Kenyataan Media Berkaitan Bayaran Fasa 2 Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Mulai 23 November 2021

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


BAYARAN FASA 2 GERAN KHAS PRIHATIN (GKP) 4.0 MULAI 23 NOVEMBER


Komitmen kerajaan untuk membantu para peniaga kecil dan sederhana (PKS) mikro diteruskan dengan pembayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 Fasa 2 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pembayaran berjumlah RM500 akan dibuat mulai Selasa, 23 November 2021 dan bakal memanfaatkan lebih 1 juta PKS mikro yang layak.

Bayaran ini adalah lanjutan daripada bayaran Fasa 1 sebanyak RM500 yang telah dibuat pada September 2021.

Secara keseluruhan, setiap peniaga terbabit akan menerima bayaran berjumlah RM1,000 di bawah GKP 4.0 bagi meringankan beban kewangan mereka akibat pandemik COVID-19.

Inisiatif ini akan melibatkan penerima sedia ada GKP 1.0, GKP 2.0, GKP 3.0 dan penerima baharu GKP 4.0 dengan implikasi kewangan sebanyak RM500 juta.

Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP. Semakan status kelulusan GKP 4.0 boleh dibuat mulai 22 November 2021 melalui Portal GKP, iaitu https://gkp.hasil.gov.my.

Untuk maklumat lanjut, penerima GKP boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.

Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang telah dan akan disalurkan kepada lebih 1 juta PKS mikro di bawah GKP semenjak COVID-19 melanda negara adalah sebanyak RM6.08 bilion.

Kerajaan berharap agar bantuan tunai berterusan kepada PKS mikro yang layak ini dapat membantu aliran tunai di samping menggerakkan dan memulihkan kembali perniagaan mereka yang merupakan sektor yang paling terjejas sepanjang pandemik COVID-19.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
19 NOVEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri