Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Pelan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara & Institut Genom Dan Vaksin Malaysia

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
PELAN HALA TUJU PEMBANGUNAN VAKSIN NEGARA
&
INSTITUT GENOM DAN VAKSIN MALAYSIA

SALUTASI

1. Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba
Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi

2. Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad
Menteri Pengajian Tinggi

3. Yang Berhormat Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Menteri Kesihatan

4. Yang Berhormat Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim
Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi

5. Ketua-ketua Setiausaha

6. Dif-Dif Kenamaan

7. Keluarga Malaysia yang dikasihi.

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dapat kita bersama-sama pada hari ini bagi Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin (PPVN) serta Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI).

2. Sekalung penghargaan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta semua pihak yang terlibat bagi persiapan majlis yang cukup bersejarah ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Sejak Mac tahun lalu, Keluarga Malaysia diuji dengan pandemik COVID-19 dan kita telah mengharungi bersama tempoh getir itu sebagai sebuah keluarga dengan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

4. Bagi memastikan negara sentiasa bersiapsiaga untuk berhadapan pandemik pada masa akan datang, kerajaan komited untuk meningkatkan keupayaan di dalam sektor kesihatan khususnya bagi penghasilan vaksin.

5. Apabila Malaysia memperkukuhkan sekuriti kesihatan negara, ini membolehkan kita mengurangkan kebergantungan terhadap negara-negara pengeluar vaksin.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Kerajaan juga komited untuk memacu R&D bagi menghasilkan teknologi baharu. Bagi merealisasikan hasrat ini, kerajaan akan memastikan 50% daripada dana penyelidikan kerajaan disediakan untuk pembangunan eksperimental (aktiviti pra-pengkomersialan) khususnya bagi inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.

7. Ini bagi memastikan semua aktiviti pembangunan, penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi adalah sejajar dengan bidang keutamaan nasional dan keperluan negara.

8. Kadar import produk farmaseutikal Malaysia bernilai USD$1.94 bilion pada tahun 2020 di mana vaksin adalah antara lima item import utama dengan jumlah pembelian sebanyak RM4.3 bilion bagi vaksin COVID-19 sahaja.

9. Kebergantungan kepada import ini menunjukkan kita perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan pengguna teknologi semata-mata.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Negara kita mempunyai saintis vaksin, yang memiliki kepakaran dalam penyelidikan dan pembangunan vaksin. Saya ucapkan terima kasih kepada saintis-saintis yang berada di hadapan saya ketika ini di atas segala penat lelah selama ini yang menjadi kelompok utama menghasilkan vaksin untuk manusia.

11. Melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, kita menjangkakan lebih ramai saintis vaksin dapat dilahirkan. Ini sekali gus dapat menyokong pelbagai program dan perancangan kerajaan bagi meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah untuk pasaran global.

12. Daripada sudut kesediaan industri pula, antara usaha yang telah dilakukan termasuk menerusi syarikat Pharmaniaga menerusi proses pembotolan atau ‘fill and finish’ vaksin COVID-19 iaitu CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac, dan syarikat Solution Biologics bagi pembotolan vaksin Convidecia, atau dikenali sebagai CanSino.

13. Untuk makluman, Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang dilancarkan hari ini tidak akan tertumpu hanya pada vaksin COVID-19 semata-mata, tetapi ia diperluaskan juga kepada vaksin bagi penyakit-penyakit lain antaranya pembangunan vaksin untuk kanser kepala dan leher (head and neck) oleh Pusat Penyelidikan Kanser.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Melalui kajian pelan pembangunan vaksin negara oleh Majlis Sains Negara, pelan ini telah dilaksanakan secara bersama oleh MOSTI dan KKM. Melalui kajian ini, kerajaan telah bersetuju agar MOSTI memberi fokus terhadap pembangunan dan penyelidikan vaksin tempatan.

15. Hasilnya, pada hari ini kita menyaksikan Institut Genom Malaysia (MGI) dinaiktaraf kepada Institut Genom & Vaksin Malaysia atau Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI).

16. Naik taraf MGVI ini bersesuaian dengan skop MGI yang memberi tumpuan kepada penyelidikan genom dan biologi molekular dalam usaha penghasilan vaksin.

17. Saya yakin, penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI ini, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan. Lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia sekaligus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat.

19. Walaupun pembangunan R&D dan penghasilan vaksin ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi, tetapi ia berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit, selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia.

20. Melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI, Malaysia juga mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.

21. Sebagai langkah awal ke arah itu, saya ingin kongsikan pada hari ini, terdapat 3 projek yang bersedia untuk dilaksanakan melalui PPVN, iaitu:

Pertama: 2 jenis vaksin COVID-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Pembangunan vaksin ini akan tertumpu kepada Variant of Concern (VOC) COVID- 19 yang terdapat di Malaysia. Peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan iaitu peruntukan penyelidikan KKM dan SUKUK Prihatin (bantuan khas peruntukan penyelidikan COVID-19) yang berjumlah RM3.5 juta;

Kedua: Vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST). Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut membiayai projek ini menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bertajuk Development of Mucosal/Oral/Subunit Vaccines Against Cholera, Tuberculosis and COVID-19; dan

Ketiga: Projek Pre-clinical Evaluation of A Therapeutic Cancer Vaccine for The Treatment of Head and Neck Cancer oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu first in human di Malaysia lagi pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Kerajaan akan melaksanakan strategi ini secara berperingkat menggunakan rangka kerja PPVN agar perancangan dapat dilaksanakan secara sistematik dan berfokus.

23. Kesemua ini memerlukan kebersamaan Keluarga Malaysia. Justeru, saya berharap semua pihak dapat menggembleng tenaga dalam usaha agar Malaysia mampu menjadi salah sebuah negara pengeluar vaksin utama dunia. Sekali lagi,tahniah diucapkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia di atas kejayaan ini.

24. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara serta Institut Genom & Vaksin Malaysia.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri