Teks Ucapan Sempena Majlis Walkabout YAB Perdana Menteri Malaysia Sempena Program Khidmat Komuniti Bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Di Kawasan Parlimen Bera, Pahang

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS WALKABOUT YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA PROGRAM KHIDMAT KOMUNITI
BERSAMA
UNIVERSITI PERTAHANAN NASIONAL MALAYSIA (UPNM)
DAN

JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI (JAKOA)
DI KAWASAN PARLIMEN BERA, PAHANG

20 NOVEMBER 2021|3.00 PETANG

SALUTASI
Yang Berhormat Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid,
Menteri Pembangunan Luar Bandar;

Yang Berhormat Senator Dato’ Dr. Mah Hang Soon
Timbalan Menteri Pendidikan 1

Yang Berbahagia Datuk Yusran Shah Mohd Yusof
Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Profesor Dr. Husaini bin Omar
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi

Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya bin Abdullah
Naib Canselor, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Yang Berbahagia Puan Hajah Sapiah binti Dato’ Mohd Nor,
Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)

Pegawai – Pegawai Kanan Kerajaan, Dif-dif jemputan, Hadirin dan hadirat, serta seluruh keluarga Bera yang saya hormati dan kasihi sekalian.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, kerana dengan hidayah-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini, dalam Program Walkabout sempena Program Khidmat Komuniti Bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Kawasan Parlimen Bera.

2. Program khidmat komuniti berkonsepkan ‘Service-Learning Malaysia University for Society’ (atau SULAM) yang telah berlangsung sejak seminggu yang lalu, merupakan inisiatif berimpak tinggi, yang mencerminkan komitmen UPNM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam memperkukuhkan hubungan ‘Universiti dan Masyarakat’.

3. Syabas saya ucapkan kepada UPNM dan KPT atas usaha yang sangat baik ini. Program SULAM turut melibatkan mahasiswa Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan UPNM, yang telah turun padang dan berkhidmat kepada komuniti.

4. Matlamat program ini adalah bagi membantu menyelesaikan permasalahan setempat dalam komuniti sasaran, iaitu masyarakat Orang Asli Bera, menerusi teori dan praktis yang dipelajari di universiti.

5. Program sebegini amat signifikan sebagai usaha bersifat serampang dua mata, iaitu pertama; membantu masyarakat setempat menerusi pelaksanaan program khidmat komuniti secara berfokus, dan kedua; membentuk sahsiah serta peribadi mahasiswa yang terlibat.

6. Inilah aspirasi kita sebagai Keluarga Malaysia, iaitu untuk melahirkan mahasiswa yang memiliki sikap cakna, dengan semangat untuk berbudi kepada masyarakat. Selain itu, mahasiswa juga memainkan peranan besar, sebagai ejen yang menjadi jambatan penghubung dalam membina komuniti yang berjaya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Saya yakin, potensi penglibatan mahasiswa di seluruh negara dalam inisiatif khidmat komuniti berkonsepkan SULAM yang menyulam budi tanpa letih.

8. Bahkan, dengan penglibatan mahasiswa yang begitu ramai, disinergi dan dihimpun dengan strategi yang mampan, impaknya pasti dapat dijelmakan dalam tujuan murni, iaitu menjadi ‘Juara Khidmat Komuniti’. Inilah citra Keluarga Malaysia yang kita mahu terapkan dalam diri setiap mahasiswa.

9. Pelaksanaan program sebegini juga, sekaligus dapat mendedahkan mahasiswa dengan kemahiran memahami budaya setempat. Ini dapat membina ‘Cultural Agility’ mereka, sekali gus berupaya memperteguh jati diri, sebagai pelindung ikatan kukuh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.

10. Lebih-lebih lagi, mahasiswa bakal menjadi pemimpin, menjadi pencetus perubahan di masa akan datang apabila mereka menamatkan pengajian dan berkhidmat di dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

11. Oleh itu, usaha kerajaan bukan sahaja untuk melahirkan modal insan, bahkan untuk melahirkan pemimpin yang budiman sifatnya, yang akrab jiwa dan raganya dengan nilai- nilai murni, yang norma dirinya suka mendampingi dan membantu komuniti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Sebagaimana yang disebutkan oleh Naib Canselor UPNM sebentar tadi, bertitik tolak daripada kolaborasi program khidmat komuniti ini, beberapa kerjasama strategik telah diusahakan antara UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (atau JAKOA) untuk manfaat masyarakat Orang Asli.

13. Antaranya, menerusi inisiatif Program Laluan Khas Kemasukan pelajar Orang Asli ke UPNM, yang sedang diperhalusi dan bakal dilaksanakan seawal tahun hadapan. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada UPNM dan JAKOA atas kolaborasi strategik ini. Ruang dan peluang sebegini, pasti dapat membuka jalan yang lebih cerah kepada anak-anak Orang Asli untuk melanjutkan pengajian di UPNM.

14. Kita yakin, satu hari nanti kita akan dapat menyaksikan lebih ramai lagi anak-anak Orang Asli yang berpeluang untuk mengikuti pengajian tinggi di universiti dan berjaya sebagai profesional yang lahir daripada UPNM.

15. Saya juga percaya bahawa UPNM mampu membentuk serta melahirkan insan-insan hebat dari kalangan masyarakat Orang Asli di masa-masa akan datang. Insya – Allah.

16. Di atas paksi falsafah Keluarga Malaysia juga, kebersamaan dan keterangkuman masyarakat Orang Asli adalah agenda penting, agar mereka dapat sama-sama memikul tanggungjawab, membangunkan negara yang makmur sejahtera, menerusi perkongsian semangat satu tanah air tercinta.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Sekali lagi setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada UPNM, JAKOA, kementerian-kementerian serta agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Bera serta semua pihak yang terlibat dalam program khidmat komuniti pada hari ini.

18. Sekalung penghargaan juga saya ucapkan kepada barisan kepimpinan masyarakat Orang Asli Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam, atas komitmen dalam menjayakan program yang bermanfaat ini.

19. Saya berharap, usaha kita tidak terhenti setakat program ini sahaja. Kerjasama pintar dalam program-program susulan yang inklusif dan berfokus komuniti sebegini, perlu diteruskan pada masa akan datang.

20. Usaha gigih pelbagai pihak yang saya sebutkan, bermatlamat demi memastikan tiada mana-mana ahli dalam Keluarga Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir daripada arus kemajuan negara.

21. Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih juga kepada seluruh masyarakat dari Kampung Bukit Rok dan Kampung Ibam serta pemimpin-pemimpin masyarakat yang turut sama memeriahkan majlis kita pada petang ini.

22. Dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Program Khidmat Komuniti Berkonsepkan SULAM di antara UPNM dan JAKOA di Parlimen Bera.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri