Kenyataan Media – Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal Bil 3/2021

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MESYUARAT JAWATANKUASA DASAR FISKAL BIL 3/2021


Saya telah mempengerusikan Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) pada hari ini, Isnin, 13 Disember 2021. Mesyuarat kali ini merupakan persidangan yang kali ketiga dan telah dihadiri oleh Menteri Kewangan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi dan Gabenor Bank Negara Malaysia. Agenda mesyuarat ini merangkumi beberapa perkara berkenaan kedudukan semasa ekonomi dan kewangan Kerajaan Persekutuan.


Prestasi dan Kedudukan Fiskal


Antara agenda mesyuarat yang dibincangkan termasuklah prestasi terkini kewangan Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan prestasi sehingga akhir November, kutipan hasil mencatatkan peningkatan 8.9% kepada RM210.4 bilion, manakala jumlah perbelanjaan meningkat 4.9% kepada RM307.6 bilion. Jawatankuasa berpandangan bahawa semakan semula defisit bagi tahun 2021 iaitu 6.5% daripada KDNK akan dapat dicapai, dan Kementerian Kewangan akan terus memantau prestasi dan perkembangan ini.

Berdasarkan prospek pemulihan ekonomi yang lebih baik bagi tahun 2022 serta langkah-langkah Bajet 2022, defisit fiskal disasarkan berkurang kepada 6% daripada KDNK. Inisiatif pembaharuan institusi terutamanya pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA), Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) dan Kajian Perbelanjaan Awam (PER) merupakan langkah dasar utama dalam menyokong usaha ini.


Perancangan Fiskal Dalam Jangka Sederhana dan Inisiatif Pembaharuan Fiskal


Dalam jangka sederhana, Kerajaan kekal komited terhadap sasaran defisit seperti yang digariskan bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) iaitu 3.5% berbanding KDNK pada 2025. Ke arah ini, Jawatankuasa telah meneliti beberapa cadangan yang akan menambah baik kedudukan kewangan negara dan kemampanan fiskal setelah ekonomi kembali ke trajektori pertumbuhan sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.


Melangkah ke hadapan, agenda pemulihan yang mampan akan diselaraskan dengan inisiatif-inisiatif di bawah RMKe-12. Kesemua usaha ini bertumpu kepada pembangunan teknologi tinggi, inovasi dan kemampanan dalam sektor berpotensi pertumbuhan tinggi yang dirangka bagi memangkin ekonomi inklusif dan berdaya saing untuk manfaat seluruh Keluarga Malaysia.


Secara keseluruhannya, usaha membantu seluruh Keluarga Malaysia akan diteruskan, di samping memastikan kemampanan kedudukan kewangan Kerajaan.


#KeluargaMalaysia
#BekerjasamaBersamaRakyat


YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
13 DISEMBER 2021

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.