Teks Ucapan Sempena Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA
PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU (PABM)
PIALA PERDANA MENTERI 2021

28 NOVEMBER 2021 | 8.00 MALAM

Bismillahir Rahmanir Rahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh ,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, pada malam ini kita dapat bersama-sama menyaksikan pentas akhir Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu atau PABM Piala Perdana Menteri, edisi keempat belas.

2. Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selaku tuan rumah, atas penganjuran PABM pada kali ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Slogan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ telah dicipta pada tahun 1952 di Kuala Kangsar, Perak oleh Ahli Lembaga Pembangun Sastera Perak. Slogan ini bermaksud, bahasa merupakan milik mutlak sesuatu bangsa dan menjadi identiti kebangsaan, serta lambang jati diri sesuatu bangsa. Kekuatan bangsa dan negara mempunyai perkaitan yang erat dengan bahasa. Oleh yang demikian, slogan ini mestilah dihayati sepenuh jiwa sebagai tanda kita cinta akan negara Malaysia.

4. Penganjuran PABM merupakan satu perjuangan untuk mengangkat martabat bahasa Melayu di persada dunia, selain mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa lingua franca, sejak zaman Kerajaan Sriwijaya sekitar abad ke-7 Masihi hingga abad ke-19.

5. Pada ketika itu, banyak karya besar dalam bidang kesusasteraan, metafizik, falsafah, tasawuf dan teologi dihasilkan dalam bahasa Melayu. Manuskrip Melayu turut menjadi rujukan dunia seperti Tuhfat al-Nafis dan Sulalatus Salatin dan ini membuktikan bahawa kepengarangan orang Melayu setanding dengan bangsa lain, dan dikaji sehingga ke hari ini.

6. Sejarah membuktikan bahawa tamadun yang dibangunkan oleh manusia memerlukan satu sistem bahasa yang baik bukan hanya untuk berkomunikasi, tetapi juga untuk mengungkap nilai keintelektualan, merancang kegiatan ekonomi dan aktiviti kehidupan seharian. Hakikatnya, keperkasaan sesuatu tamadun amat bergantung pada keupayaan bahasanya.

7. Bahasa Melayu telah berjaya melepasi ujian masa dan zaman. Pada masa ini, pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mengembang dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa, seiring dengan perubahan teknologi. Kita mahu mengulangi sejarah kegemilangan bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

8. Kerajaan komited untuk memastikan dasar-dasar yang digubal menyokong usaha pemartabatan bahasa Melayu. Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap bahasa Melayu.

9. Seperti yang dilakukan oleh raja-raja Melayu terdahulu di bawah Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, komitmen ini dizahirkan menerusi Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang jelas memperuntukkan bahasa kebangsaan di negara kita ialah bahasa Melayu.

10. Malah , Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) turut menyatakan bahawa bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud urusan rasmi.

11. Dalam konteks sektor awam secara keseluruhannya pula, pemerkasaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam digariskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

12. Dalam era globalisasi dan perkembangan Revolusi Industri 4.0, kita berdepan dengan dunia tanpa sempadan. Banyak cabaran dan hambatan, apatah lagi pada masa ini dunia sedang bergelut dengan COVID-19. Bahasa Melayu turut berdepan dengan cabaran era teknologi maklumat dan komunikasi, serta gelombang perubahan ilmu dan informasi yang berubah dengan pantas. Dalam hal ini, semua pihak perlu bekerjasama untuk memperkukuh peranan bahasa Melayu dalam dunia teknologi supaya kita tidak ketinggalan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Bahasa Melayu sememangnya sudah mampu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan bahasa antarabangsa yang lain.

14. Pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi. Dalam konteks ini, kita wajar berasa bangga kerana bahasa Melayu merupakan salah satu daripada 20 bahasa itu, dan menduduki tangga
ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.

15. Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh bahasa Inggeris, bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.

16. Keadaan ini tidak berlaku kepada semua bahasa utama dunia kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berhadapan dengan ancaman kepupusan. Kita harus bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku kepada bahasa Melayu. Semuanya hasil kesepaduan rumpun nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, dan Brunei Darussalam selaku pendukung utama.

17. Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur bahasa Melayu di dunia ini, yang sekarang ini sudah pun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ bahasa Melayu.

18. Namun peranan kita sebagai rakyat Malaysia untuk memastikan Bahasa Melayu terus berkembang yang ketika ini sudah menjadi trend untuk tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi-agensi kerajaan. Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris. Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan Bahasa Melayu. Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, pernah berkata, “Jika anda bercakap dengan seseorang dalam bahasa yang dia fahami, kata-kata itu akan memberikan kesan kepada pemikirannya. Jika anda bercakap dengan dia dalam bahasanya, kata-kata itu akan sampai ke hatinya.”

20. Pengkaji budaya Melayu seperti Brown, Clifford dan Swettenham ada menyatakan bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa diplomatik yang dapat menyelindungi perasaan dan pemikiran benar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Inisiatif penganjuran pertandingan PABM bukan sahaja manifestasi komitmen kerajaan untuk mempromosi bahasa Melayu di persada dunia. Pentas berprestij ini berupaya menjentik hati dan minda khalayak global tentang keunggulan bahasa Melayu.

22. Rakaman sejarah penganjuran PABM sendiri telah mencatatkan bahawa pentas ini merupakan satu-satunya pertandingan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di peringkat antarabangsa.

23. Sebagaimana penganjuran yang lepas, PABM pada kali ini turut disertai oleh para peserta dari pelbagai benua. Malam kemuncak PABM 2021 menyaksikan 9 finalis daripada 3 kategori akan bertanding untuk merebut Piala Perdana Menteri.

24. Sambutan hangat dengan lebih daripada 100 penyertaan daripada pelbagai universiti dan pusat pengajian tinggi, termasuk penglibatan 36 buah negara dari seluruh dunia membuktikan bahawa bahasa Melayu berupaya merantau jauh ke segenap pelosok dunia.

25. Semoga jumlah ini akan terus meningkat pada masa hadapan dan PABM meniti di bibir masyarakat dunia. Saya juga berharap peserta PABM dapat membantu Malaysia untuk menyebarluaskan keindahan bahasa Melayu dan terus meningkatkan penguasaan bahasa Melayu apabila pulang ke negara asal.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Saya ucapkan selamat bertanding kepada semua finalis. Keupayaan dan kepetahan anda berpidato membuktikan bahawa bahasa Melayu mudah dipelajari, sangat lentur dan mempunyai nilai estetika yang tinggi. Saya juga berharap PABM dapat dijadikan landasan oleh semua peserta untuk berkongsi idea yang kritis, terutamanya bagi memperkasakan bahasa Melayu dalam revolusi teknologi maklumat.

27. Harapan saya, PABM terus kekal sebagai program tahunan yang berprestij tinggi selari dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia. Semoga penutur bahasa Melayu seantero dunia semakin bertambah dan potensi bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama di peringkat antarabangsa dapat direalisasikan suatu hari nanti.

28. Tahniah dan syabas kepada semua peserta yang menyertai PABM 2021. Juga ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak penganjur yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan PABM. Semoga Allah membalas usaha murni ini dengan sebesar-besar ganjaran.

Cik Ayu menanam huma,
Mari ditanam bersama teman,
Bahasa Melayu milik bersama,
Kita tuturkan sepanjang zaman.

Ikat jerami muat ke kandar,
Si cantik ayu mandi di telaga,
Ucap difahami wasangka terhindar,
Bahasa Melayu penyatu warga.

29. Akhir kata , dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, SAYA DENGAN INI MERASMIKAN MAJLIS MALAM KEMUNCAK PIDATO ANTARABANGSA BAHASA MELAYU, PIALA PERDANA MENTERI 2021.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri