Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Menteri Besar Dan Ketua Menteri Ke-137

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MESYUARAT MENTERI BESAR DAN KETUA MENTERI KE-137


Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 pada Selasa, 23 November 2021 setelah lebih setahun tidak bersidang akibat pandemik COVID-19. Kali terakhir Mesyuarat MBKM diadakan ialah pada 17 Mac.

Selaras dengan semangat Keluarga Malaysia sebagai satu pendekatan inklusif, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat pada kali ini.

Menteri Kewangan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) telah membentangkan Belanjawan 2022 yang kini dalam peringkat perbahasan, dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) telah diluluskan pada 21 Oktober 2021 kepada Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Melalui pendekatan Keluarga Malaysia juga, saya telah menyeru semua pihak untuk mengetepikan latar belakang serta fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut COVID-19 serta memulihkan ekonomi.

Bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi, saya turut mengajak semua kerajaan negeri agar menyegerakan pelaksanaan projek-projek berkaitan ekonomi dan perniagaan.

Antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif pendigitalan.

Turut dibincangkan adalah usaha bersama kerajaan pusat dan negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk memulih kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang tahun 2030.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan sedang mempertimbangkan pemberian insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

Pemberian berbentuk pampasan tersebut merupakan inisiatif untuk menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air.

Kerajaan juga telah memutuskan supaya produk-produk plastik seperti botol plastik, straw dan sebagainya tidak lagi digunakan dalam mesyuarat-mesyuarat rasmi kerajaan dan inisiatif ini diharap dapat dilaksanakan di peringkat kerajaan- kerajaan negeri.

Bagi tujuan penyelarasan inisiatif digital di peringkat negeri dan persekutuan, kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) dan ia akan turut meneliti caj dan fi perkhidmatan agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi yang tinggi dan membebankan rakyat.

Dalam mesyuarat tersebut, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
24 NOVEMBER 202

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri