Teks Ucapan Sempena Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PROGRAM PEMERKASAAN PENDIGITALAN PERUSAHAAN MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA
(PMKS) KEBANGSAAN 2021

21 NOVEMBER 2021 (AHAD) | 2.30 PETANG

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam Keluarga Malaysia,

Yang Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy bin Wan Ismail,
Menteri Besar Pahang;

Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima TPR Haji Annuar bin Haji Musa,
Menteri Komunikasi dan Multimedia;

Yang Berhormat Dato’ Sri Mustapa Mohamed,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi);

Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Haji Omar,
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi; serta

Para Usahawan PMKS dan Keluarga Malaysia yang saya kasihi.

1. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat meluangkan masa untuk menghadiri Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan 2021 (PMKS 2021) hari ini.

2. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada MyDIGITAL Corporation di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, yang menganjurkan program ini dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (atau KKMM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (atau MEDAC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (atau MITI), Malaysian Digital Economy Corporation (atau MDEC), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (atau SKMM).

3. Saya juga gembira apabila melihat agensi-agensi Kerajaan lain dan pihak swasta berganding bahu untuk menjayakan program ini yang bakal memberi manfaat yang besar kepada para usahawan PMKS Keluarga Malaysia.

4. Sinergi ini sangat penting bagi memastikan PMKS kekal berdaya saing terutamanya selepas menghadapi badai COVID-19 yang bukan sahaja telah menjejaskan pendapatan PMKS tetapi juga ekonomi negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

5. COVID-19 telah mengajar kita akan kepentingan pendigitalan, ekoran kebebasan pergerakan yang terhad dan keadaan ini boleh menyebabkan golongan yang tidak menerima kemajuan teknologi akan ketinggalan.

6. Oleh yang demikian, kerajaan melalui Belanjawan 2022 menumpukan perbelanjaan kepada insentif untuk mendorong adaptasi teknologi digital PMKS. Antaranya, RM25 juta diperuntukkan kepada Halal Development Corporation (atau HDC) untuk program Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS.

7. Selain itu, sebanyak RM200 juta turut diperuntukkan untuk inisiatif Skim Geran Pendigitalan PKS dengan RM50 juta dikhususkan untuk usahawan mikro Bumiputera di luar bandar.

8. Pagi tadi, saya juga telah merasmikan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sebagai pusat sehenti untuk mendorong usahawan mikro menerima guna pendigitalan.

9. Setiap PEDi dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar, kemudahan infrastruktur digital serta kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan yang diperlukan oleh komuniti setempat.

10. Jadi, saya berharap usahawan PMKS Keluarga Malaysia dapat mengambil peluang untuk memanfaatkan sumber yang disediakan sebagai langkah peralihan daripada perniagaan konvensional kepada dalam talian (atau online).

11. Untuk makluman, sehingga suku ketiga 2021, lebih daripada 200,000 PMKS telah menerima guna e-dagang. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,759 PMKS telah berjaya mengeksport barangan mereka dan menerokai pasaran baharu.

12. Di sini kita dapat melihat bagaimana teknologi dapat meningkatkan pendapatan dan meningkatkan taraf hidup para PMKS.

13. Dalam Rancangan Malaysia ke-12 (atau RMKe-12), salah satu fokus utama adalah menyokong perkembangan pertumbuhan kesemua sektor ekonomi, terutamanya mempercepatkan transformasi PMKS.

14. Melalui RMKe-12, PMKS dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (atau KDNK) dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Dalam menghadapi kepesatan ekonomi digital di peringkat global, Malaysia harus terus maju ke hadapan demi mencapai status negara berpendapatan tinggi yang berpaksikan pendigitalan.

16. Oleh itu, kerajaan komited merapatkan jurang digital di Malaysia melalui agenda MyDIGITAL dan Dasar 4IR Negara.

17. Saya berharap dengan kerjasama strategik antara MyDIGITAL Corporation beserta pelbagai kementerian, agensi dan sektor swasta melalui program pada hari ini, akan terus memperkukuhkan daya tahan PMKS melalui adaptasi teknologi digital.

18. Ini selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

19. Maka dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya merasmikan Program Pemerkasaan Pendigitalan PMKS Kebangsaan 2021.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri