Teks Ucapan Sempena Pelancaran Pelan Induk Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
PELANCARAN PELAN INDUK KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN NEGARA 2021-2025
13 Oktober 2021

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

  1. Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan
    Menteri Sumber Manusia

  2. Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Zuki bin Ali
    Ketua Setiausaha Negara

  3. Yang Berhormat Datuk Haji Awang bin Hashim
    Timbalan Menteri Sumber Manusia

  4. Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Khairul Adib bin
    Abd Rahman
    Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

  5. Yang Berbahagia Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar
    Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Sumber Manusia

  6. Yang Berbahagia Dato’ Dr. Syed Hussain bin Syed Husman
    Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (M-E-F)

  7. Yang Berusaha Tuan Haji Adnan bin Mat
    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)

KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI

  1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah perkenan-Nya, dapat bersama Keluarga Malaysia bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-25). Program ini diadakan sempena Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021 dan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu .

  2. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada jawatankuasa penganjur kerana berjaya melaksanakan program yang amat bermakna ini, bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pekerja sentiasa terjamin.

    KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

  3. Sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan telah berjaya meningkatkan purata pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia secara berterusan. Kejayaan ini disokong oleh kepesatan ekonomi melalui usaha kerajaan merancang pertumbuhan jangka pendek, sederhana dan panjang. Kesinambungan perancangan ini dapat dilihat di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang telah saya bentangkan pada 27 September lepas.

  4. Perkembangan pesat ekonomi ini sebenarnya turut disokong oleh tenaga kerja di mana bakat, kemahiran dan kepakaran mereka memacu kemajuan dan meningkatkan pendapatan negara. Namun kita harus menerima hakikat bahawa dunia dan negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19, yang bukan sahaja mengancam kesihatan awam, malah memberi kesan terhadap aspek ekonomi dan sosial.

  5. Pandemik COVID-19 turut memberi kesan kepada hampir semua aspek pekerjaan. Penularan virus di tempat kerja merupakan antara risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan (atau KKP), yang menuntut kerajaan, majikan dan pekerja mengambil langkah mencegah penyebaran penyakit tersebut.

  6. Melangkah ke hadapan, kita perlu mengharungi persekitaran global yang dijangka semakin kompetitif akibat pandemik ini. Ia menuntut peralihan secara drastik kepada norma baharu pekerjaan, seperti bekerja dari rumah dengan peningkatan aktiviti dalam talian (online).

  7. Melihat dari sudut positif, senario baru ini sebenarnya membuka banyak peluang bagi warga pekerja. Definisi tempat kerja juga akan menjadi semakin kabur apabila pekerja tidak semestinya berada di pejabat. Justeru, semakin ramai yang akan beroperasi dari rumah apabila kebanyakan komunikasi, mesyuarat dan transaksi kewangan dilakukan secara maya.

  8. Apa yang membimbangkan, perubahan ini turut mendedahkan para pekerja kepada risiko keselamatan dan kesihatan seperti masalah berkaitan ergonomik, yang antara lainnya berkait dengan postur badan ketika menggunakan komputer atau gajet.

  9. Pekerja yang terlalu lama terkurung di rumah juga terdedah kepada masalah psikososial terutamanya tekanan mental dan kelemahan interaksi sosial. Situasi baharu ini menuntut kerajaan mengambil tindakan afirmatif bagi memastikan persekitaran kerja yang sihat, selamat, dan kondusif terus diwujudkan.

    KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI

  10. Komitmen kerajaan dalam melindungi sumber manusia adalah berpaksikan prinsip Inklusiviti dan Budaya Kerja Selamat. Pada peringkat nasional, pelaksanaan strategi jangka panjang sistem pengurusan KKP ini, ternyata selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2006.

  11. Antara inisiatif penting yang telah diperkenalkan bagi meningkatkan sistem pengurusan KKP ialah Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2019 dan Sistem Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara.

  12. Bagi mendepani cabaran, Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah merangka Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (atau OSH-MP-25).

  13. Pelan Induk Jangka Sederhana selama 5 tahun ini merupakan kesinambungan pelan yang sama sebelum ini. Ia bertujuan menerapkan nilai inklusif bagi menggalakkan penyertaan semua pihak, bertepatan dengan transformasi sistem KKP di seluruh negara.

    KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI

  14. Pelan Jangka Sederhana ini menggariskan 7 Teras Strategik yang menjadi pemacu kepada pembentukan ‘Budaya Kerja Selamat dan Sihat’ dan membantu meningkatkan Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia, iaitu:

    Teras pertama: Pemerkasaan KKP di sektor awam,

    Teras kedua: Pengukuhan amalan peraturan kendiri di tempat kerja,

    Teras ketiga: Penggalakan pendidikan & penyelidikan KKP,

    Teras keempat pula: Pemerkasaan kesihatan pekerjaan,

    Teras kelima: Peningkatan pematuhan KKP di sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS),

    Teras berikutnya: Pemantapan KKP melalui teknologi; dan

    Teras terakhir: Peningkatan KKP berkaitan jalan raya – Work related Road Safety (WRRS), sektor informal dan pekerjaan masa hadapan (future jobs).

  15. Pelan ini akan meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja dengan mengurangkan kadar kemalangan, kematian dan jangkitan penyakit, yang sekaligus membantu usaha kerajaan meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat.

  16. Pelan ini dirangka setelah mengambil kira senario pekerjaan kini yang telah berubah. Hari ini, ruang rumah setiap ahli Keluarga Malaysia sudah menjadi ruang pekerjaan. Begitu juga di kafe, gerai dan restoran. Oleh itu, 7 Teras Strategik yang mengamalkan budaya kerja selamat ini amat mustahak untuk dipatuhi oleh kita semua.

  17. Untuk pengetahuan semua, kesan langsung akibat pengabaian KKP ini, negara boleh mengalami kerugian sebanyak 4% daripada perolehan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun. Namun, apa yang lebih diutamakan kerajaan ialah untuk mengelakkan kehilangan nyawa ahli Keluarga Malaysia.

    KELUARGA MALAYSIA YANG DIKASIHI,

  18. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Sumber Manusia melalui Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (N-COSH) dan JKKP, kerana telah berjaya menghasilkan satu dokumen lengkap lagi komprehensif, dalam memantapkan aspek KKP negara ini.

  19. Setiap daripada kita perlu melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing bagi memastikan kejayaan Pelan Induk ini, selaras dengan tema OSH-MP-25: KKP Inklusif-Kebersamaan dan Komitmen.

  20. Komitmen semua pihak termasuk kerajaan, majikan dan pekerja adalah sangat diharapkan bagi memastikan misi memartabatkan KKP di negara ini terlaksana dengan jayanya.

  21. Akhir kata, dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSH-MP-25).

Sekian,

Wabillahi Taufik Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh.
#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri