Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur (Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid)

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO SABAH
ZON TIMUR
KINABATANGAN – SANDAKAN – BELURAN – TELUPID

6 November 2021|10.00 pagi
Dataran Tamu Pekan Kota Kinabatangan, Sabah

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-NYA dapat kita bersama-sama pada hari ini dalam Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah – Zon Timur (Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid).

2. Saya juga ingin menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga di atas kerjasama dan sokongan padu semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pelancaran ini.

3. Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi keutamaan terhadap pembangunan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang bersama-sama membangun seiring dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

4. Peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Sabah dan Sarawak merangkumi lebih 20 peratus daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan Bajet 2022 yang diagihkan ke negeri-negeri di Malaysia.

5. Peruntukan ini bertujuan melaksanakan pembangunan infrastruktur air, elektrik, jalan raya serta kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sekali gus akan merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan rangkaian infrastruktur jalan raya yang terancang, sistematik dan efisien buat Keluarga Malaysia di sini.

7. Ia sekaligus memastikan pembangunan sosioekonomi yang lebih baik dan dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini, selari dengan hala tuju strategik Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) iaitu ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’.

8. Projek ini melibatkan kerja-kerja menambah baik jaringan jalan raya sedia ada secara berfasa dari Sindumin ke Kudat, Ranau ke Sandakan dan seterusnya ke Tawau.

9. Antara lain, ia turut melibatkan pembinaan jalan baru dan naik taraf bagi Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 706km yang dibahagikan kepada 35 Pakej Kerja.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Pakej Kerja 28, 29 dan 30 yang merentasi daerah Kinabatangan, Sandakan, Beluran dan Telupid sepanjang 58km, yang merangkumi tiga (3) Pakej Kerja berjumlah RM877 juta merupakan tambahan kepada 11 Pakej Kerja yang telah dimulakan pembinaan seawal tahun 2016.

11. Skop pembinaan tiga Pakej Kerja ini melibatkan kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan sedia ada dari dua lorong ke empat lorong dari Sandakan Mile 32 ke Sungai Baoto, ini turut melibatkan pembinaan satu persimpangan bertingkat di Sapi Nangoh, dan tiga jambatan di Sungai Monyet, Sungai Muanad dan Sungai Manduring.

12. Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada bulan ini dan dijadualkan siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun iaitu pada bulan Oktober 2024.

13. Insya-Allah pembangunan di Sabah tidak akan terhenti disini, kerajaan akan meneruskan pakej-pakej pembangunan dalam memastikan pembangunan Negeri Sabah dapat diteruskan dan manfaat dapat dinikmati oleh rakyat di negeri ini.

14. Dalam melaksanakan projek ini, kerajaan membuka ruang penglibatan untuk rakyat tempatan Sabah sepenuhnya. Ada yang telah dilantik sebagai perunding, pembekal mahu pun kontraktor serta mencipta peluang pekerjaan buat Keluarga Malaysia di Sabah

15. Selain itu ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan Sabah juga telah dapat dilahirkan dan secara langsung memberi sumbangan kepada pembangunan Negeri Sabah khususnya, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan.

16. Hasil perancangan yang rapi dan bersifat holistic antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri melalui Highway National Development Planning (HNDP), projek ini bakal menjadi pemangkin kepada kemajuan Sabah Economic and Development Authority (SEDIA) untuk membolehkan Negeri Sabah mencapai taraf negeri maju.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Hasrat Kerajaan Persekutuan menerusi projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini adalah untuk mengulangi kejayaan (success story) projek-projek lebuh raya di Semenanjung.

18. Seperti yang kita sedia maklum, rangkaian jalan raya yang baik mampu melonjak potensi pertumbuhan dan memberi limpahan transformasi pembangunan luar bandar.

19. Kerajaan yakin, Projek Lebuhraya Pan Borneo ini bakal memperluaskan jaringan pengangkutan dan keterhubungan antara pekan serta daerah ke pusat pertumbuhan yang berpotensi seperti pelabuhan, kawasan perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang jajarannya.

20. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kerja Raya, Kerajaan Negeri Sabah dan Kementerian Kerja Raya Negeri Sabah atas usaha merancang dan merealisasikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

21. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah – Zon Timur (Kinabatangan – Sandakan – Beluran – Telupid).
Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

LAMPIRAN

KELULUSAN KHAS YAB PERDANA MENTERI DI MAJLIS PELANCARAN PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO – ZON TIMUR

1. DEWAN SERBAGUNA PEKAN KOTA KINABATANGAN
– RM 6 Juta

2. PASAR AWAM KOTA KINABATANGAN
– RM 5 Juta

3. PUSAT PELUPUSAN SAMPAH
– RM 3 Juta

Tonton video sekitar Majlis Pelancaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur di sini 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri