
KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
PEMBANGUNAN SEDENAK PERCEPAT PERTUMBUHAN UTARA
ISKANDAR MALAYSIA DAN DAERAH BERDEKATAN
Saya telah mempengerusikan mesyuarat ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Putrajaya secara maya hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Bersama, YAB Dato’ Haji Hasni Mohamad yang juga Menteri Besar Johor serta dihadiri beberapa Menteri Kabinet.
Mesyuarat telah dimaklumkan bahawa IRDA telah memulakan inisiatif membangunkan Mukim Sedenak, yang terletak di utara Iskandar Malaysia, untuk mempercepatkan pertumbuhan di kawasan itu dan daerah-daerah berdekatan.
Pada masa ini, kebanyakan pembangunan di Iskandar Malaysia tertumpu di bahagian selatan Johor
Sedenak akan menjadi ‘flagship’ keenam di Iskandar Malaysia selepas Pusat Bandar Johor Bahru; Iskandar Puteri; Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin; Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai- Skudai.
Setiap ‘flagship’ mempunyai fokus pembangunan tersendiri dan Sedenak akan memberi tumpuan kepada industri agroteknologi; teknologi tinggi; penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.
Pembangunan Sedenak juga akan memanfaatkan komuniti tempatan serta mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain.
Ini akan menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia.
Iskandar Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Sepanjang tahun 2021, seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah Iskandar Malaysia telah menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.
Melalui ‘Iskandar Malaysia Employment Grant’ (IMEG), sebanyak 252 syarikat telah mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja- pekerja baru termasuk daripada golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara.
Sementara itu, seramai 1,425 usahawan pula telah menyertai pelbagai program latihan manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia.
Sejumlah 140 peserta B40 telah menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25% hingga 65% melalui skim penjanaan pendapatan.
IMRENT (geran pembayaran sewa), IMSTART (geran permulaan perniagaan) dan IMYES (geran usahawan belia) adalah antara bantuan-bantuan kewangan dan latihan untuk golongan tertentu di bawah agenda ekonomi inklusif di Iskandar Malaysia.
Bagi tujuan menperhebatkan lagi bantuan untuk rakyat, IRDA turut menyarankan keperluan untuk meneruskan pembangunan rumah transit yang disasarkan kepada rakyat yang baru sahaja bekerja, memulakan perniagaan atau keluarga.
Melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.
Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit apartment telah didiami dan dimanfaatkan oleh rakyat.
Pandemik COVID-19 ini juga terus memberi tekanan kepada agenda and inisiatif kemampanan Iskandar Malaysia. Oleh kerana itu, Ahli Pihak Berkuasa IRDA bersetuju agar wilayah ini meneruskan dan menyegerakan inisiatif-inisiatif utama seperti Iskandar Rapid Transit (IRT), Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO), Bandar Pintar Iskandar Malaysia, Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC).
Inisiatif-inisiatif ini menggalakkan pendekatan kemampanan yang menyeluruh daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.
#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat
DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PENGERUSI BERSAMA IRDA
22 DISEMBER 2021
Similar Posts:
- Teks Ucapan Sempena Program Usahawan & Koperasi Keluarga Malaysia
- Teks Ucapan Sempena Program Usahawan & Koperasi Keluarga Malaysia
- Kenyataan Media Berkaitan Bantuan Untuk Memulihkan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana Yang Terjejas Akibat Banjir
- Kenyataan Media Berkaitan Bantuan Untuk Memulihkan Usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana Yang Terjejas Akibat Banjir
- Kenyataan Media Berkenaan Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan Rayuan BPR, Bernilai RM2.82 Bilion Mulai 28 September 2021