Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Waqaf FELDA

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB, PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN WAQAF FELDA
12 November 2021 (Jumaat) | 3.30 petang
Menara FELDA, Kuala Lumpur

 

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat-Nya, pada hari ini dapat saya bersama-sama warga FELDA, yang juga sebahagian daripada Keluarga Malaysia, dalam Majlis Pelancaran Waqaf FELDA.

2. Pelancaran Waqaf FELDA pada hari ini menjadi bukti peranan penting FELDA yang sentiasa terkehadapan dalam menyokong dan menjadi tunjang penting pembangunan ekonomi negara.

3. Peranan ini adalah bersandarkan kekuatan semangat warga peneroka sejak 65 tahun lalu, yang jauh datang merantau, meninggalkan kampung halaman, ke kawasan FELDA yang jauh di pedalaman demi mengubah kehidupan keluarga masing-masing.

4. Alhamdulillah, kini berkat kesabaran itu, taraf sosioekonomi warga FELDA telah berjaya melonjak. Kejayaan ini jugalah yang saya rasakan membawa kepada tercetusnya aspirasi YB Dato’ Seri Idris Jusoh untuk menubuhkan Waqaf FELDA.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Seruan untuk berwakaf ini jelas telah disebut dalam kalam suci al-Quran di mana Allah SWT berfirman dalam Surah Ali- Imran ayat 92 yang bermaksud:

“Tidak akan kalian mencapai kebaikan, hingga kalian infakkan dari apa yang kalian cintai. Dan apa kalian infakkan dari sesuatu maka Allah Maha Mengetahui”

6. Jelas anjuran infak ini membawa kepada terhasilnya konsep wakaf yang patut menjadi amalan kita. Oleh kerana keupayaan konsep wakaf yang mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara, kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional.

7. Justeru, wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12. Fokus Kelima dan Fokus Keenam RMK-12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan.

8. Ia selaras dengan usaha untuk mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera.

9. Menerusi Bajet 2022 juga, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

10. Kerajaan juga sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional, iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Dalam kita menggembleng pendekatan whole-of-nation, institusi wakaf perlu bersama-sama memain peranan untuk melonjakkan sosioekonomi komuniti sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

12. Iltizam ini boleh dicapai melalui Waqaf FELDA yang bakal dilaksanakan nanti dengan menggunakan konsep wakaf korporat.

13. Objektif penubuhan Waqaf FELDA ini adalah menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian FELDA.

14. Ia bagi memangkin ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya tidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan.

15. Waqaf FELDA akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh FELDA sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhads, Koperasi Permodalan FELDA, dan MSM Holdings Berhad dan beberapa agensi berkaitan FELDA yang lain.

16. Ia bagi membolehkan Waqaf FELDA ini ia dapat bergerak dengan lebih mampan sekali gus mampu memberi manfaat kepada lebih ramai warga Keluarga Malaysia yang memerlukan.

17. Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf FELDA ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, 5 peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, manakala selebihnya akan dilabur semula.

18. Sehubungan itu, saya meletakkan harapan untuk FELDA mengambil peluang ini bagi mempelopori Revolusi Industri
4.0 atau juga masyarakat 5.0 dalam pelaksanaan wakaf dan seterusnya mengangkat FELDA sebagai peneraju ekonomi luar bandar.

19. Insya-Allah, dengan tadbir urus yang jitu, Waqaf FELDA akan mampu menguruskan aset sehingga RM500 juta menjelang 2030 seperti yang diaspirasikan.

Keluarga Malaysia yang dikasihi,

20. Sebelum mengakhiri ucapan pada petang ini, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Pengerusi FELDA, barisan pengurusan FELDA serta warga FELDA keseluruhannya atas penubuhan Waqaf FELDA.

21. Akhir kata, dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Wakaf FELDA.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri