Teks Ucapan Sempena Pelancaran Keluarga Malaysia

TEKS UCAPAN
YAB PERDANA MENTERI
SEMPENA
PELANCARAN KELUARGA MALAYSIA
23 OKTOBER 2021 (SABTU) |8.15 MALAM
PUSAT KONVENSYEN BORNEO, KUCHING, SARAWAK

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum    Warahmatullahi    Wabarakatuh,                              
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

SALUTASI

Berhormat Menteri-Menteri Kanan Persekutuan;

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak;

Yang Berhormat Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri Sarawak dan Sabah;

Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Amar Ketua Setiausaha Negara;

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak; dan

Seluruh Keluarga Malaysia yang saya kasihi, tidak kira di mana anda berada.

1. Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin-Nya, dapat kita berhimpun bersama-sama dalam sebuah keluarga besar Malaysia bagi menyempurnakan salah satu agenda penting buat negara.

2. Setinggi-tinggi penghargaan buat Kerajaan Negeri Sarawak dan seluruh Keluarga Malaysia di Bumi Kenyalang, khususnya Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg, di atas kesudian menjadi Tuan Rumah bagi majlis ini.

3. Sesungguhnya saya berasa bangga dapat bersama-sama anda semua di Bandaraya Perpaduan, Kuching pada hari yang sungguh bermakna ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara, di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

5. Mengambil contoh sebuah keluarga, andai kata ada di kalangan anak kita yang lemah dari segi pembelajaran, sudah tentu kita akan memberi lebih tumpuan. Apatah lagi jika ada ahli keluarga yang kurang bernasib baik dalam kehidupan, pasti kita akan menghulurkan pertolongan dan tidak membiarkan mereka bersendirian.

6. Begitu juga dalam pentabiran kerajaan pada hari ini. Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan.

7. Sejajar dengan ini, pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan. Sarawak merupakan antara 6 negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

8. Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada 6 negeri ini, melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.

9. Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun paling sukar buat kita semua. COVID-19 hadir sebagai sesuatu yang tidak pernah kita duga, dan bersama kesan yang tak terbayang dek akal fikiran.

11. Siapa pernah sangka dalam abad ini, senjata bukan lagi menjadi benteng pertahanan menentang musuh, sebaliknya kemanusiaan dan nilai keluarga, menjadi perisai kita.

12. Di sebalik musibah yang menimpa, terselindung rahmat yang tersirat. Hampir 2 tahun mendepani pandemik COVID-19, kita dapat melihat kebersamaan petugas barisan hadapan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan individu Keluarga Malaysia berganding bahu membantu kerajaan memerangi pandemik.

13. Yang asing saling tak kenal, tidak kekok menghulur bantuan. Yang berbeza tidak melihat warna untuk memberi makan. Bahkan yang lawan, bersama menyubur semangat kekeluargaan. Di sebalik kepayahan pandemik, inilah semangat yang menyatukan Keluarga Malaysia, umpama ‘batang manau, seribu kali embat pasti tak putus’.

14. Lantaran itu, Keluarga Malaysia adalah manifestasi paling andal sebagai panduan untuk kita memulihkan negara. Toklah keluarga kita yang idup aman dan sejahtera. Kita semua tok Keluarga Malaysia.

15. Dengan integrasi nasional silang budaya, masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli, dan lain-lain. 27 etnik Bumiputera Sarawak antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh. 42 etnik dan lebih 200 sub-etnik Anak Negeri Sabah, antaranya suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus dan Bajau.

16. Ayuh! kita teguh bersama mendepani apa jua dugaan, meraikan perbezaan, mencari titik persamaan dalam memperkasa perpaduan dan integrasi nasional dengan semangat Keluarga Malaysia. Ibarat ‘sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk’.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Tiga teras utama digariskan di bawah lembayung Keluarga Malaysia, iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran. Teras ini akan menjunjung nilai-nilai Keluarga Malaysia berpaksikan Keluhuran Perlembagaan Persekutuan seperti yang telah termaktub dalam Rukun Negara.

18. Alhamdulillah perjuangan kita ini mula menampakkan sinarnya. Dengan semangat Keluarga Malaysia, hari ini, kita dapat melihat trend penurunan kes jangkitan COVID-19 harian sekitar 5 ribu kes berbanding lebih 23 ribu kes sebelum ini.

19. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (atau PICK Malaysia) juga telah mencapai lebih 94.4 peratus populasi dewasa dan PICK Remaja merekodkan 46.3 peratus remaja, yang telah lengkap menerima dos vaksin. Fasa pemberian dos penggalak juga telah dimulakan di negeri Sarawak bertuah ini.

20. Dengan izin Allah SWT saya yakin, Malaysia berada di landasan yang tepat dalam peralihan ke fasa endemik dalam masa terdekat ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

21. Pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia. Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.

22. Inilah program dan inisiatif Keluarga Malaysia, di mana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya
1 program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat. Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri.

23. Kerajaan hari ini yang bekerja dalam semangat sebuah keluarga, akan terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI).

25. KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik. Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Hari ini, dalam usaha kita memeta perjalanan pemulihan, melalui pelbagai program dan inisiatif, saya ingin berkongsi kisah untuk kita insafi bersama.

27. Kisah 13 anak yang masih kecil usianya daripada dua buah keluarga, hilang tempat bergantung dan berpaut kasih. Adik Nazurah Nabilah binti Benyajeed, berusia 19 tahun yang terpaksa menjaga 7 adiknya, manakala adik Hadrami bin Hasil menjadi kepala keluarga pada usia 11 tahun, untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama 4 adiknya. Ironinya, adik bongsu Hadrami baru berusia 3 tahun.

28. Anak-anak ini adalah antara 5,173 anak Keluarga Malaysia yang menjadi yatim dan yatim piatu, kerana wabak COVID-19. Bayangkan, betapa besarnya tanggungjawab yang digalas mereka. Yang hilang bukan sahaja ibu bapa, bahkan waktu- waktu bahagia, membesar sebagai kanak-kanak biasa.

29. Maka, dengan rasa rendah diri, saya ingin menyeru seluruh Keluarga Malaysia, untuk berkongsi kasih sayang dengan anak- anak ini, agar mereka dapat menikmati kehidupan seperti rakan- rakan seusia mereka.

30. Dengan ini, saya melancarkan Yayasan Keluarga Malaysia sebagai institusi yang akan membantu anak-anak Keluarga Malaysia dalam memperoleh sokongan terutamanya daripada aspek pendidikan sehingga mereka mencapai usia 18 tahun.

31. Yayasan Keluarga Malaysia merupakan manifestasi kasih sayang seluruh Keluarga Malaysia, yang kita zahirkan bersama untuk anak-anak yang terkesan pandemik.

32. Seterusnya, Yayasan ini akan melebar sayap perlindungannya kepada anak-anak Keluarga Malaysia yang lain, yang turut memerlukan sokongan seumpamanya. Inilah maksud keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam Keluarga Malaysia.

33. Saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia, bersama membantu generasi ini. Harapan saya, dengan adanya Yayasan Keluarga Malaysia, tidak ada lagi anak Keluarga Malaysia yang terpaksa melalui penderitaan bersendirian.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

34. Justeru, tinggi harapan saya agar seluruh Keluarga Malaysia kekal bersama dengan mengetepikan perbezaan dan meraikan kebersamaan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.

35. Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada YAB Ketua Menteri Sarawak, Kerajaan Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Majlis atas kejayaan menganjurkan Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Bandaraya Perpaduan ini.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Keluarga Malaysia.

SEKIAN,

WABILLAHITAUFIQ WALHIDAYAH,
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI
WABARAKATUH

#KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri