Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah

TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN LAPANGAN TERBANG BAHARU MUKAH
4 DISEMBER 2021 |11.00 PAGI
TERMINAL BUILDING LAPANGAN TERBANG BAHARU MUKAH


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan izin-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah dalam suasana norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

2. Saya ingin mengucapkan dan merakamkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak dan Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri Pengangkutan Malaysia, atas jemputan untuk merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah pada pagi ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Pengangkutan udara sememangnya menjadi pengangkutan penting di sini memandangkan keadaan geografi Negeri Sabah dan Sarawak yang terletak di kepulauan yang ketiga terbesar di dunia, maka pengangkutan udara yang efisien, menepati waktu, selamat dan boleh dipercayai akan menjadi faktor utama pemacuan ekonomi dan sosial di Sabah dan Sarawak.

4. Lapangan terbang bukan sahaja menjadi tempat untuk pesawat mendarat dan berlepas malahan ianya adalah gerbang untuk pengangkutan penumpang serta barangan ke pelbagai destinasi yang sememangnya berkait rapat dengan kegiatan ekonomi.

5. Pembinaan Lapangan Terbang Baharu Mukah ini akan merancakkan peluang ekonomi yang dapat memberi impak berganda dan berangkai kepada penduduk di Mukah serta keluarga Malaysia amnya.

6. Tambahan pula lapangan terbang ini bakal menyediakan sokongan bagi aktiviti-aktiviti di koridor SCORE yang bakal mewujudkan jaringan ekonomi yang lebih efektif dan efisyen kelak.

7. Saya dimaklumkan bahawa lapangan terbang baharu ini dilengkapi dengan kemudahan bangunan terminal baharu, landasan sepanjang 1,500 meter yang boleh digunakan oleh pesawat jenis ATR berkemampuan membawa penumpang lebih ramai berbanding hanya pesawat Twin Otter sebelum ini.

8. Dengan status yang telah ditambah baik, Lapangan Terbang Baharu Mukah kini boleh mengendalikan lebih banyak penumpang yang akan mengukuhkan kedudukan Mukah sebagai penyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

9. Selain menyediakan kemudahan lapangan terbang yang selesa dan moden, Kerajaan juga perlu memastikan kesiagaan dan kemampuan Sistem Pengurusan Trafik Udara sentiasa dinaiktaraf dan mampu menampung keperluan peningkatan pergerakan pesawat di ruang udara.

10. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) di bawah Kementerian Pengangkutan telah dipertanggungjawab dalam memastikan kemampuan Sistem Pengurusan Trafik Udara bergerak seiring dengan permodenan dan peningkatan aliran trafik pesawat udara.

11. Komponen Sistem Pengurusan Trafik Udara meliputi sistem radar pemantauan udara, sistem navigasi penerbangan, sistem komunikasi radio dan sistem automasi pengawal trafik udara.

12. Di bawah program Rancangan Malaysia Ke-12, Kerajaan telah meluluskan projek menaik taraf Sistem Pengurusan Trafik Udara dengan nilai keseluruhan projek sebanyak
19.4 juta ringgit.

13. Projek permodenan ruang pengurusan udara Kuala Lumpur berjaya disiapkan dengan pelancaran kompleks Kuala Lumpur Air Traffic Control Center (KL ATCC) pada 1 Disember yang lalu manakala projek permodenan peralatan di ruang udara Kota Kinabalu yang merangkumi negeri Sabah dan Sarawak dijadual siap pada 10 Disember 2021.

14. Projek permodenan peralatan ruang udara di Sabah dan Sarawak merangkumi penggantian peralatan radar, navigasi dan komunikasi radio beserta dengan penggantian sistem automasi pengawal trafik udara yang canggih dan terkini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Tidaklah lengkap penyediaan perkhidmatan pengangkutan udara tanpa perkhidmatan penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang ini. MASwings telah mula menyediakan perkhidmatan udara luar bandar (RuralAirServices–RAS)di Sarawak dan Sabah 2008 melalui Perjanjian RAS yang ditandatangani pada 3 Julai 2008.

16. Bermula tahun 2019, satu perjanjian baharu iaitu PublicService Obligation for Rural Air Services Agreement (PSO for RAS) telah ditandatangani pada 4 Januari 2019 diantara Kerajaan Malaysia dengan syarikat penerbangan MASwings bagi meneruskan penyediaan perkhidmatan RAS ini sehingga tahun 2024.

17. Berdasarkan Perjanjian PSO for RAS ini, MASwings menyediakan perkhidmatan bagi 40 laluan mulai di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.

18. Bagi laluan Mukah sendiri, MASwings menyediakan empat perkhidmatan penerbangan menggunakan pesawat twin otter iaitu laluan Kuching – Mukah dengan kekerapan 28 penerbangan seminggu, Miri – Mukah dengan kekerapan tujuh penerbangan seminggu, Sibu – Mukah dengan kekerapan tiga penerbangan seminggu dan Bintulu – Mukah dengan kekerapan dua penerbangan seminggu.

19. Bagi menambah baik perkhidmatan RAS oleh MASwings ini, Kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan melaksanakan rasionalisasi RAS dengan mengkaji semula objektif RAS, implikasi kewangan yang terlibat, laluan dan kekerapan penerbangan RAS, kadar tambang yang dikenakan, pesawat yang diguna pakai dan mekanisme pemberian subsidi kepada pengguna perkhidmatan ini dari semasa ke semasa.

20. Ini adalah sebagai salah satu usaha Kerajaan bagi memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan luar bandar pada tahap yang terbaik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Saya berbangga projek lapangan terbang ini dapat disiapkan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19. Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi pencapaian Malaysia dalam sektor pengangkutan.

22. Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara sebagai simbol rakyat Malaysia yang bersatu-padu.

23. Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengucapkan tahniah kepada kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak dan semua agensi yang terlibat atas kejayaan membina satu mercu tanda ikonik di Mukah, Sarawak.

24. Akhir kata dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Lapangan Terbang Baharu Mukah, Sarawak.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri