Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Pas #KeluargaMalaysia 2021 Dan Tinjauan Mesra Di LRT Oleh YAB Perdana Menteri

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN PAS #KELUARGAMALAYSIA 2021
DAN
TINJAUAN MESRA DI LRT
OLEH YAB PERDANA MENTERI
22 NOVEMBER 2021 (ISNIN)|12.00 TENGAHARI

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini di majlis Pelancaran Pas ‘Keluarga Malaysia 2021.

2. Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga kerja Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, yang diterajui oleh Pengerusinya, YBhg Tan Sri Jamaludin Ibrahim; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Encik Azharuddin Mat Sah di atas penganjuran majlis yang sangat bermakna ini.

3. Pada 7 November lalu, saya telah melancarkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2021 yang menjadi visi jangka panjang untuk memulihkan negara dengan konteks pendekatan kekeluargaan.

4. Pengangkutan awam juga tidak terkecuali dalam memainkan peranan penting dalam menjayakan Keluarga Malaysia kerana selain menjadi alat penyatuan bangsa, ia juga menjana pertumbuhan ekonomi negara.

5. Alhamdulillah, sebentar tadi saya sendiri berpeluang menaiki tren Laluan Kelana Jaya yang bertemakan Keluarga Malaysia dari Stesen Bangsar ke KL Sentral.

6. Selain tren, saya difahamkan bahawa Prasarana turut memperagakan imej ‘Keluarga Malaysia’ dengan membuat balutan bas atau ‘bus wrap’ untuk dua unit bas Rapid KL sebagai sokongan kepada kempen ‘Keluarga Malaysia’.

7. Pas Keluarga Malaysia yang akan saya lancarkan sebentar lagi membolehkan seramai empat orang dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum dengan harga cuma RM15.

8. Ini bermakna setiap seorang di dalam kumpulan ini hanya membayar RM3.75 untuk menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan BRT di bawah kendalian Rapid KL sepanjang hari.

9. Inisiatif pengenalan Pas Keluarga Malaysia ini bertujuan menggalakkan keluarga Malaysia beriadah, bersiar-siar dan menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang sambil mengunjungi pusat-pusat beli belah atau tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Selangor.

10. Saya percaya kemudahan pengangkutan awam yang efisiyen dan ketersambungan adalah penting bagi mobilisasi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Sejak bermulanya pandemik COVID-19, saya sedia maklum bahawa Prasarana telah mengambil beberapa inisiatif bagi membantu para usahawan kecil untuk meningkatkan hasil jualan peniagaan mereka.

12. Bertemakan Rapid KL Supports #KeluargaMalaysia, Kumpulan Prasarana menerusi Divisyen Komunikasi Strategik dan Pemasaran menggunakan platform-platform media sosial kendaliannya, untuk mempromosikan produk peniaga-peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk di hab-hab bas.

13. Di bawah kempen itu, Prasarana bukan sahaja membeli produk dan mencipta kandungan media sosial agar liputan percuma dan promosi secara agresif dapat diberikan kepada peniaga-peniaga, malah mereka turut dibimbing dan diberi bantuan kepakaran.

14. Ia merangkumi aspek pemasaran, promosi dan penjualan atas talian supaya perniagaan boleh berkembang dengan baik dan menularkan produk mereka sekali gus meningkatkan hasil jualan.

15. Terima kasih saya ucapkan kepada Prasarana atas tanggungjawab sosial korporat yang telah diberikan bagi membantu para peniaga menjana semula ekonomi mereka yang terkesan akibat pandemik.

16. Saya juga sukacita mengumumkan bahawa Prasarana, menerusi anak syarikatnya Prasarana Integrated Development Sdn Bhd atau PRIDE akan menawarkan “Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana” mulai bulan Mac 2022.

17. Menerusi pakej ini, sejumlah dua puluh lot perniagaan, bersaiz antara lapan puluh hingga ke empat ratus kaki persegi di beberapa laluan akan ditawarkan kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana secara cabutan lot.

18. Ia melibatkan stesen Laluan Kelana Jaya iaitu stesen Subang Alam, Alam Sutera, Putra Height, Taman Perindustrian Puchong, Awan Besar, IOI Puchong Jaya, Plaza Rakyat dan SS18.

19. Pemohon yang berjaya akan menikmati struktur sewaan istimewa selama setahun termasuk pengecualian sewa selama tiga bulan. Perincian dan permohonan untuk “Pakej Transit” akan diwar-warkan oleh PRIDE dalam masa terdekat.

20. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan pengusaha industri kecil dan sederhana untuk mengambil bahagian dan memperkasakan ekonomi setempat agar dapat melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Kerajaan memberi jaminan untuk terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang terbaik serta menjaga kebajikan rakyat. Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Kerajaan hari ini akan terus dijadikan teras dalam pentadbiran pasukan saya.

22. Kepada Prasarana, teruskan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara dan sejahtera.

23. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya melancarkan Pas ‘Keluarga Malaysia’.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri