Teks Ucapan Sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Kali ke- 47

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS MAKAN MALAM
DAN
PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERTUBUHAN PELADANG KEBANGSAAN (NAFAS)
KALI KE-47
25 NOVEMBER 2021|8:30PM
DEWAN MERDEKA, WTCKL

 

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ronald Kiandee
Menteri Pertanian dan Industri Makanan

Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1

Yang Berhormat Dr Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 2

Yang Berbahagia Dato’ Haslina binti Abdul Hamid
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

Yang Berhormat Dato’ Abdullah bin Che Nawi
Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)

Yang Berbahagia Dato’ Zamri bin Yaakob
Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS

Tuan-tuan dan Puan-puan,
para perwakilan ahli-ahli Peladang dari seluruh Negara

Rakan-rakan Media dan Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat-Nya, pada hari ini dapat saya bersama-sama warga Peladang dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kali ke-47 pada malam ini.

2. Pertanian sesungguhnya amat sinonim dengan saya. Saya sendiri tidak malu mengatakan bahawa saya dilahirkan dan membesar dalam keluarga penoreh getah. Pendapatan kami sekeluarga ketika itu tidak seberapa kerana hanya bergantung kepada hasil torehan getah ayah.

3. Kerana itulah jiwa petani sentiasa tersemat di dalam sanubari saya. Apabila saya diamanahkan untuk mengemudi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada tahun 2013 sehingga tahun 2015, saya amat memahami akan perit getir dan cabaran yang dihadapi oleh peladang, penternak dan nelayan untuk memastikan sepinggan nasi beserta lauk dapat dinikmati oleh kita setiap hari.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Keluarga Peladang akan bergerak sebagai ‘subset’ yang melengkapi Keluarga Malaysia. Oleh itu, saya berharap supaya Keluarga Peladang ini dapat bergerak akrab dan sentiasa menjaga kebajikan antara satu sama lain.

5. Kita telah melalui satu tempoh yang penuh dengan cabaran di mana negara berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang merupakan satu situasi yang belum pernah kita hadapi sebelum ini.

6. Ia memberi kesan bukan sahaja dalam aspek sosial, tetapi juga ekonomi termasuk Industri Agromakanan Negara terutamanya di peringkat awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

7. Bagaimanapun, perkara ini dapat diatasi sekali gus memastikan kelancaran keseluruhan rantaian makanan termasuk pengeluaran, pengedaran dan peruncitan produk hasilan pertanian dan industri makanan.

8. Dalam hal ini warga peladang, penternak dan nelayan menjadi tulang belakang negara dan petugas barisan hadapan atau frontliners kita dalam sektor agro makanan negara.

9. Melalui usaha dan pengorbanan anda semua, kita berjaya memastikan kelancaran rantaian bekalan makanan negara sentiasa terjamin dan memenuhi keperluan rakyat dalam apa jua keadaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi Keluarga Peladang termasuk isu yang dihadapi kini iaitu berkaitan dengan peningkatan harga baja dan racun.

11. Begitu juga dengan masalah yang dihadapi oleh NAFAS kala ini. Sepertimana ucapan oleh Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS sebentar tadi, saya maklum bahawa NAFAS juga terkesan dengan kenaikan mendadak bahan mentah dalam penghasilan baja.

12. Justeru, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan ‘input’ dan ‘output’ di mana kontrak membekal dan menghantar input pertanian telah diberikan kepada NAFAS selaku badan induk pergerakan Pertubuhan Peladang yang menaungi 920,000 ahli di seluruh negara.

13. Ia dilaksanakan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi tempoh 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2023 bernilai 1.82 bilion ringgit.

14. Peluang perniagaan dan kejayaan yang dikecapi oleh NAFAS ini, akan memberi limpahan rezeki dan kemahiran kepada ahli Pertubuhan Peladang negeri dan kawasan di seluruh negara.

15. Contohnya menerusi perjanjian kerjasama pelaburan strategik yang akan ditandatangani bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM) sebentar nanti, bukan sahaja dapat menjana pendapatan baharu sumber pelaburan baharu, tetapi juga dapat memindahkan pengetahuan kepada pengurusan Dana Peladang Kebangsaan sekiranya ingin membuka cawangan sendiri selepas ini.

16. Begitu juga perjanjian kerjasama antarabangsa NAFAS dengan syarikat berstatus state own enterprise dari China dan Southeast Edible Bird’s Nest Capital Biotechnology Company Limited, mampu membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak.

17. Pada masa yang sama, saya juga ingin menyarankan warga Peladang supaya memanfaatkan sektor pertanian yang berpotensi menjana pendapatan lumayan khususnya ketika pasca pandemik COVID-19.

18. Dalam keadaan norma baharu ini, jangan dibiarkan tanah kosong dan tidak diusahakan tanpa menjana sebarang hasil. Keluarga Peladang harus bijak mengambil inisiatif dan menggunakan peluang untuk meningkatkan hasil pendapatan.

19. Dengan pelbagai bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk bantuan kewangan, tidak ada alasan untuk kita tidak mampu merealisasikan dan menjadikan bidang pertanian satu perniagaan yang sangat menguntungkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Kalau selama ini NAFAS sentiasa ada bersama dengan kerajaan, saya memberi jaminan InsyaAllah dalam masa sukar berdepan dengan pandemic COVID-19 ini kerajaan akan terus terus membantu NAFAS dan menjaga kebajikan Keluarga Peladang seluruh negara.

21. Saya juga mendoakan semoga Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS kali ke-47 akan berlangsung pada esok pagi dapat dilaksanakan dengan lancar dan dipermudahkan segala urusan.

22. Semoga para perwakilan dapat memainkan peranan yang aktif, terbuka minda serta saling berkongsi pandangan demi merangkai silaturahim di kalangan semua ahli bagi kejayaan gerakan Pertubuhan Peladang.

23. Akhir kata dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kali ke-47.

Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.