Teks Ucapan Sempena Majlis Sambutan 100 Tahun Perancang Bandar Di Malaysia Sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan

TEKS UCAPAN PERASMIAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
BAGI
MAJLIS SAMBUTAN
100 TAHUN PERANCANG BANDAR DI MALAYSIA SEMPENA
HARI PERANCANGAN BANDAR SEDUNIA TAHUN 2021
PERINGKAT KEBANGSAAN
9 NOVEMBER 2021 (SELASA) | 10.00 pagi

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, kita semua diberi kesihatan yang baik untuk bersama-sama menjayakan Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia yang disambut bersekali dengan Hari Perancangan Bandar Sedunia (atau HPBS) Tahun 2021 Peringkat Kebangsaan pada pagi ini.

2. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Dato’ Sri Reezal Merican bin Naina Merican, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di atas jemputan ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Pada 18 Januari lalu, genap usia 100 tahun bagi profesion Perancang Bandar di Malaysia. Profesion perancangan bandar ini amat signifikan kepada negara bagi memastikan pelaksanaan pembangunan negara bersifat inklusif dan strategik.

4. Dalam tempoh 100 tahun, profesion ini telah mempunyai akta profesional sendiri iaitu Akta Perancang Bandar 1995 (atau Akta 538) dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (atau Akta 172) yang telah diterima pakai di semua negeri di semenanjung Malaysia.

5. Selari dengan Jadual Kesembilan, yang meletakkan perancangan desa dan bandar dalam Senarai Bersama, maka diwujudkan juga Jabatan Persekutuan khusus iaitu Jabatan Perancangan Bandar dan Desa atau kini dikenali sebagai PLANMalaysia.

6. Dengan adanya Perancangan Bandar, pelbagai perancangan inklusif telah dilaksana bagi menjamin tiada golongan yang tertinggal, selari dengan matlamat dan konsep Keluarga Malaysia.

7. Sebenarnya, profesion ini tidak asing kepada saya, kerana saya telah terlibat secara langsung semasa menjadi Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (atau KKLW).

8. Pada ketika itu, saya adalah ahli Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (atau MPFN) yang ditubuhkan di bawah Akta 172. Sekarang, tanggungjawab saya lebih besar memandangkan saya kini adalah Pengerusi MPFN, majlis tertinggi yang menentukan hala tuju pembangunan spatial negara.

9. Untuk pertama kalinya, saya telah mempengerusikan Mesyuarat MPFN Bilangan Ke-39 pada 22 Oktober 2021 yang lalu. Dalam mesyuarat itu, Rancangan Fizikal Negara Ke-4 telah dibentang dan diluluskan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

RANCANGAN FIZIKAL NEGARA: HALA TUJU STRATEGIK MEREALISASI ASPIRASI MALAYSIA BERDAYA HUNI

10. Satu aspek yang penting dalam pembangunan negara adalah soal perancangan. “If you fail to plan, you are planning to fail”. Demikianlah pentingnya perancangan, lebih-lebih lagi melibatkan pembangunan fizikal negara. Ia perlu dilaksana secara strategik dan holistik dari segenap sudut dan melibatkan peranan aktif daripada pelbagai pemegang taruh.

11. Saya berasa sukacita apabila dimaklumkan KPKT melalui PLANMalaysia telah memuktamadkan dokumen Rancangan Fizikal Negara Ke-4 atau RFN Ke-4. Ia adalah dokumen strategik yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan Rancangan Malaysia Lima Tahun atau RMKe-12.

12. RFN Ke-4 telah dirangka dengan 3 Teras Pembangunan Utama, 11 Hala Tuju Strategik dan 39 Tindakan Pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur (prosperous nation) dan berdaya tahan (resilient) dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

13. Ia juga menterjemahkan komitmen negara di peringkat global seperti New Urban Agenda (atau NUA) dan Sustainable Development Goals (atau SDGs) serta berperanan menjadi instrumen penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

14. Oleh sebab itu juga, RFN Ke-4 hendaklah menjadi satu rolling-plan strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Berdaya Huni atau Liveable Malaysia melalui kesemua teras yang menjadikan Keluarga Malaysia sebagai penerima manfaat utama.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Di seluruh dunia, Daya Huni atau Livability menjadi satu instrumen penting dalam menarik pelaburan dan menjadikan persekitaran mesra pelabur. Ini termasuklah soal last-mile connectivity, akses kepada internet, akses kepada kemudahan awam dan pelbagai lagi faktor yang diambil kira dengan menjadikan rakyat sebagai teras utama penerima manfaat.

16. Bagi melihat keseluruhan pelaksanaan RFN Ke-4 serta aspek daya huni yang boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara, sukacita saya umumkan bahawa satu INDEKS DAYA HUNI MALAYSIA atau MALAYSIA LIVABILITY INDEX akan diperkenalkan oleh KPKT melalui peranan PLANMalaysia.

17. Indeks Daya Huni Malaysia ini akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada PBT dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira kesemua kriteria di bawah RFN Ke-4.

18. Indeks Daya Huni ini juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN Ke-4 dengan didasari RMKe-12, dapat dicapai sebaiknya.

19. Saya yakin, pelaksanaan RFN Ke-4 ini akan menerima komitmen semua pihak khususnya Kementerian dan agensi-agensi di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

100 TAHUN PROFESION PERANCANG BANDAR

20. Profesion perancang bandar ini saya anggap sebagai the silent hero yang menjadi titik mula kesemua pembangunan fizikal negara yang merangkumi Rancangan Struktur serta Rancangan Tempatan secara menyeluruh di semua peringkat Kerajaan.

21. 100 tahun bukan perjalanan yang singkat. Ini bermaksud, profesion perancang bandar sudah melalui evolusi dan transformasi yang cukup panjang dalam membina negara tercinta.

22. Di kesempatan ini, saya ingin MERAKAMKAN UCAPAN SYABAS DAN TAHNIAH KEPADA SEMUA PERANCANG BANDAR sama ada yang bertugas di peringkat Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), NGO, mahupun perunding-perunding swasta; baik yang masih berkhidmat mahu pun yang sudah bersara.

23. Sekalung tahniah juga saya ucapkan kepada PLANMalaysia, selaku peneraju, pakar rujuk dan penasihat Kerajaan dalam perancangan bandar dan desa kerana pro-aktif melaksanakan pelbagai program untuk meraikan Sambutan 100 Tahun Profesion Perancang Bandar di Malaysia.

24. Bertepatan tema sambutan pada hari ini, iaitu ‘100 Tahun Perancang Bandar Menerajui Malaysia Berdaya Huni, Makmur dan Sejahtera’

saya berharap komitmen profesion perancang bandar akan terus gemilang bagi mewujudkan pembangunan bandar mampan serta berciri keterangkuman yang dapat memenuhi keperluan Keluarga Malaysia.

25. Apa yang penting pada saat ini adalah mencorak perancangan fizikal negara untuk 100 tahun akan datang. Saya letakkan cabaran kepada para perancang bandar untuk melihat kelestarian pembangunan negara beyond this 100 years.

PENUTUP

26. Akhir kata, kepada semua Perancang Bandar di Malaysia, terima kasih atas sumbangan anda sepanjang 100 tahun ini. Usaha kalian amat penting dalam merealisasikan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan ‘Malaysia berdaya huni, berdaya saing dan makmur’.

27. Teruskan komitmen anda. Bersama-sama kita memajukan negara yang tercinta ini, ke arah kemakmuran dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

28. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan

MAJLIS SAMBUTAN 100 TAHUN PROFESION PERANCANG
BANDAR DI MALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN HARI
PERANCANGAN BANDAR DAN DESA SEDUNIA 2021
PERINGKAT KEBANGSAAN;
DAN
MELANCARKAN RANCANGAN FIZIKAL NEGARA KE-4

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri