Teks Ucapan Sempena Majlis Anugerah Francais 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS ANUGERAH FRANCAIS 2021
1 DISEMBER 2021| 8.00 MALAM
HOTEL MARRIOTT, IOI RESORT CITY, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izinan-Nya, dapat kita berkumpul pada malam ini sebagai sebuah Keluarga Malaysia sempena Majlis Anugerah Francais Malaysia 2021.

2. Tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), dan Persatuan Francais Malaysia (MFA), atas penganjuran majlis yang amat bermakna ini bagi mengiktiraf pencapaian cemerlang perniagaan francais negara.

3. Komitmen yang ditunjukkan KPDNHEP dan MFA dalam menganjurkan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian, amat penting bagi memastikan industri francais berkembang maju terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik COVID-19.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Saya percaya, setiap kecemerlangan yang ditunjukkan perlu diberikan penghargaan dan pengiktirafan sebagai dorongan untuk terus maju dalam bidang yang diceburi.

5. Pengiktirafan bukan sahaja mampu mewujudkan ekosistem perniagaan francais yang mampan, malah berupaya melahirkan usahawan francais yang berdaya saing, kalis cabaran masa hadapan serta setanding dengan jenama- jenama antarabangsa.

6. Walaupun ia bukannya mudah, namun, jenama-jenama francais yang bertanding pada malam ini telah berjaya membuktikan serta telah pun mencipta nama dan diiktiraf di arena antarabangsa.

7. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua calon pada malam ini. Semoga kejayaan yang dikecapi akan terus meningkatkan perkembangan industri francais negara serta terus berkembang di peringkat global.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Perniagaan francais mendapat permintaan dalam kalangan usahawan dan orang ramai kerana konsepnya yang terbukti berdaya maju serta jenamanya yang popular.

9. Melalui sistem francais, perniagaan dapat berkembang dengan cepat menerusi rangkaian yang besar. Ini akan membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi dalam negara terutamanya dalam sektor makanan dan minuman, peruncitan, pendidikan dan perkhidmatan.

10. Sehingga kini, perniagaan francais yang berdaftar di KPDNHEP berjumlah 1,093 syarikat, di mana 616 daripadanya adalah jenama francais tempatan manakala 409 jenama lagi merupakan jenama francais asing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Kita patut berbangga kerana jenama francais tempatan telah berjaya bertapak di lebih 70 negara di seluruh dunia, antara negara yang mempunyai outlet jenama francais Malaysia terbanyak adalah Arab Saudi dengan 744 outlet, di Indonesia dengan 670 outlet, Amerika Syarikat sebanyak 424 outlet serta beberapa negara yang lain.

12. Saya yakin, dengan kebersamaan dan sokongan padu Keluarga Malaysia terhadap jenama francais tempatan, kita mampu menerokai dan mengembangkan lagi jenama francais Malaysia di persada antarabangsa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Setakat ini, industri francais telah menyediakan lebih 80,000 pekerjaan dan menyumbang lebih RM1.4 bilion dalam kitaran ekonomi setahun melalui pembayaran gaji kepada para pekerja di syarikat-syarikat francais.

14. Untuk makluman, pada 30 November 2021, nilai jualan industri francais mencecah RM14.6 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan iaitu RM13 bilion dengan peningkatan hampir 10% pada tahun sebelumnya, walaupun tahun kewangan semasa belum berakhir dan dunia masih berhadapan cabaran impak COVID-19.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Kerajaan turut memperkenalkan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik pada tahun ini, bagi membantu golongan B40 dan M40 menceburkan diri dalam industri francais. Alhamdulillah, ia telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

16. Sehingga kini, sebanyak 144 permohonan daripada francaisor dan potensi francaisi bernilai lebih RM22 juta telah diterima untuk diproses. Sebanyak 8 francaisor dan 29 francaisi telah mendapat bantuan kerajaan menerusi program tersebut dengan peruntukan tahun semasa berjumlah RM4.5 juta.

17. Kerajaan berhasrat untuk meneruskan program ini pada tahun hadapan dan akan memastikan lebih ramai dapat menerima manfaat terutamanya Keluarga Malaysia dari kumpulan B40 dan M40.

18. Kejayaan Program Pembangunan Francais Mikro dan Francais Mampu Milik ini juga amat penting kerana ia merupakan sebahagian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari Jemaah Menteri yang dinilai di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Industri francais dijangka terus menyumbang ke arah pemulihan ekonomi negara mulai tahun ini hasil pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan.

20. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan industri francais demi memastikan lebih ramai pemain industri dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia.

21. Di bawah Bajet 2022, pelbagai inisiatif turut dirangka untuk membantu usahawan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) menerusi pelbagai kementerian dan agensi yang terlibat.

22. Khusus untuk pembangunan francais dan jualan langsung, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi mendorong industri francais berkembang dengan lebih pesat.

23. Diharapkan KPDNHEP dan MFA dapat menganjurkan lebih banyak aktiviti dan program yang akan memanfaatkan penggiat industri francais selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

24. Marilah kita bersama-sama sebagai Keluarga Malaysia, saling menyokong untuk memperkasakan industri dan merancakkan semula ekonomi negara. Semoga dengan usaha kita ini, kemelut yang melanda akibat pandemik akan berlalu pergi.

25. Sekali lagi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima Anugerah Francais 2021. Kepada yang tidak menang tahun ini, tingkatkan usaha dan cuba lagi pada masa hadapan.

26. Kepada yang menang, jangan pula leka dan alpa. Berkongsilah pengalaman dan kejayaan yang diraih dengan usahawan lain, supaya lebih ramai mampu menempa kejayaan di persada negara dan antarabangsa.

27. Akhir kata, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada MFA dan KPDNHEP kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama meraikan majlis yang berprestij ini.

28. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Malam Anugerah Francais 2021.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.