Teks Ucapan Sempena Sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Deepavali 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA
MAJLIS RUMAH TERBUKA MALAYSIA (MRTM) DEEPAVALI 2021
13 NOVEMBER 2021 (SABTU) | 9.00 MALAM
MATIC, KUALA LUMPUR

Salam sejahtera dan salam Keluarga Malaysia

1. Pertama sekali, marilah kita bersyukur kerana dapat bersama-sama berkumpul pada malam ini untuk meraikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2021.

2. Baru-baru ini penganut agama Hindu di seluruh dunia meraikan perayaan Deepavali, ataupun perayaan cahaya yang merupakan lambang kejayaan unsur kebaikan melawan kejahatan atau keburukan.

3. Begitu juga rakyat Malaysia tidak ketinggalan meraikan perayaan ini yang biasanya jatuh pada bulan ketujuh dalam kalender Hindu iaitu antara bulan Oktober dan November.

4. Istimewanya kita di Malaysia, Deepavali disambut dengan penuh meriah dalam semangat Keluarga Malaysia yang bersifat lebih inklusif, merentas sempadan agama, budaya dan kaum.

5. Walaupun kita terdiri daripada pelbagai kaum, yang mengamalkan agama, bahasa dan budaya yang berlainan, semangat perpaduan dan kerjasama diamalkan membolehkan kita hidup dalam suasana aman sejahtera.

6. Perbezaan ini juga menjadikan kita sebagai satu masyarakat yang kaya dengan budaya, malah menjadi faktor penyatu dikagumi masyarakat luar negara kita.

7. Berbanding dengan tahun lepas, perayaan Deepavali tahun ini disambut lebih meriah dalam suasana norma baharu. Ramai juga yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman bertemu sanak saudara selepas kerajaan membenarkan rentas negeri pada 11 Oktober lalu.

8. Ini adalah hasil kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang membolehkan rakyat menikmati kelonggaran di sektor ekonomi dan sosial secara berperingkat setelah tahap vaksinasi golongan dewasa mencapai 96 peratus.

9. Kerjasama erat semua pihak, termasuk antara kerajaan dan rakyat juga telah memungkinkan perhimpunan seperti ini diadakan.

10. Syabas dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan, kepercayaan dan keyakinan penuh mereka kepada kerajaan untuk memulihkan negara dalam masa yang sangat mencabar ini.

11. Bagaimanapun dalam kegembiraan menyambut perayaan ini, kita harus terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tidak sesekali bersikap sambil lewa atau memandang enteng terhadap ancaman COVID-19.

12. Jika kita lalai, pandemik ini akan terus membelenggu dan menyekat kebebasan kita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Keluarga Malaysia Asas Perpaduan Negara

13. Sempena meraikan kegembiraan menyambut Deepavali, marilah kita menyemai semangat Keluarga Malaysia agar perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini terus kukuh.

14. Konsep Keluarga Malaysia memberi fokus kepada nilai kebersamaan, keterangkuman dan kesyukuran, yang merupakan benih mencambahkan penyatuan rakyat Malaysia selama ini.

15. Nilai-nilai murni ini turut ditekankan dalam setiap agama dan menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya demi keharmonian, kemakmuran dan kemajuan negara.

16. Dalam melaksanakan agenda pembangunan negara kerajaan sentiasa komited menjaga kebajikan semua kaum di negara ini baik untuk memastikan tidak ada yang tersisih termasuk kaum India.

17. Dalam Bajet 2022 yang dibentangkan baru-baru ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM145 juta, bagi memperkasa sosio ekonomi komuniti India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India dan dana pembiayaan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun Nasional.

18. Selain itu kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja pembaikan penyelenggaraan dan pembangunan kecil rumah ibadat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelaksanaan aktiviti komuniti dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat dan penduduk setempat.

19. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu.

20. Harapan saya agar perayaan ini akan memekarkan lagi perpaduan, menyimpulkan ikatan tali perhubungan antara Keluarga Malaysia dan keharmonian sesama kita di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Selamat Menyambut Hari Deepavali, Deepavali Nal Valthukkal.

Sekian, Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri