Teks Ucapan Sempena Perasmian Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT)

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT PERDANA MENTERI
DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PERASMIAN RUMAH KELUARGA MALAYSIA ANGKATAN TENTERA (RKMAT)
TARIKH        : 3 NOVEMBER 2021 

Bismilllahhirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia,

[SALUTASI]

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana hari ini kita dapat bertemu dalam Majlis Perasmian Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (atau RKMAT) Tentera Darat. Satu majlis yang amat penting dan besar ertinya kepada saya secara peribadi.

2. Ini kerana, saya bukan sahaja dapat bertemu semula dengan para anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang amat dekat di hati, malah majlis hari ini sangat berkait rapat dengan aspirasi utama saya sebagai Perdana Menteri, iaitu aspirasi ‘Keluarga Malaysia’.

3. Melalui aspirasi ini, selain keterangkuman dan kebersamaan, yang turut saya titikberatkan ialah kesejahteraan hidup setiap Keluarga Malaysia yang berbilang bangsa, agama serta budaya. Keterangkuman dan kebersamaan ini termasuklah kesejahteraan anggota ATM yang begitu besar jasa, khidmat bakti dan pengorbanannya kepada tanah air kita yang tercinta ini.

4. Saya sedar, tidak akan ada satu pun bentuk balasan setimpal jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah saudara-saudari curahkan demi keselamatan dan kedaulatan negara, kerajaan tetap akan mencari jalan, berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh demi memenuhi keperluan saudara-saudari terutamanya daripada sudut kebajikan khususnya perumahan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

RUMAH KELUARGA MALAYSIA ANGKATAN TENTERA

5. Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan memberi tumpuan khusus kepada agenda perumahan anggota ATM. Salah satu usaha utama yang dilaksanakan ialah merangka Blueprint Perumahan 2.0, yang mana matlamat utamanya ialah untuk membina 28,033 unit RKMAT yang selesa dan kondusif dari tahun 2021 hingga 2030 di samping menyelenggara RKMAT sedia ada di seluruh negara.

6. Hal keperluan RKMAT ini amat dekat dengan saya, pada tahun 2020, sewaktu saya berkhidmat sebagai Menteri Kanan Pertahanan, hal ini menjadi keutamaan saya, di mana saya menyedari dan memahami keperluan perumahan bagi anggota ATM.

7. Mengambil kira jumlah anggota ATM di seluruh negara ketika ini, pembinaan RKMAT baharu di seluruh negara masih merupakan satu keperluan.

8. Sebab itulah, ketika saya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Sri Mustapa Bin Mohamed dan beberapa lagi pihak berkepentingan merangka Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), salah satu agenda yang saya jadikan keutamaan di bawah bab pertahanan ialah agenda perumahan anggota ATM.

9. Alhamdulillah, RMK-12 telah pun dibentang dan diluluskan, saya juga telah umumkan bahawa menerusi perancangan lima tahun ke hadapan negara, kerajaan akan membina kira-kira 10,200 unit RKMAT dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

10. Seperti Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn sebut sebentar tadi, daripada jumlah tersebut, 8,852 unit ialah khusus untuk anggota ATM.

11. Penting untuk saya maklumkan, 1,509 unit sudah pun dalam proses pembinaan, manakala 7,343 unit lagi sedang dalam proses perolehan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

2,000 UNIT RKMAT DI BUKIT JALIL DIRASMIKAN HARI INI

12. Untuk hari ini sahaja, sebentar lagi saya akan rasmikan 2,000 unit Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (atau RKMAT).

13. Sesungguhnya apa yang bakal kita saksikan sebentar lagi sangat bermakna bagi saya secara peribadi. Ini kerana, perbincangan dan persetujuan untuk menjadikan rumah mampu milik yang dibangunkan oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (atau LTAT) di Bukit Jalil ini sebagai RKMAT telah dilaksanakan semasa saya menjadi Menteri Kanan Pertahanan.

14. Pada ketika itu, saya memilih untuk bersetuju kerana saya tahu masih ramai anggota ATM khususnya warga Tentera Darat terpaksa menyewa di sekitar Lembah Klang atas faktor kekurangan kuarters atau RKMAT di wilayah ini. Lebih membimbangkan saya, kadar sewa dan kos sara hidup di Lembah Klang ini agak tinggi dan melebihi kadar Imbuhan Tetap Perumahan yang diterima.

15. Alhamdulillah, perancangan yang telah dipersetujui beberapa bulan lepas akhirnya terlaksana hari ini. Lebih melegakan saya apabila mendengar ucapan Dato’ Seri Hishammuddin tadi, bahawa 2,000 unit yang dirasmikan hari ini, sebenarnya telah memenuhi 85% keperluan RKMAT bagi anggota ATM di Lembah Klang.

16. Saya anggap ini sebahagian daripada langkah penting ke arah kesejahteraan Keluarga Malaysia. Lebih-lebih lagi, rumah yang bakal saya rasmikan hari ini, bukan rumah kosong sebaliknya dilengkapi perabot, perkakas elektrik dan fasiliti riadah serta sosial seperti dewan serbaguna, gimnasium, surau dan unit kedai yang mana sangat selesa dan kondusif untuk didiami.

17. Insya-Allah, tahap kemudahan yang sama akan diberikan di RKMAT yang lain pula selepas ini. Dalam konteks ini, saya sambut baik komitmen yang disuarakan oleh Menteri Kanan Pertahanan tadi, bahawa Kementerian Pertahanan bersama- sama LTAT akan terus bekerjasama rapat demi memastikan perancangan ke hadapan berkaitan perumahan ATM termasuk menerusi di bawah RMKe-12 dapat dilaksanakan seperti perancangan.

18. Sebagai Perdana Menteri, saya tentunya sentiasa memberi kepercayaan penuh kepada Kementerian Pertahanan dan LTAT. Harapan saya, dengan usahasama ini, impian para anggota ATM untuk mendiami rumah yang lebih selesa dan kondusif dapat direalisasikan. Insya-Allah.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Sekali lagi saya ambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan dan LTAT kerana telah merealisasikan perancangan berkaitan agenda perumahan ATM.

20. Semoga usahasama erat antara MINDEF dan LTAT ini akan berterusan sampai bila-bila sekaligus membawa manfaat besar kepada aspek kebajikan anggota ATM.

21. Kepada para anggota ATM khususnya yang bakal mendiami RKMAT di Bukit Jalil ini, tahniah saya ucapkan. Manfaatkanlah kemudahan ini dengan sebaik mungkin dan jagalah kediaman ini seperti kediaman saudara-saudari sendiri.

22. Sekiranya ada apa jua keperluan tambahan, maklumkan terus kepada saya atau Menteri Kanan Pertahanan. InsyaAllah, kerajaan akan terus bantu saudara-saudari sebagai ahli Keluarga Malaysia dengan sebaik mungkin.

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim, saya merasmikan Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera atau RKMAT.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah,
Wassamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri