Press Statement Sidang Media Bersama Di Antara YAB Perdana Menteri Dan Presiden Republik Indonesia Sempena Lawatan Rasmi YAB Perdana Menteri Ke Republik Indonesia

PRESS STATEMENT
SIDANG MEDIA BERSAMA DI ANTARA YAB PERDANA MENTERI
DAN PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA
SEMPENA LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI
KE REPUBLIK INDONESIA
10 NOVEMBER 2021
ISTANA BOGOR


Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam sejahtera,
Selamat siang.

1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Mulia Bapak Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia di atas kesudian menerima lawatan sulung saya ke luar negara sebagai Perdana Menteri Malaysia.

2. Saya berasa sangat gembira dengan sambutan begitu mesra yang diberikan oleh Bapak Presiden dan Pemerintah Indonesia kepada saya dan delegasi. Aturan lawatan adalah cukup baik walaupun dalam suasana norma baharu pandemik COVID-19.

3. Sebagai negara jiran rapat yang mempunyai kesamaan nilai budaya dan perkongsiaan sejarah yang lama, Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang cukup istimewa. Tahun hadapan kita akan meraikan ulang tahun yang ke-65 Hubungan Diplomatik antara kedua-dua negara kita.

4. Saya percaya, melalui hubungan yang matang ini, Malaysia dan Indonesia akan mampu untuk mengukuhkan lagi persefahaman dan kerjasama yang sedia ada.

5. Sebentar tadi, saya dan Bapak Presiden telah berbincang mengenai status kerjasama dua hala kedua-dua negara. Di samping itu, kami berdua turut bertukar-tukar pandangan mengenai situasi serantau dan antarabangsa.

KERJASAMA KESIHATAN: CADANGAN PELAKSANAAN KORIDOR PERJALANAN

6. Dunia sangat terkesan dengan penularan pandemik COVID-19. Malaysia dan Indonesia terus berkerjasama rapat dalam menangani cabaran-cabaran yang telah timbul akibat pandemik ini, terutamanya dalam bidang kesihatan.

7. Alhamdullilah, sekarang ini situasi pandemik COVID-19 telah bertambah baik di kedua-dua negara. Hari ini, saya dan Bapak Presiden telah telah mencapai persetujuan supaya Malaysia dan Indonesia dapat melaksanakan satu koridor perjalanan antara kedua-dua negara melalui aturan Travel Corridor Arrangement (TCA) atau Vaccinated Travel Lane (VTL).

8. Cadangannya, sebagai permulaan, inisiatif koridor perjalanan ini akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Jakarta melalui jalan udara, kemudian boleh ditambah destinasi-destinasi lain yang telah menunjukkan risiko yang rendah. Ia akan memberi keutamaan kepada mereka yang telah divaksinasi penuh, bagi kategori pengembara untuk tujuan rasmi, perniagaan, perubatan dan kemanusiaan.

9. Koridor perjalanan ini juga akan melibatkan pengiktirafan bersama sijil vaksinasi COVID-19 dan standard keputusan ujian saringan PCR COVID-19.

10. Inisiatif ini tentunya akan memudahkan pergerakan semula rakyat kedua-dua negara. Pembukaan semula sempadan secara kaedah yang selamat adalah penting dalam mengimbangi di antara keperluan membuka dan membangunkan semula ekonomi dan menjaga aspek keselamatan dan kawalan kesihatan awam.

11. Saya dan Bapak Presiden berharap inisiatif ini dapat dimuktamadkan dan mula dilaksanakan pada awal tahun 2022.

PERLINDUNGAN WARGANEGARA INDONESIA DI MALAYSIA

12. Saya telah menzahirkan kepada Bapak Presiden bahawa Malaysia sentiasa menghargai sumbangan pekerja migran warganegara Indonesia kepada pembangunan ekonomi Malaysia dan kehidupan rakyat Malaysia.

13. Saya telah memberi jaminan kepada Bapak Presiden, Kerajaan Malaysia akan terus memastikan kebajikan dan perlindungan rakyat Indonesia yang bekerja di Malaysia tetap dipelihara. Contohnya, pada tahun lepas, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) telah diluluskan pindaannya, yang menjamin keselesaan penginapan pekerja, bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi juga untuk rakyat asing.

14. Saya dan Bapak Presiden seterusnya mengambil maklum tentang kemajuan proses bagi memuktamadkan MoU Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) di Malaysia di antara Kementerian Sumber Manusia Malaysia dan Kementerian Tenaga Kerja Indonesia. Kami percaya isu-isu yang tertunggak akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat.

15. Malaysia juga berharap agar Program Rekalibrasi yang telah dilanjutkan oleh Kerajaan Malaysia sehingga penghujung tahun ini, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warganegara Indonesia di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau untuk bekerja secara sah di Malaysia.

KERJASAMA EKONOMI: POTENSI PELABURAN MALAYSIA DI KALIMANTAN TIMUR

16. Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah USD15.67 billion pada tahun 2020. Pada suku ke-2 tahun 2021, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak USD12.53 billion dan pelaburan Indonesia di Malaysia USD1.16 billion. Saya mengalu-ngalukan pelabur-pelabur daripada Indonesia untuk terus datang melabur di Malaysia.

17. Yang Mulia Bapak Presiden, Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara baru Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat, seperti yang pernah lakukan oleh Malaysia 25 tahun yang lepas, dengan pemindahan pusat pentadbiran daripada Kuala Lumpur ke Putrajaya.

18. Malaysia siap untuk berkongsi pengalaman berkaitan hal ini dan juga syarikat-syarikat daripada Malaysia bersedia untuk berkerjasama dan turut serta untuk membangunkan projek yang berskala mega ini.

KERJASAMA KEBUDAYAAN: PENYENARAIAN BERSAMA WARISAN KEBUDAYAAN KE UNESCO

19. Sebagai sahabat serumpun, Malaysia dan Indonesia berkongsi banyak persamaan dalam pelbagai perkara termasuk adat, tradisi dan warisan kebudayaan. Pada tahun 2020, kedua-dua negara telah membuat penyenaraian bersama bagi Pantun secara multi-national nomination ke UNESCO.

20. Bagi meneruskan usaha baik in, yang boleh mengeratkan lagi hubungan diantara kedua-dua negara, Malaysia berharap agar Indonesia bersetuju untuk membuat penyenaraian bersama bagi beberapa lagi item warisan kebudayaan yang dikongsi bersama ke UNESCO pada masa hadapan.

PEMBATASAN SEMPADAN MARITIM DI ANTARA MALAYSIA DAN INDONESIA

21. Saya dan Bapak Presiden telah berbincang dan mengambil maklum bahawa terdapat kemajuan dalam rundingan sempadan maritim di antara kedua-dua negara.

22. Dalam hal ini, saya memberi jaminan Malaysia akan terus komited untuk mencapai penyelesaian bagi memuktamadkan pembatasan sempadan maritim tersebut.

23. Kami bersepakat agar usaha dan perbincangan selanjutnya dapat diteruskan.

ISU-ISU SERANTAU DAN ANTARABANGSA

24. Berkaitan isu Myanmar, saya dan Bapak Presiden bersependapat bahawa isu ini perlu ditangani dengan baik. Dalam hal ini, Malaysia menyokong penuh Konsensus Lima Perkara yang telah dicapai dalam Mesyuarat Pemimpin ASEAN dan menyeru pelaksanaannya dapat dilakukan dengan segera. Malaysia dan Indonesia juga sepakat berkaitan isu penyertaan Myanmar di mesyuarat- mesyuarat ASEAN buat masa ini.

25. Berkaitan isu Rohingya, Malaysia yang secara langsung terkesan kerana terpaksa menerima jumlah pelarian Rohingya yang tinggi, akan terus mendokong usaha-usaha ke arah proses repatriasi warga Rohingya ke tempat asal mereka di Wilayah Rakhine. Saya berharap negara-negara terbabit akan dapat membantu Malaysia menyelesaikan masalah pelarian ini.

26. Mengenai perbincangan isu Laut China selatan, Malaysia berpendirian bahawa Laut China Selatan perlu kekal menjadi laluan perdagangan dan perairan yang aman.

27. Malaysia berpegang teguh bahawa kedaulatan dan kepentingan negara menjadi asas utama berhubung pendirian dan tindakan yang akan diambil. Kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan keutuhan wilayah, hak-hak kedaulatan dan kepentingan negara.

28. Semua pihak perlu mengelakkan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan dan bersifat provokatif. Sebarang pertikaian mengenai Laut China Selatan perlu diselesaikan secara aman berlandaskan universally recognised principles of international law, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung Undang-Undang Laut 1982.

PEMETERAIAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN

29. Sebentar tadi, dua Memorandum Persefahaman telah dimeterai di antara Malaysia dan Indonesia. Yang pertama, Memorandum Persefahaman mengenai “Kerjasama Dalam Bidang Pendidikan” dan yang kedua, Memorandum Persefahaman mengenai “Kerjasama dan Bantuan Bersama Dalam Perkara Kastam”.

30. Pemeteraian kedua-dua Memorandum Persefahaman ini boleh sebagai satu lagi tanda kepada tahap hubungan baik yang telah lama terjalin di antara Malaysia dan Indonesia.

31. Sebanyak lima (5) MOU dan Perjanjian juga akan dimeterai oleh sektor swasta kedua-dua negara. Pelaburan yang memasuki Indonesia melalui MoU dan Perjanjian ini bernilai USD3.1 bilion.

PENUTUP

32. Saya sekali lagi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Mulia Bapak Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia di atas sambutan dan layanan yang begitu hangat kepada saya dan delegasi Malaysia.

33. Saya berasa amat sukacita perbincangan kita telah berjalan dengan baik, di mana kita telah dapat membincangkan isu-isu yang sememangnya berkepentingan bersama dengan pandangan yang begitu terbuka.

34. Saya ingin menyampaikan komitmen yang berterusan Kerajaan Malaysia terhadap jalinan persahabatan dan hubungan kerjasama antara Malaysia dan Republik Indonesia.

35. Adalah menjadi harapan saya agar hubungan istimewa di antara kedua-dua negara ini akan kekal utuh dan terus berkembang maju di masa hadapan.

36. Akhir sekali, saya mendoakan agar Bapak Presiden dan seluruh rakyat Indonesia sentiasa diberi kesejahteraan, perlindungan dan keselamatan sepenuhnya daripada Allah Subhanallah Taala.

Waabillahitaufik walhidayah wassalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri