Teks Ucapan Sempena Majlis Penutup Program Merakyatkan Seni Budaya (PMSB) Komuniti Keluarga Malaysia ‘Hogoh Bera 2021’

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA MAJLIS PENUTUP
PROGRAM MERAKYATKAN SENI BUDAYA (PMSB) KOMUNITI KELUARGA MALAYSIA ‘HOGOH BERA 2021’
21 NOVEMBER 2021 (AHAD)|11.00 PAGI
DEWAN UTAMA FELDA KUMAI, TRIANG BERA, PAHANG

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

SOLUTATION

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin- Nya, kita dapat berkumpul pada hari ini bagi meraikan Program Merakyatkan Seni Budaya (PMSB): Komuniti Keluarga Malaysia ‘Hogoh Bera’ bagi tahun 2021 ini.

2. ‘Hogoh’ dalam dialek Pahang bermaksud ‘menggegar sesuatu yang kuat’ atau ‘gegar’ yang menjadi sinonim dengan slogan untuk Pahang bagi menaikkan semangat dan meraikan kejayaan.

3. Jadi, kita sama-sama berkumpul pada hari ini untuk ‘hogoh’ semangat Keluarga Malaysia di Felda Kumai, Bera Pahang.

4. Tahniah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Menteri, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan seluruh tenaga kerja Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (atau MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (atau JKKN), persatuan Wau dan Layang-Layang Pahang dan Tourism Pahang atas penganjuran bersama program ini.

5. Program selama dua hari sejak semalam, merupakan program sentuhan komuniti yang bertemakan Keluarga Malaysia bagi mengangkat produk seni dan budaya khususnya di daerah Bera, Pahang yang kaya dengan elemen warisan.

6. Pelbagai acara sukan rakyat yang kini kian dilupakan dan tidak lagi dimainkan oleh generasi muda seperti galah panjang, ceper, timbang bola, diketengahkan kembali menerusi program ini, bagi memastikan ia tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek zaman.

7. Selain itu, program ini juga dapat mengangkat semula tempat-tempat pelancongan yang berpotensi di Bera Pahang seperti Air Terjun Bukit Bertangga serta Tasik Bera yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna.

8. Ia sekali gus dapat meningkatkan ekonomi penduduk setempat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Insya-Allah, saya berharap kita teruskan program seumpama ini hingga menjangkau daerah-daerah yang lain pada masa akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

9. Sektor budaya sejak dahulu memiliki potensi besar sebagai penjana ekonomi negara. Misalnya pada tahun 2019, sektor ini telah mencatatkan pendapatan RM585 juta berbanding RM542 juta pada 2017.

10. Bagaimanapun penularan wabak COVID-19, telah mengakibatkan sebilangan besar penggiat-penggiat seni dan budaya hilang punca pendapatan yang ketara.

11. Kementerian ini menganggarkan kerugian semasa untuk sektor kebudayaan adalah sebanyak RM85 juta bagi tempoh Mac hingga Mei tahun lalu, melibatkan kerugian pendapatan bagi lebih 22,000 penggiat dan pemain industri.

12. Ia ekoran pembatalan pementasan teater dan kerugian hasil kutipan tiket serta jualan di muzium, dan galeri dan sebagainya. Namun dengan pembukaan kembali sektor ekonomi dan sosial termasuk pelancongan, kerajaan menyasarkan sektor ini mampu menjana pendapatan sehingga RM1 bilion pada 2025.

13. Kerajaan yakin bahawa sasaran tersebut akan dapat dicapai melalui pelbagai strategi pembangunan dan program-program yang tersusun di bawah MOTAC.

14. Pada masa yang sama, kerajaan tidak pernah lupa untuk membantu pemain industri dalam sektor ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

15. Sejak Januari hingga Oktober 2021, Jawatankuasa Panel Penilai Kebudayaan (JPPK) MOTAC telah meluluskan sebanyak RM977,300.00 kepada 30 badan bukan kerajaan bagi membantu penyemarakkan kembali seni, budaya dan warisan.

16. Selain itu, sepanjang tahun ini sahaja, seramai 29 orang penggiat seni pelbagai bidang seperti pengusaha kraf dan pelukis telah menerima bantuan di bawah Tabung Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Penggiat Seni dengan jumlah RM26,100.

17. Dalam peruntukan Bajet 2022 pula, kerajaan telah memperuntukkan Geran Padanan berkaitan Seni Budaya kepada mana-mana syarikat yang menganjurkan program berkaitan seni dan budaya termasuklah Geran Padanan bagi penambahbaikan Hotel Bajet dan Inap Desa di seluruh Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. MOTAC melalui semua agensinya harus memastikan usaha yang lebih agresif dapat dijalankan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan menerusi segmen pelancongan budaya (atau Cultural Tourism).

19. Kita mesti mengambil pendekatan yang baharu dan kreatif, di mana seni dan budaya mesti diberi keutamaan sebagai elemen utama produk pelancongan dalam usaha untuk mempromosi Malaysia, apatah lagi Malaysia mempunyai kepelbagaian bangsa, bahasa, dan budaya berbanding di negara-negara lain.

20. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MOTAC menerusi JKKN kerana telah berjaya melaksanakan program ini.

21. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya: Komuniti Keluarga Malaysia “Hogoh Bera” bagi tahun 2021 ini.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri