, dalam soal peluang pekerjaan yang bakal dijana, Malaysia perlu bersedia untuk mewujudkan satu ekosistem yang mampu menjana aktiviti-aktiviti dan pasaran pekerjaan yang selari dengan tuntutan dan keperluan ke arah ekonomi dan masyarakat yang mesra ESG.

28. Ini merupakan antara inisiatif yang saya anggap penting mengambil inspirasi suara anak-anak muda Keluarga Malaysia untuk kita mewariskan sebuah negara lestari kepada generasi akan datang.

29. Justeru, Sistem pendidikan sedia ada akan disesuaikan agar lebih menjurus kepada aspek ESG ini. Di sinilah kurikulum Pendidikan TVET khususnya perlu ditambah baik untuk memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan ini.

30. Dari sudut yang berbeza pula, aspirasi ESG ini juga memerlukan keberanian pihak kerajaan untuk mewujudkan rangka dasar dan insentif yang lebih kondusif. Sebab itulah, antara insentif yang membuktikan Kerajaan komited dengan agenda ini ialah pengecualian sepenuhnya ke atas duti import, duti eksais, cukai jualan malahan cukai jalan (atau roadtax) bagi kenderaan elektrik (atau EV).

31. Kerajaan juga sedar, dalam mencapai matlamat ini, ekosistem sokongan seperti infrastruktur bagi kenderaan elektrik (EV) perlu dibangunkan dan dipertingkatkan seperti di negara maju.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

32. Dari aspek sosial dan kesejahteraan rakyat pula, fokus Kerajaan adalah untuk memenuhi keperluan perumahan generasi muda Keluarga Malaysia. Aspek ini akan turut melibatkan teknologi Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence di mana konsep Smart Safe City akan diperkenalkan secara berperingkat bermula di bandar- bandar utama seluruh negara. Inilah antara terjemahan halatuju ekonomi yang bakal digerakkan pada tahun 2022.

33. Di samping agenda-agenda yang telah saya sebutkan sebentar tadi, perkara asas, yakni kemiskinan masih menjadi keutamaan saya. Seperti yang saya janjikan, nilai teras Keluarga Malaysia adalah Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dan tiada seorang pun yang harus tertinggal.

34. Saya sendiri akan mengetuai inisiatif Pembasmian Kemiskinan oleh Kerajaan melalui penubuhan Unit Kemiskinan yang diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan daerah bagi menangani isu kemiskinan dan jurang pendapatan. Ini meliputi kemiskinan di bandar mahupun di luar bandar.

35. Atas semangat keterangkuman yang sama, Kerajaan akan terus memberikan fokus kepada kemajuan dan pembangunan luar bandar di serata Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

36. Sempena Tahun Baharu 2022 ini, marilah kita mencipta Sinar Baru untuk Keluarga Malaysia, membuat resolusi untuk meraikan persamaan dan mengenepikan perbezaan yang wujud antara kita. Marilah bekerja bersama saya dan rakan-rakan di dalam kerajaan untuk meneruskan agenda kemajuan negara tercinta ini.

37. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2022 kepada seluruh Keluarga Malaysia yang saya kasihi.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.