Teks Ucapan Majlis Ikon Inspirasi Impian Kempen Maju Bersama PUNB

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
MAJLIS IKON INSPIRASI IMPIAN KEMPEN MAJU BERSAMA PUNB
30 NOVEMBER 2021

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

YANG BERHORMAT DATO’ HAJI AHMAD NAZLAN IDRIS
PENGERUSI PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB)

AHLI-AHLI LEMBAGA PENGARAH PUNB

YANG BERUSAHA ENCIK IZWAN ZAINUDDIN
KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF PUNB

YANG BERBAHAGIA DATUK-DATUK, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN

SERTA SELURUH KELUARGA MALAYSIA YANG SAYA KASIHI SEKALIAN.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, dapat kita bersua secara maya dalam sebuah program keusahawanan iaitu Ikon Inspirasi Impian anjuran PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB).

2. Jutaan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi dan Pengurusan PUNB kerana mengundang saya bagi menyempurnakan perasmian program ini.

3. Tahniah saya ucapkan kepada YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan atas pelantikan beliau sebagai Pengerusi PUNB. Saya yakin kemampuan beliau untuk menerajui PUNB sebagai agensi yang menjadi penggerak utama pembangunan keusahawanan Bumiputera di Malaysia. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah untuk sambutan ulang tahun PUNB yang ke-30. Semoga PUNB akan terus cemerlang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Sejak pandemik COVID-19 melanda, keseluruhan ekosistem perniagaan mulai lumpuh akibat ekonomi negara yang terjejas. Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, petunjuk keyakinan perniagaan merosot kepada 21.3 peratus pada suku tahun ketiga berbanding 3.1 peratus pada suku tahun kedua tahun ini. Ia ekoran penutupan aktiviti ekonomi yang bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

5. Kesannya dirasai peniaga apabila perniagaan tidak dapat beroperasi pada potensi yang optimum sehingga ada yang terpaksa ‘gulung tikar’ disebabkan aliran tunai tidak menentu, kesukaran mengekalkan pekerja dan hasil jualan yang merudum.

6. Prihatin dengan cabaran yang dihadapi usahawan terutamanya milik Bumiputera, Kerajaan telah menyediakan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan bagi membantu mereka untuk terus bertahan.

7. Antaranya ialah pembukaan sektor ekonomi mengikut fasa, kebenaran masa operasi lebih panjang, pemberian moratorium, bantuan pembiayaan perniagaan dan banyak lagi.

8. Alhamdulillah, agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diberi keutamaan oleh Kerajaan apabila dalam pembentangan Bajet 2022 bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” memperuntukkan sebanyak RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah payung pembangunan Bumiputera.

9. Daripada jumlah ini, sebanyak RM4.8 bilion dikhususkan untuk pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan yang akan disalurkan melalui PUNB, TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

10. Saya percaya, melalui peruntukan yang diterima, PUNB akan mengukuhkan lagi strategi pembangunan perniagaan Bumiputera agar dapat melahirkan usahawan berdaya tahan dan progresif sekaligus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

11. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada PUNB atas inisiatif memberi moratorium pembiayaan dan pengecualian sewaan premis perniagaan secara berperingkat dari April 2020 sehingga Disember 2021.

12. Usaha ini telah mempermudahkan lagi pembentukan semula dan daya tahan sesebuah perniagaan terutama selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi. Terima kasih PUNB kerana bersama dengan Kerajaan dalam memperkasa dan membantu ketahanan para usahawan dan perniagaan Bumiputera pasca pandemik COVID-19.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

13. Sejak pandemik, penggunaan internet terus meningkat secara drastik menyebabkan peralihan ekonomi menuju pesat ke arah digitalisasi. Sektor e-dagang terutamanya dilihat antara aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan ini disebabkan perubahan corak pembelian barangan dan perkhidmatan melalui dalam talian.

14. Keupayaan usahawan mengadaptasi pendigitalan dan perkembangan teknologi akan meningkatkan kecekapan dan seterusnya memacu perniagaan selain meneroka peluang pasaran tanpa sempadan.

15. Contohnya, seorang usahawan Bumiputera, Encik Azarol Faizi, pemilik syarikat Bateriku (M) Sdn Bhd yang juga usahawan PUNB. Jika dahulu beliau menjalankan perniagaan secara konvensional, kini beliau telah berubah ke platform digital sepenuhnya melalui pembangunan aplikasi mudah alih, Bateriku.Com.

16. Langkah berani yang diambil ini bukan sahaja memberi pengalaman pelanggan yang lebih baik malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan melalui ekonomi gig kepada anak tempatan di seluruh negara. Syabas saya ucapkan.

17. Ini bukti bahawa persekitaran perniagaan yang mencabar masa kini memerlukan usahawan menjadi lebih kreatif dan berinovasi dalam penghasilan produk dan perkhidmatan. Dua elemen ini penting untuk mengekalkan jenama perniagaan dalam pasaran, selain meningkatkan hasil jualan dan kepercayaan pelanggan.

18. Jika dilihat pada hari ini, F&B adalah antara industri yang sentiasa berinovasi bagi memenuhi kehendak semasa dan citarasa pelanggan. Contohnya, kuih tradisional melayu ondeh-ondeh atau buah melaka telah dipelbagaikan menjadi pencuci mulut seperti aiskrim dan sebagai perisa dalam minuman. Strategi ini amat bijak kerana pengusaha bukan sahaja menghasilkan produk baharu tetapi pada masa yang sama turut memartabatkan lagi kuih tradisi turun-temurun yang menjadi kegemaran Keluarga Malaysia.

19. Justeru, kita perlu sentiasa melatih diri dan berfikiran luar kotak agar perniagaan diusahakan berdaya maju dan berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar ini. Jika kurang berkemahiran, jangan segan untuk menjalin hubungan kerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan agar idea anda dapat direalisasikan.

20. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu keusahawanan yang terkini. Apatah lagi, perubahan landskap perniagaan ke arah digitalisasi sememangnya menuntut usahawan untuk mencari ilmu yang pelbagai bagi memastikan kelangsungan dan meningkatkan taraf perniagaan.

21. Untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, anda perlu mendapatkan sokongan perniagaan yang ditawarkan oleh Kementerian melalui agensi dan pihak berkaitan seperti PUNB bagi membantu anda menjalankan perniagaan dengan lebih terurus.

22. Sokongan Kerajaan melalui agensi pembangunan keusahawanan terhadap usahawan melalui penawaran pembiayaan dan pembudayaan keusahawanan amat penting. Saya percaya sokongan ini dapat mewujudkan ekosistem perniagaan Bumiputera yang cemerlang dan melahirkan usahawan berkualiti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Sebelum mengakhiri ucapan, saya mendoakan semoga ilmu yang bakal dikongsi para penceramah program Ikon Inspirasi Impian ini dapat memberi manfaat kepada para usahawan dan boleh dipraktikkan dalam pengurusan perniagaan anda.

24. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya merasmikan Program Ikon Inspirasi Impian PUNB.

Sekian,

Wabillahitaufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.