Teks Ucapan Sempena Majlis Penyempurnaan Puncak Menara Merdeka 118

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PENYEMPURNAAN PUNCAK MENARA MERDEKA 118

30 NOVEMBER 2021 | 10.00 PAGI


Bismillahirrahmaanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Yang Amat Berbahagia Tun Arifin Zakaria,
Pengerusi Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad (PNB),

Yang Berhormat Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz,
Menteri Kewangan,

Yang Berhormat Dato’ Sri Fadillah bin Haji Yusof,
Menteri Kanan Kerja Raya,

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa bin Mohamed,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi),

Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim,
Menteri Wilayah Persekutuan,

Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Mahadi bin Che Ngah,
Datuk Bandar Kuala Lumpur,

Yang Berusaha Encik Ahmad Zulqarnain Onn,
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB,

Ahli-ahli Lembaga Pengarah PNB dan Ahli-Ahli Yayasan Pelaburan Bumiputra; dan

Tuan-Tuan, Puan-Puan serta Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian.

1. Pertama sekali, bersyukur saya ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita dapat hadir pada pagi ini sempena Majlis Penyempurnaan Puncak Menara Merdeka 118.

2. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berbahagia Tun Arifin Zakaria dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk sambutan yang meriah pada majlis ini. Saya amat berbesar hati kerana berpeluang untuk menghadiri majlis yang begitu penting dalam sejarah negara.

3. Dengan penyempurnaan puncak menara hari ini, ia meletakkan Merdeka 118, kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa dan menara tertinggi di Malaysia serta Asia Tenggara.

4. Inspirasi menamakan bangunan ini sebagai Merdeka 118 kerana ia dibina kawasan bersejarah iaitu antara Stadium Merdeka dan Stadium Negara, manakala 118 pula merujuk kepada bilangan tingkat bangunan iaitu 118 tingkat.

5. Reka bentuk menara yang tersergam teguh ini sebenarnya mencerminkan imej Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sewaktu beliau mengangkat tangan melaungkan ‘Merdeka’, 64 tahun yang lalu.

6. Saya berbangga kerana puncak menara ini dapat disempurnakan walaupun ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

7. Ini bukan sahaja satu pencapaian yang hebat dalam bidang kejuruteraan, malah mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai negara yang moden dan maju.

8. Saya juga difahamkan, Merdeka 118 akan menjadi menara pertama di Malaysia mencapai tiga penarafan platinum hijau dalam persijilan kelestarian antarabangsa serta persijilan WELL yang berprestij.

9. Ini menjadikan Merdeka 118 menjadi penanda aras industri di Malaysia sebagai menara ikonik untuk masa depan. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada PNB!

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Pembinaan Merdeka 118 ini, bakal memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia kerana presint ini akan menjadi pemangkin baharu ekonomi bagi Kuala Lumpur, sekali gus melengkapi kawasan-kawasan lain yang sedang rancak membangun seperti KLCC dan KL Sentral.

11. Pembangunan Merdeka 118 juga dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat terutamanya di kawasan yang berdekatan seperti Petaling Street, Kampung Attap serta Pudu untuk menjana ekonomi.

12. Malah, Merdeka 118 dilihat turut membawa semangat Keluarga Malaysia kerana selain memberi peluang komuniti setempat membangunkan perniagaan, mereka juga dapat mengadakan program atau aktiviti untuk menambahkan daya tarikan di kawasan sekitar Merdeka 118 menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.

13. Permohonan Geran Merdeka 118 ini telahpun dibuka pada 28 Jun sehingga 20 Ogos 2021, di mana Keluarga Malaysia boleh memohon untuk mendapatkan tiga jenis geran iaitu Sukan, Seni dan Komuniti Perniagaan.

14. Langkah ini secara langsung dapat menggalakkan penglibatan Keluarga Malaysia dalam perkongsian idea untuk mengaktifkan semula komuniti, membina lebih banyak peluang untuk pertumbuhan sosio-ekonomi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Pembinaan Merdeka 118 juga merupakan cerminan penyatuan warisan dan sejarah Malaysia dengan evolusi masa depan selain mampu menghidupkan kembali kawasan bersejarah di Kuala Lumpur.

16. Hal ini dapat dilihat melalui usaha yang diambil oleh PNB untuk memelihara khazanah negara kita iaitu Stadium Merdeka dan Stadium Negara melalui kerja pemuliharaan yang telah giat dijalankan.

17. Usaha ini adalah selaras dengan visi kerajaan untuk membangunkan Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Think City dan Jabatan Warisan Negara.

18. Pelan Induk Strategik KLCCD ini bertujuan untuk mewujudkan ekosistem berpusatkan kreativiti dan budaya yang mampu merangsang ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat di Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Merdeka 118 kini bersedia menjadi sebahagian daripada pembaharuan Kuala Lumpur dengan sejarah, rekreasi, sukan dan hiburan yang akan diaktifkan semula di ibu kota Malaysia.

20. Saya teruja menantikan kesan positif serta nilai yang akan dibawa oleh mercu tanda baru ini kepada kawasan bersejarah Kuala Lumpur ini.

21. Ia sememangnya satu pencapaian yang signifikan bagi Malaysia dan mencerminkan kejayaan serta kemajuan yang bakal kita capai sebagai sebuah negara selain simbol sebagai simbol rakyat Malaysia yang bersatu-padu.

22. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada kepada PNB atas kejayaan membina satu lagi satu mercu tanda ikonik bagi Kuala Lumpur dan negara.

23. Akhir kata dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya merasmikan penyempurnaan puncak menara Merdeka 118.


Sekian,
Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.