Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Kongres Perpaduan Negara 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN KONGRES PERPADUAN NEGARA 2021

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun pada hari yang penuh barakah ini dalam Kongres Perpaduan Negara yang bertemakan ‘Perpaduan Bangsa Asas Kesejahteraan Negara’.

2. Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan kongres ini yang bermatlamat untuk merintis jalan ke arah perpaduan Keluarga Malaysia serta merealisasikan matlamat memperkasa perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat.

3. Kongres Perpaduan Negara yang dianjurkan bersama Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (atau WOAG Malaysia) dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah suatu inisiatif yang sangat murni.

4. Ia wajar dicontohi oleh semua pihak bagi mengukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara ini seluruhnya.

5. Ia sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan kerajaan agar keharmonian antara agama dan bangsa yang pelbagai dapat dijaga.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi

6. Perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini telah sekian lama terjalin kerana prinsip ini dipelihara dengan perasaan muhibah dan harmoni.

7. Maka tidak hairanlah Malaysia telah lama menjadi model dan contoh kepada masyarakat lain di dunia kerana kita telah berjaya menyatukan semua kaum melalui perkongsian kuasa dan berupaya kekal hidup dengan aman damai melalui sikap toleransi yang amat tinggi.

8. Bagaimanapun disebabkan perbezaan pegangan politik, ia kadangkala menjadi punca kepada perpecahan sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan.

9. Kepentingan peribadi dan pegangan politik akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan yang boleh membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

10. Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi oleh bukan sahaja para pemimpin tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

11. Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini.

12. Lantaran itu sewaktu saya mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengambil langkah menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Saya difahamkan Kongres Perpaduan Negara yang dijalankan secara webinar selama dua hari ini disertai lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

14. Menerusi kongres seperti ini, kerajaan berharap ia mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

15. Ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu- isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini.

16. Gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

17. Pada masa yang sama, setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

18. Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Akhir kata saya berharap Kongres Perpaduan Negara ini mampu merealisasikan matlamat kerajaan untuk memperkasa perpaduan dalam kalangan Keluarga Malaysia ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.

20. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan Kongres Perpaduan Negara.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.