Teks Ucapan Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN INDUSTRI 2020
2 NOVEMBER 2021 (SELASA)

HILTON KUALA LUMPUR

 

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh , dan Salam Keluarga Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri;

Yang Berhormat Senator Datuk Lim Ban Hong
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri;

Yang Berbahagia Dato Lokman Hakim bin Ali
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri;

Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Yong Poh Kon Pengerusi kepada Ahli Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020;

Pegawai – Pegawai Kanan Kerajaan ;

dan Hadirin Sekalian.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, dapat kita bersama-sama malam ini pada majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (atau MITI), di atas penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020, yang merupakan salah satu usaha Kerajaan dalam mengiktiraf pencapaian cemerlang sektor industri.

3. Anugerah Kecemerlangan Industri yang dianjurkan setiap dua tahun ini bertujuan mengiktiraf syarikat yang telah menunjukkan prestasi cemerlang, di samping mendorong syarikat untuk terus menambah-baik produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

4. Pada malam ini, kita bersama-sama meraikan serta mengucapkan tahniah kepada syarikat-syarikat yang telah menunjukkan ketabahan dan kecekalan untuk terus bertahan serta berkembang walaupun pasaran dunia dan Malaysia khususnya, berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

5. Saya yakin banyak perkara yang boleh dipelajari dan ditauladani oleh syarikat-syarikat tempatan terutama dari aspek pengurusan dan model perniagaan syarikat-syarikat yang berjaya ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Syukur Alhamdulillah, pada ketika ini , kita telah mula beralih ke Fasa 4 secara berperingkat dan hampir semua sektor ekonomi telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya.

7. Saya turut berbangga dengan keberkesanan impak Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (atau PIKAS) yang diterajui oleh MITI yang telah menyumbang secara signifikan terhadap usaha Kerajaan untuk mempertingkatkan imunisasi pekerja industri seterusnya mengurangkan risiko kluster tempat kerja.

8. Kerajaan amat menghargai kerjasama pihak industri dalam menjayakan program vaksinasi sebagai langkah meningkatkan perlindungan dan pencegahan COVID-19 bagi menjamin kesejahteraan pekerja dan merancakkan pemulihan ekonomi negara.

9. Saya dan barisan Kabinet komited dalam menjayakan kelestarian agenda pemulihan ekonomi demi kesejahteraan Keluarga Malaysia secara keseluruhannya.

10. Kerajaan sedia maklum, sektor swasta merupakan penyumbang utama dalam pembangunan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

11. Sebagai langkah membantu mengurangkan kesan pandemik kepada ekonomi termasuk sektor swasta, Kerajaan telah menyediakan sebanyak lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM 530 bilion.

12. Susulan kemudahan dan bantuan kerajaan serta pendekatan proaktif melalui pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi, Bank Dunia telah mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (atau KDNK) Malaysia pada tahun 2022 meningkat sebanyak 5.8 peratus berbanding unjuran asal sebanyak 4.2 peratus.

13. Unjuran baharu ini menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan tepat dan berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bakat – bakat tempatan.

14. Bagi terus memastikan kemampanan ekonomi negara, Rancangan Malaysia Ke-12 (atau RMKe-12) telah dijajarkan dengan inisiatif pemerkasaan ekonomi, kemampanan alam sekitar serta kerekayasaan sosial demi memastikan pembangunan sosio-ekonomi yang inklusif.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Malaysia merupakan negara yang kompetitif dalam perdagangan dunia, oleh itu negara perlu bersikap terbuka untuk meneroka dan melaksanakan inisiatif – inisiatif untuk meningkatkan keboleh-pasaran produk tempatan.

16. Bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan pilihan, MITI sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan yang strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi yang tinggi.

17. Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi di antara industri tempatan dengan rantaian bekalan serantau dan global.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Sejajar dengan agenda kelestarian dan pertumbuhan hijau, Kerajaan juga akan memperkukuhkan pendekatan yang berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance atau ESG).

19. Kerajaan sedar, sekiranya kita berhasrat untuk meningkatkan akses ke pasaran antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, produk yang dieksport perlu mematuhi piawaian ESG yang ditetapkan.

20. Kita akan ketinggalan sekiranya mengambil sikap sambil lewa dan bertangguh untuk menerapkan elemen ESG ini.

21. Marilah kita bersama-sama maju ke hadapan sebagai sebuah Keluarga Malaysia dalam usaha merancakkan ekonomi, sekaligus membolehkan negara kita bangkit dengan lebih gemilang lagi.

22. Sekali lagi saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 dan penghargaan terima kasih kepada syarikat – syarikat yang telah berusaha mengambil bahagian.

23. Saya mendoakan usaha berterusan ini akan memberi manfaat kepada organisasi masing-masing.

Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri 2020.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Tonton video sekitar perasmian Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 di sini

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri