Teks Ucapan Sempena Perasmian Persidangan Halal Kebangsaan 2021 (Sidang Halal 2021)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PERASMIAN PERSIDANGAN HALAL KEBANGSAAN 2021 (SIDANG HALAL 2021)
23 NOVEMBER 2021| 9.00 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Keluarga Malaysia,

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan rahmat dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun pagi ini sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam Persidangan Halal Kebangsaan 2021, yang bertemakan ‘Halal Malaysia: Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Negara’.

2. Tahniah kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diterajui oleh Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris bin Ahmad atas penganjuran persidangan yang sangat bermakna ini.

3. Persidangan ini diharap dapat memperkasakan Halal Malaysia dengan kepelbagaian strategi, yang sedang dan akan dirangka ke arah melakar perkembangan positif dalam sektor ekonomi negara dan dunia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Potensi Industri Halal Peringkat Antarabangsa

4. Hampir 50 tahun, Malaysia melakar landskap halal dengan konsepnya yang tersendiri. Melalui usaha mampan daripada pelbagai agensi dan kementerian, telah menjadikan industri halal Malaysia sebagai sumber baharu yang dapat menjana pertumbuhan ekonomi negara sehingga mampu menembusi pasaran halal antarabangsa.

5. Menjelang tahun 2024, ekonomi halal global dilaporkan akan meningkat kepada RM10 trilion. Unit Perancang Ekonomi (EPU), JPM melaporkan segmen pasaran halal dijangka menyumbang kepada 8.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

6. Ia mampu menjana pendapatan eksport sebanyak RM56 bilion pada tahun 2025. Pada tahun 2020 sahaja, industri halal telah menyumbang sejumlah RM9.7 bilion kepada KDNK negara.

7. Hal ini menunjukkan industri halal berpotensi menjana ekonomi negara kerana populasi penduduk Islam dunia ketika ini berjumlah 1.8 bilion dan jumlah ini akan terus meningkat sehingga 2.2 bilion pada tahun 2030.

8. Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal mampu melonjak tinggi sehingga boleh mencecah USD680 bilion setahun.

9. Sehubungan itu, melihat kepada potensi besar industri halal ini, saya menyeru agar semua agensi, kementerian yang berkaitan, dan pemain industri, berusaha meningkatkan kebolehpasaran produk halal tempatan ke peringkat antarabangsa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
Pemerkasaan Pensijilan Halal Malaysia

10. JAKIM pada Oktober tahun lalu telah berjaya memperoleh akreditasi ISO/IEC 17065, menjadikan Halal Malaysia sebagai Badan Pensijilan yang diiktiraf di peringkat global.

11. Akreditasi ini memberikan impak bukan sahaja kepada produk-produk yang telah dipersijilkan, bahkan turut menyumbang kepada tadbir urus pelaksanaan pensijilan halal yang lebih baik.

12. Dalam usaha memperkasakan lagi pensijilan halal Malaysia, JAKIM juga sedang membangunkan Sistem Maklumat Bersepadu Halal yang akan menjadi pangkalan data halal dengan kos RM3.4 juta.

13. Inisiatif ini akan merangkumi enam sistem iaitu MYeHALAL (Domestik), MYeHALAL (International), Sistem Cetakan Sijil Elektronik (e-Cert Print System), Malaysia International Halal Authority Board (MyIHAB), Modul Permohonan Rumah Sembelihan Luar Negara dan Modul Pengurusan Ramuan Produk Halal Malaysia (MyHALAL Ingredients).

14. Contohnya melalui MyIHAB, JAKIM dapat mengawal selia 84 badan pensijilan halal luar negara, daripada 46 buah negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

15. Insya-Allah, melalui perancangan yang dijangka bermula pada tahun 2023 nanti, Keluarga Malaysia akan dapat menyemak status halal produk daripada luar negara melalui sistem ini.

16. Selain itu, JAKIM juga sedang membangunkan dua inisiatif iaitu Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia ( Antarabangsa) dan Modul Eksekutif Halal Antarabangsa.

17. Ia sebagai langkah untuk memperkasakan sijil halal Malaysia di peringkat antarabangsa menerusi Program Pengantarabangsaan Persijilan Halal Malaysia yang antara lain membolehkan pemain industri dari luar negara memohon persijilan halal Malaysia secara langsung daripada JAKIM.

18. Pada masa yang sama, kerajaan juga akan memberi keutamaan untuk memperkasakan usahawan halal bumiputera melalui program bimbingan dengan melibatkan beberapa kementerian berkaitan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
Pemerkasaan Rantaian Halal Bagi Ekosistem Daging Import

19. Pada bulan Disember 2020 yang lalu, kita digemparkan dengan pembongkaran kartel daging import yang diimport dari beberapa negara luar. Isu ini telah membuka mata banyak pihak mengenai kepentingan sistem pengurusan rantaian bekalan halal di Malaysia.

20. Justeru, bagi meningkatkan piawaian kualiti dan jaminan keselamatan produk makanan halal di semua rantaian, JAKIM dengan kerjasama agensi akan melaksanakan tiga mekanisme seperti berikut:

i. Mensyaratkan produk berasaskan haiwan import yang disimpan di gudang, mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori penggudangan;

ii. Produk berasaskan haiwan yang diimport perlu menggunakan rangkaian pengangkutan mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di bawah skim logistik kategori pengangkutan;

iii. Mewujudkan prosedur mandatori pembungkusan semula (repacking) yang mewajibkan syarikat mendapatkan pensijilan halal Malaysia di bawah skim produk makanan.

21. Kesemua inisiatif ini penting bagi memastikan pengurusan kemasukan produk daging import halal dari luar negara ke Malaysia terjamin.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Pada hari ini, saya akan melancarkan pelaksanaan dan pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

23. Ia adalah manual yang ditambah baik bagi keperluan berkaitan skim pensijilan halal Malaysia bagi kategori domestik dan pengilangan luar negara.

24. Manakala Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020 berperanan membantu industri halal terutamanya mikro bersedia ke arah pematuhan dan kawalan halal dalaman pensijilan halal Malaysia.

25. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Halal Kebangsaan 2021 dan melancarkan Pelaksanaan dan Pemakaian Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia 2020.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri