Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN
AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT (ANMS)
11 NOVEMBER 2021 (KHAMIS)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia,

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan petunjuk dan hidayah-Nya untuk kita terus mengorak langkah, mencari jalan keluar daripada segala kemelut, khususnya dalam mengharungi pandemik Covid-19. InsyaAllah dengan rahmat Allah dan usaha Keluarga Malaysia yang tidak mengenal putus asa, kita pasti berjaya melepasi cabaran ini.

2. Dengan penuh rasa syukur dan rendah hati, saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat yang menunjukkan kesungguhan dan memainkan peranan masng-masing bagi memulihkan semula negara yang terkesan akibat Covid-19 dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

3. Agenda Nasional Malaysia Sihat atau ANMS merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai penggerak utama, dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

5. ANMS yang diterajui dua kementerian ini, dan penglibatan kementerian atau agensi kerajaan yang lain, merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik Covid-19.

6. ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia. Agenda ini berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Bagi menjayakan ANMS, kerajaan mengambil pendekatan Whole of Nation, iaitu ‘Keseluruhan Negara’ dengan menjalinkan kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik.

8. Kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan NGO adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan.

9. ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai tahun 2021 hingga tahun 2030. Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal; iaitu penggal pertama bermula pada tahun tahun 2021 sehingga tahun 2025, dan penggal kedua pula bermula pada tahun 2026 dan akan berakhir pada tahun 2030.

10. Ia melibatkan empat teras utama; 10 strategi; dan 24 inisiatif. Empat Teras Utama tersebut adalah:

Pertama : Memantapkan Promosi Pembudayaan Hidup Sihat
Kedua : Memantapkan Perkhidmatan Kesejahteraan Kesihatan
Ketiga : Memperkasakan Kawalan Kesihatan Kendiri
Keempat : Memantapkan Kebersihan Persekitaran

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Saya menaruh harapan tinggi bahawa, menerusi ANMS, Keluarga Malaysia akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (atau SOP) yang telah ditetapkan, kekal dengan kehidupan norma baru, mengambil vaksin serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri, seperti menjalani ujian dan kuarantin jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

12. Keluarga Malaysia perlu membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal, makan secara sihat, dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan penyakit.

13. ANMS turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (atau RMK-12), terutamanya dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan. Antara strategi yang akan digunakan dalam RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

14. Kerajaan turut memutuskan untuk membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan. Melalui dasar ini, beberapa inisiatif akan dilaksanakan termasuklah penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.

15. Bagi memastikan literasi kesihatan Keluarga Malaysia dapat dipertingkatkan, program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti (atau MyCHAMPION) akan diperkukuhkan, terutamanya dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan.

16. Dengan tahap literasi kesihatan yang tinggi, kita akan mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat, membuat kawalan kesihatan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan bagi mengelak komplikasi.

17. Keluarga Malaysia juga dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan yang diperlukan untuk membuat keputusan berkenaan kesihatan dan seterusnya mengamalkan cara hidup sihat, sekali gus dapat mengekalkan kesihatan yang baik.

18. Contohnya, Keluarga Malaysia dalam kalangan B40 akan mendapat akses kepada maklumat kesihatan, memahami kepentingan penjagaan kesihatan, dan melakukan saringan kesihatan percuma melalui program skim PekaB40.

19. Ini membolehkan kita mengenalpasti risiko kesihatan lebih awal dan menjalani intervensi kesihatan sama ada di Wellness Hub (atau Hub Sejahtera), klinik kesihatan dan hospital mengikut status kesihatan.

20. Kita juga akan mendapat kemahiran saringan status kesihatan kendiri seperti mengetahui bacaan tekanan darah dan tahap glukos dalam darah. Keluarga Malaysia turut mendapat faedah kesihatan bagi pengurusan berat badan, pengurusan stres dan khidmat bantuan berhenti merokok serta menjalani intervensi kesejahteraan kesihatan di fasiliti kesihatan dengan persekitaran yang kondusif.

21. Dengan ini, Keluarga Malaysia bukan sahaja dapat membudayakan hidup sihat, mengurangkan risiko penyakit, mengurangkan kos rawatan dan pemulihan, malah dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Sebagai jaminan kepada aspirasi murni ini, kerajaan komited menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Agenda Nasional Malaysia Sihat dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

23. Saya ingin menekankan bahawa Agenda Nasional Malaysia Sihat ini adalah milik Keluarga Malaysia dan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Justeru itu, besarlah harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia memberikan sepenuh sokongan serta kerjasama yang erat untuk menjayakannya.

Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM saya melancarkan Agenda Nasional Malaysia Sihat.

Sekian,
WABILLAHI TAUFIK WAL HIDAYAH
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri