Teks Ucapan Sempena Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 (BKN 2021)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PROGRAM #KELUARGAMALAYSIASIAGABENCANA
BULAN KESIAPSIAGAAN NASIONAL 2021(BKN 2021)
8 NOVEMBER 2021 (ISNIN)|  3.00 PETANG
GRAND MILLENIUM BALLROOM,LE MÉRIDIEN PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama dalam sebuah keluarga besar Malaysia, bagi menyempurnakan program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021, pada hari ini.

2. Kesiapsiagaan bencana adalah satu proses berterusan yang sentiasa dikemas kini agar mutakhir serta inklusif, supaya dapat melahirkan komuniti berdaya tahan bertepatan dengan seruan Maqasid Syariah untuk pemeliharaan akal, nyawa dan harta pada setiap masa.

3. Impak bencana seperti kehilangan nyawa, akal atau harta, semasa atau pasca bencana bukan mudah dihadapi apatah lagi nyawa tiada galang ganti. Ia memerlukan sokongan psikososial untuk waris bangkit semula bagi meneruskan kesinambungan ekonomi dan keluarga.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Dalam mendepani pandemik COVID-19, kita dapat lihat Keluarga Malaysia tidak henti menyokong usaha kerajaan memerangi wabak itu termasuk menerusi kerjasama komuniti dengan pelbagai agensi kerajaan.

5. Antara inisiatif dilakukan termasuk Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 yang dilancarkan pada April lalu, bertujuan memperkasakan peranan komuniti melalui jalinan kerjasama antara kerajaan, NGO dan masyarakat untuk mewujudkan lebih banyak kawasan bebas jangkitan wabak itu.

6. Alhamdulillah, setelah 6 bulan berusaha, hari ini kita akan menobatkan juara yang terdiri daripada komuniti-komuniti yang mempamerkan kesungguhan dalam memastikan masyarakat setempat peka terhadap pandemik COVID-19.

7. Ia melibatkan 82 kampung tradisional, kampung Orang Asli, dan kawasan luar bandar, serta 18 buah bandar. Tahniah saya ucapkan buat semua yang terlibat.

8. Biar pun jumlah komuniti yang dinobatkan ini terhad, ini tidak bermakna komuniti lain kurang memainkan peranan. Malah saya lihat Keluarga Malaysia begitu peka dan berdisiplin untuk membolehkan kita mencatatkan penurunan kes COVID-19 selain faktor vaksinasi yang tinggi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Pada 5 Oktober 2021 lalu, pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 telah dijalankan dengan bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’.

10. Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan seperti webinar, forum, program Community Based Disaster Risk Management yang melibatkan percambahan fikiran dalam usaha mengukuhkan pengetahuan serta pemahaman pengurusan bencana di semua peringkat.

11. Input yang diterima menerusi program-program ini akan diperhalusi bagi mencapai objektif utama membina komuniti berdaya tahan sekali gus berupaya mengurangkan kebergantungan kepada agensi responder dalam bencana berskala kecil dan sederhana.

12. Program Community-Based Disaster Risk Management (atau CBDRM) adalah antara contoh terbaik yang boleh membantu pencapaian objektif pemerkasaan komuniti dengan mereka didedahkan cara bertindak sebagai early responder apabila berlaku bencana.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Sesuai dengan peranan sebagai agensi utama yang membantu kerajaan menyusun langkah-langkah wajar sebelum, semasa dan selepas bencana, NADMA telah mengambil langkah proaktif dengan menggubal Dasar Pengurangan Risiko Bencana atau Disaster Risk Reduction (atau DRR).

14. DRR bukan sekadar penyediaan infrastruktur berhadapan bencana sahaja tetapi meliputi semua tindakan pencegahan dan pengurangan risiko dalam setiap tahap kitaran bencana.

15. Justeru, kajian Daftar Risiko Bencana (National Risk Register atau NRR) dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang telah atau berpotensi berlaku.

16. Ia bagi memudahkan untuk kita merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan matlamat Sustainable Development Goals.

17. Bagi memantapkan usaha-usaha ini, beberapa inisiatif telah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia, UiTM, UKM, JICA dan komuniti Keluarga Malaysia, antaranya:

  • Platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan antara penderma (NGO, badan korporat dan orang perseorangan) dan penerima (Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah);
  • Daftar Risiko Bencana (NRR) mengenai maklumat-maklumat bencana yang boleh diperluaskan seiring peredaran masa;
  • Community-Based Disaster Risk Management – Pandemic (CBDRM-P) yang melibatkan peranan komuniti dan pengurusan bencana; dan
  • Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan di Malaysia terhadap Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana (Survey on Disaster Risk Reduction and Management (DRRM) Capacities of State and Local Governments in Malaysia);

18. Apa yang penting, perancangan dan pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan sosial.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Pandemik COVID-19 dan varian-variannya masih belum lagi terhapus sepenuhnya dari negara yang kita cintai ini. Ini akan memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ’bencana dalam bencana’ terutamanya semasa Monsun Timur Laut yang telah bermula pada 3 November yang lalu.

20. Menyedari situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ ini, saya ingin menekankan pentingnya untuk setiap agensi menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan.

21. Ia bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada SOP atau garis panduan yang telah disediakan.

22. Pada masa yang sama sebagai Keluarga Malaysia, saya menyeru semua pihak untuk berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang telah disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana.

23. Akhir kata, dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan #KeluargaMalaysiaSiagaBencana, Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri