Teks Ucapan Sempena Majlis Sambutan Hari Penjaja & Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (HPPK 2021) Dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam

TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI PENJAJA & PENIAGA KECIL
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2021 (HPPK 2021)
DAN
PELANCARAN PROGRAM TRANSFORMASI PASAR MALAM
3 DISEMBER 2021 | 4.30 petang
TAPAK PERASMIAN HPPK 2021, PRESINT 2, PUTRAJAYA


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama pada petang ini dalam Majlis Sambutan Hari Penjaja Dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 (atau HPPK 2021) anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan Pelancaran Program Transformasi Pasar Malam oleh Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) secara hybrid dalam norma baharu.

2. Tahniah saya ucapkan kepada Menteri MEDAC, Yang Berhormat Tan Sri Noh Bin Hj Omar dan Menteri KPKT, Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Bin Naina Merican atas penganjuran ‘program berkembar’ ini.

3. Inilah semangat Keluarga Malaysia yang merentasi ruang lingkup dan sempadan Kementerian, lalu kita gabungkan menjadi satu inisiatif bersama yang saya perkenalkan sebagai Inisiatif Sinergi Keluarga Malaysia!

Keluarga Malaysia saya kasihi,

4. Kita semua sedia maklum, dua tahun kebelakangan ini merupakan satu tempoh yang sukar. Penularan COVID-19 memberi kesan yang cukup mendalam kepada seluruh Keluarga Malaysia.

5. Bukan sedikit kesan yang menimpa, khususnya kepada penjaja dan peniaga kecil. Ada yang tidak mampu bertahan dan terpaksa terus gulung tikar, tidak kurang juga terpaksa mencari alternatif perniagaan yang lain untuk bangkit kembali.

6. Apabila sektor ekonomi mula dibuka dan dibenarkan beroperasi perlahan-lahan, barulah mereka sudah boleh menarik nafas lega. Justeru, penganjuran HPPK dan pelancaran Program Transformasi Pasar Malam ini merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Sambutan HPPK 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Penjaja dan Peniaga Kecil Penggerak Ekonomi Rakyat’ adalah signifikan kerana penjaja dan peniaga kecil merupakan satu komponen yang cukup penting sebagai penggerak kitaran ekonomi domestik kita.

8. Sambutan HPPK ini juga sebenarnya amat dekat di hati saya. Semasa memegang portfolio sebagai Menteri KPDNKK, antara mandat adalah menjaga hal ehwal penjaja serta peniaga kecil, dan saya menjadi menteri pertama merasmikan sambutan HPPK yang pada ketika itu diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada tahun 2012.

9. Setelah hampir sedekad, Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang semula untuk merasmikan HPPK 2021 pada hari ini. Tahniah diucapkan kepada YB Tan Sri Noh bin Haji Omar kerana meneruskan legasi ini apabila fungsi kawal selia penjaja dan peniaga kecil dipindahkan ke MEDAC.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Dalam keadaan ekonomi domestik kembali rancak termasuk yang diusahakan oleh rakyat kumpulan penjaja dan peniaga kecil, kita harus juga beri perhatian bahawa suasana kini telah berubah.

11. Justeru, Program Transformasi Pasar Malam yang diusahakan oleh KPKT ini, mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan seperti penugasan ‘Marshal Pasar Malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

12. Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara.

13. Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah.

14. Pada petang ini, sukacita saya umumkan bahawa Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 25 juta ringgit bagi pelaksanaan Transformasi Pasar Malam secara berperingkat di 50 tapak pasar malam utama di seluruh negara mulai tahun 2022.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Selaras dengan konsep kebersamaan yang diketengahkan dalam Konsep Keluarga Malaysia, kerajaan sentiasa komited dalam soal menjaga kebajikan rakyat untuk memastikan tidak ada yang tertinggal dalam mengecapi nikmat kemakmuran negara termasuk golongan penjaja dan peniaga kecil.

16. Sebagai contoh, MEDAC menerusi TEKUN Nasional, menawarkan bantuan pembiayaan kepada golongan sektor informal di bawah program Pakej Niaga SPIN 2.0 pada Ogos lalu.

17. Objektif program ini adalah untuk membantu usahawan yang baru memulakan perniagaan tanpa daftar perniagaan atau lesen perniagaan.

18. Antara kelebihan program ini adalah tidak memerlukan pendaftaran dan akaun SSM, menawarkan pakej niaga sehingga RM5,000.00, produk yang menarik dan margin keuntungan yang tinggi selain khidmat sokongan serta latihan jualan disediakan.

19. Selain itu, kerajaan turut mempunyai agensi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebagai agensi baharu di bawah MEDAC, yang memfokuskan tentang usaha membasmi kemiskinan dalam kalangan isi rumah di Malaysia. Sehingga kini ia telah memanfaatkan 349,410 ahlinya ataupun Sahabat AIM.

20. Sebagai tanda komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan penjaja dan peniaga kecil, sukacita saya umumkan hari ini bahawa kerajaan turut memberi peruntukan sebanyak 48.52 juta ringgit bagi Program Pembiayaan Mikro untuk Penjaja dan Peniaga Kecil.

21. Melalui inisiatif ini, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus (0%) daripada Bank Rakyat iaitu agensi di bawah MEDAC bagi menambahbaik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

22. Pembiayaan yang dimohon boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan/ perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

23. Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak 1 peratus atas kutipan yang diterima.

24. Nilai pembiayaan adalah antara 10 ribu ringgit hingga 50 ribu ringgit dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun. Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Sebelum saya akhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat khususnya MEDAC dan KPKT yang menjadi pemula kepada Inisiatif Sinergi Keluarga Malaysia ini melalui penganjuran HPPK 2021 dan Program Transformasi Pasar Malam yang kita adakan pada petang ini.

26. Saya berharap segala inisiatif yang dilaksana ini akan memberikan manfaat kepada semua dalam membangunkan semula perniagaan yang terjejas sebelum ini.

27. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Program Transformasi Pasar Malam dan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.