Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 Dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
PELAN TINDAKAN PERPADUAN NEGARA 2021-2030
DAN
KAMI@PELAN PERPADUAN KELUARGA MALAYSIA 2021-2025
28 NOVEMBER 2021 | 10.00 PAGI
KUALA LUMPUR CITY CENTER (KLCC)

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

SALUTASI

1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk menghadiri Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030.

2. Ini merupakan pelancaran serentak bagi Pelan Tindakan Induk Perpaduan Negara dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 buat Keluarga Malaysia keseluruhannya.

3. Sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, perlu kita bersama-sama dengan fikiran dan dada yang terbuka menerima persamaan dan tidak terlalu menekankan perbezaan.

4. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara kerana telah merealisasikan konsep Keluarga Malaysia dalam bentuk program yang spesifik dan konkrit dalam memperkasa perpaduan dan integrase nasional.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 adalah usaha untuk mengembalikan semula impian asal tentang perpaduan yang tersurat dalam lima prinsip Rukun Negara.

6. Rukun Negara merupakan dokumen asas tatacara kehidupan bermasyarakat warga Malaysia yang telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 bertujuan membina perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum berlandaskan kesepaduan dan keharmonian antara kaum menerusi prinsip-prinsip yang terkandung dalamnya.

7. Justeru, Kementerian Perpaduan Negara yang diterajui Menterinya, Datuk Seri Halimah Mohamed Sadique, akan memandu Keluarga Malaysia untuk memahami makna perpaduan dalam skop yang lebih luas dan inkusif dengan menjadikan Rukun Negara sebagai teras utama.

8. Ini bukanlah sebuah pelan yang tertulis di atas kertas semata-mata kerana pelan tindakan ini merupakan satu modus operandi yang terancang berlandaskan lima strategi penting iaitu:

Teras Strategik 1: Membentuk Masyarakat yang Menghargai dan Mengamalkan Perpaduan

Teras Strategik 2: Memelihara Sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan

Teras Strategik 3: Memperkasakan Sosio-Ekonomi Yang Adil dan Saksama

Teras Strategik 4: Menjamin Keterbukaan dan Toleransi Terhadap Perbezaan Agama dan Tradisi Kebudayaan

Teras Strategik 5: Membina Masyarakat Progresif Melalui Sains, Teknologi dan Inovasi

9. Pelan ini dirangka sesuai dengan program mengikut keupayaan institusi di peringkat pusat, negeri dan akar umbi. Ini mampu memanfaatkan Keluarga merangkumi program pendidikan, ekonomi, kebajikan, sosio-budaya, sains, teknologi dan inovasi.

10. Saya menyeru kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) selaku agensi peneraju dan pelaksana dalam pelan tindakan ini untuk duduk bersama sebagai sebuah keluarga besar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Kerjasama semua pihak mampu mencorakkan kehidupan yang lebih tersusun, terangkum, bersama dan sentiasa bersyukur di atas apa yang kita perolehi seharian untuk membantuk kesepaduan dan keharmonian yang bersifat nasional tanpa mengira kaum dan agama.

12. Itulah harapan yang saya inginkan apabila berbicara tentang perpaduan semasa melancarkan Keluarga Malaysia di Sarawak pada pada 23 Oktober yang lalu.

13. Sementara itu, satu lagi pelan yang turut dilancarkan hari ini ialah pelan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025.

14. Ia merupakan satu pelan yang paling signifikan kepada Kementerian Perpaduan Negara dalam menerajui agenda perpaduan nasional.

15. Pelan yang Merakyatkan Perpaduan ini akan memberi tumpuan terhadap empat dimensi, atau nama ringkasnya KAMI iaitu K bermakna – KARIB; A – AKSESIBILITI; M – MAJMUK dan I – INKLUSIVITI.

16. Pelan ini dirangka berdasarkan satu kajian yang melibatkan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara menjurus kepelbagaian budaya dan agama supaya dapat menepis sebarang usaha yang mencemarkan perpaduan di negara ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Pendedahan ini juga adalah signifikan supaya masyarakat berlainan etnik dapat mengawal percakapan dan perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama serta budaya etnik lain sehingga sering menjadi pencetus reaksi negatif.

18. Kita impikan kemakmuran bersama antara Keluarga Malaysia kerana ia merupakan asas kepada kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara ini.

19. Diharap Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 dapat mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia terjalin dalam kalangan Keluarga Malaysia.

20. Akhir kata, syabas dan tahniah diucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara yang telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan kedua-dua Pelan Tindakan ini.

21. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya melancarkan serentak Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.