Teks Ucapan Sempena Perasmian Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021

TEKS UCAPAN
YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PERASMIAN HARI PROFESION TEKNIKAL NEGARA (HPTN) 2021
4 DISEMBER 2021

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya, kita dapat berkumpul pada hari ini untuk meraikan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Menteri Kanan Kerja Raya, Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof kerana sudi mengundang saya merasmikan majlis ini.

2. Walaupun secara maya, saya amat berbesar hati kerana diberikan peluang untuk merasmikan acara tahunan yang menjadi simbolik penghargaan dan pengiktirafan terhadap jasa yang disumbangkan profesion teknikal dalam landskap pembangunan negara.

3. Saya berharap menerusi sambutan ini, para profesion teknikal akan terus bersemangat untuk menyumbang dan mengembleng tenaga memajukan pelbagai sektor di negara kita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Sejarah pendidikan teknikal di Malaysia telah pun menjejak usia lebih seratus tahun. Sehingga kini, bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0.

5. Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional atau lebih dikenali sebagai TVET.

6. Bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan TVET sebenarnya kian mendapat perhatian oleh majikan.

7. Malaysia kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi dan bertaraf dunia yang majoritinya dipelopori oleh warga profesion teknikal. Peluang pekerjaan berkaitan jurusan Science, Technology, Engineering and Mathematic (STEM) dan TVET adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.

8. Ia adalah hasil perancangan teliti Kerajaan semenjak tahun 2013 bermula dengan pengenalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang menggalakkan penggunaan teknologi termaju bagi melahirkan tenaga kerja profesional teknikal yang mahir dan berketerampilan.

9. Sehingga tahun ini, Malaysia telah mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Pelbagai inisiatif dan strategi yang berkait rapat dengan bidang teknikal telah diketengahkan oleh Kerajaan melalui dasar-dasar yang komprehensif dan holistik. Kerajaan telah mengambil kira pelbagai pandangan dan nasihat pakar daripada Kementerian Kerja Raya, MITI, MOSTI, MAMPU dan agensi teknikal negara iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

11. Pada masa yang sama, pandangan daripada pihak swasta dan juga penggiat industri turut tidak diketepikan. Ia bertujuan bagi memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing.

12. Seiring dengan era Revolusi Industri 4.0, ekonomi global juga sedang giat mengalami transformasi melalui pencapaian baharu teknologi yang merentasi alam fizikal, digital dan biologi. Kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan (A-l), Mesin ke Mesin (M-2-M) dan internet benda (l-o-T) mengubah cara dunia beroperasi.

13. Bagi memastikan negara tidak ketinggalan dengan arus perubahan dan ledakan teknologi, Kerajaan telah memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara. Dasar ini merupakan inisiatif yang melambangkan aspirasi Kerajaan mentransformasi Malaysia ke arah pembangunan sosio-ekonomi negara yang inklusif dan mampan, berpacukan pendigitalan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.

14. Dasar ini juga menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti RMK-12, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

15. Amat jelas di sini, inisiatif dan dasar yang saya sebutkan sebentar tadi amat signifikan dengan semua lapisan profesion teknikal negara. Warga profesion teknikal berperanan penting untuk bersama-sama mengembleng tenaga ke arah menggerakkan negara dan melangkaui aspirasi rakyat dalam semua bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan, penyelidikan, pendidikan, Information Communication Technology (ICT) dan sebagainya, bertepatan dengan tema HPTN 2021 iaitu “Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi”.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Saya turut menyambut baik hasrat Tan Sri Ketua Setiausaha Negara baru-baru ini untuk mencapai perkhidmatan awam yang berprestasi tinggi melalui pemimpin yang berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.

17. Justeru, saya berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi ini.

18. Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid, Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman.

19. Bagi sektor awam, Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan, contohnya JKR yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.

20. Sebagai contoh terbaik, JKR juga maju ke hadapan dengan teknologi terkini dengan mempelopori penggunaan Building Information Modeling (B-I-M), I-Supervision dan E- Perolehan dalam pelaksanaan projek. Ini pastinya sebagai pemangkin serta enabler kepada pelaksanaan teknologi I-R-4.0 yang berimpak tinggi seperti 3D Printing, I-o-T, Big Data, Virtual Reality dan Augmented Reality.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Perkembangan global terkini khususnya I-R-4.0 berpaksikan kepada teknologi terkini yang mensasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik.

22. Oleh itu, kita perlu memastikan para pekerja dalam bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’ berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.

23. Kita juga perlu realistik dengan kemampuan anak-anak Malaysia untuk diberikan pendedahan dan menyumbang kepakaran teknikal ke pentas antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama Malaysia seantero dunia.

24. Kerajaan bertekad mengukuhkan iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

25. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia dan agensi-agensi yang terlibat di atas penganjuran sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021.

26. Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim, saya merasmikan sambutan Hari Profesional Teknikal Negara Tahun (HPTN) 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.