Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Malaysia (BKM2021)


TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB,
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN SAMBUTAN BULAN KELUARGA MALAYSIA (BKM2021)
7 NOVEMBER 2021 | 9.30 PAGI
TAMAN BOTANI PERDANA KUALA LUMPUR


Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan izin-Nya, kita dapat berhimpun pada pagi ini sebagai sebuah keluarga besar Malaysia bagi meraikan Sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 atau BKM 2021.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diterajui oleh Yang Berhormat Datuk Seri Rina Mohd Harun di atas penganjuran majlis yang sangat bermakna ini.

3. Sambutan ini diharap dapat menyemarak serta mempertingkatkan lagi usaha semua pihak untuk bersama- sama melindungi, mempertahan dan memperkasakan institusi keluarga sebagai benteng dan tunjang kestabilan sosial di negara kita.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Keluarga Pemangkin Pembangunan Negara

4. Konsep keluarga bukanlah asing bagi kita semua. Frasa keluarga itu bersifat inklusif kerana merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Institusi keluarga adalah institusi utama dalam kewujudan sebuah negara, sehinggalah tercetusnya konsep Keluarga Malaysia dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

5. Keluarga memainkan peranan penting dalam memastikan kesinambungan sistem nilai daripada satu generasi kepada generasi seterusnya. Sekiranya institusi ini hebat, maka akan hebatlah sesebuah negara itu.

6. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting kerana anak-anak ibarat sepohon pokok – jika disirami dan dibaja dengan baik, pasti ia menghasilkan buah yang elok dan seterusnya menjadi benih yang berkualiti tinggi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Penjenamaan semula Bulan Keluarga Kebangsaan

7. Bulan November setiap tahun diisytiharkan sebagai Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan sejak tahun 2012, bertujuan menggalakkan penglibatan semua pihak untuk untuk mengukuhkan institusi keluarga dalam sosioekonomi negara.

8. Ia selaras dengan pelaksanaan Dasar Keluarga Negara yang bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan teguh serta berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial demi kesejahteraan negara.

9. Bagaimanapun ia berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia yang ideanya saya cetuskan sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan pada 22 Ogos lalu, yang memfokus kepada usaha menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan COVID-19.

10. Keluarga Malaysia bertunjangkan tiga teras utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran yang mempunyai visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan pendekatan kekeluargaan.

11. Ia juga bersifat actionable kerana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 1 program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.

12. Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, saya mengisytiharkan mulai tahun ini, Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

13. Sambutan pada bulan November ini akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.

14. Selain penyertaan kementerian-kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, NGO dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

15. Penganjuran program juga boleh dilakukan pada peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia.


Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Keluarga Malaysia Agenda Negara 2022

16. Semasa pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober 2021, kerajaan memperuntukkan hampir RM2.7 bilion kepada KPWKM untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif mendokong kesejahteraan rakyat khususnya orang kurang upaya (OKU), wanita, warga emas, kanak-kanak dan keluarga.

17. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah kementerian ini pada tahun hadapan ialah program di bawah Yayasan Keluarga Malaysia. Sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19.

18. Beberapa program telah dirangka untuk memastikan nasib anak-anak ini terus dibela. Selain daripada bantuan kewangan, anak-anak ini juga akan dibantu daripada segi emosi mereka dalam mendepani cabaran yang dihadapi ketika membesar tanpa ibu dan ayah.

19. Komitmen banyak pihak diperlukan untuk bersama-sama membantu dan menjaga kebajikan anak-anak ini supaya mereka tidak terpinggir.

20. Pendekatan ‘Setiap Anak Memerlukan Keluarga!’ perlu dipupuk dalam setiap rakyat di negara ini. Yayasan ini juga akan diperluaskan bagi membantu anak-anak Keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya.

21. Bagi membantu golongan wanita pula, sebanyak RM11 juta diperuntukkan kepada hampir 50,000 wanita di seluruh negara melalui pelaksanaan Program Ujian Subsidi Mamogram dan Saringan HPV DNA secara percuma.

22. Program ini memberi peluang kepada wanita menjalani saringan kanser supaya penyakit ini dapat dicegah lebih awal, demi kesejahteraan keluarga yang kita sayangi.

23. Pengesanan awal ini penting kerana kos rawatan kanser payu dara di hospital swasta boleh menjangkau sehingga RM395 ribu manakala kanser serviks pula mencecah RM250 ribu.

24. Selain itu, seramai 130,000 orang remaja wanita B40 di seluruh negara akan mendapat kit asas kebersihan diri secara percuma melalui 18 pusat remaja KafeTEEN LPPKN. Di samping pemberian kit, remaja ini juga akan diberi pengetahuan kesihatan reproduktif dan sosial.

Keluarga Malaysia Yang Saya Kasihi,

Pastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara

25. Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat. Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan hari ini akan terus dijadikan sebagai falsafah pentadbiran negara. Kepada KPWKM dan LPPKN, teruskan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara dan sejahtera.

26. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021.


Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.

Tonton video sekitar Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Keluarga Malaysia (BKM2021) di sini

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri