Teks Ucapan Sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEBANGSAAN
TAHUN 1443 H BERSAMAAN 2021 M

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

  1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat kita sekali lagi menyambut Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1443 Hijrah.

  2. Semangat Maulidur Rasul perlu terus disemarakkan dan disemai dalam jiwa setiap umat Islam sebagai bukti ketulusan cinta kita terhadap Rasululullah SAW biarpun kita menyambut dalam suasana yang sederhana dalam norma baharu.

  3. Maulidur Rasul yang kita sambut pada hari ini, hakikatnya bukanlah sekadar sambutan hari lahir Baginda Rasulullah SAW semata-mata. Tetapi ia membawa suatu makna yang amat besar kepada seluruh manusia.

  4. Dalam konteks kemanusiaan, Rasulullah adalah model dalam mengangkat ukhuwah insaniah atau persaudaraan kemanusiaan. Baginda berusaha menghapuskan apa jua bentuk diskriminasi atas nama agama, bangsa, warna kulit mahupun keturunan.

  5. Ini menunjukkan, Islam merupakan agama yang terbangun di atas prinsip memuliakan manusia atau takrim al-insan, berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 70 maksudnya “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.

  6. Ia juga selari dengan Perlembagaan Persekutuan antaranya Perkara 12 yang memberikan hak asasi untuk semua warganegara mendapat pendidikan tanpa sebarang diskriminasi sama ada atas alasan agama, ras, keturunan atau tempat lahir.

    Rasulullah SAW Suri Teladan Sepanjang Zaman Umat Manusia

  7. Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul untuk menjadi suri teladan kepada seluruh umat manusia. Baginda menjadi ketua negara atau khalifah pada ketika itu dan membina Madinah dengan menggariskan dasar serta polisi yang jelas untuk mencapai dan mengukuhkan kestabilan negara.

  8. Sahifah Madinah yang diperkenalkan Baginda untuk kestabilan politik telah diterima baik oleh seluruh penduduk Madinah pada waktu itu, tanpa mengira agama dan bangsa.

  9. Dasar dan polisi yang terkandung dalam Sahifah Madinah telah berjaya mewujudkan elemen kebersamaan, khususnya dalam mengatur hubungan antara masyarakat supaya hidup dalam keadaan saling menghormati, bertanggungjawab dan seterusnya menyatupadukan seluruh masyarakat Madinah sebagai satu keluarga.

  10. Kestabilan negara dari aspek kesihatan berterusan, kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan berkekalan, menjadi elemen-elemen yang diberi perhatian khusus oleh Baginda sebagai khalifah Madinah.

  11. Nabi Muhammad SAW dalam polisi pentadbirannya di Madinah mengutamakan kebajikan seluruh umat Madinah. Rasulullah juga memastikan agar hasil negara dirasai dan disampaikan kepada seluruh penduduk secara adil dan saksama.

  12. Selain itu, Baginda juga sentiasa menggalakkan penduduk Madinah untuk memajukan sektor pertanian dan perniagaan sebagai sumber ekonomi pada waktu itu.


    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

  13. Dengan kepercayaan bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan suri teladan yang terbaik umat manusia, kerajaan telah dan akan meneladani inisiatif dan strategi yang dilaksanakan oleh Rasulullah sebagai panduan dalam pentadbiran negara, demi kemakmuran Keluarga Malaysia.

  14. Untuk tujuan itu, pelbagai polisi, inisiatif dan insentif akan diperkenal dan dirancang oleh kerajaan, demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’.


    Ukhuwah Insaniah Pemangkin Keluarga Malaysia

  15. Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini iaitu Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, membawa kita kepada norma hidup yang menekankan prinsip Dasar Manhaj Rabbani iaitu Rahmat, Aman, Bertuhan, Bakti, Adil, dan Insani.

  16. Kesemua nilai ini, selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang menekankan tentang tiga teras utama iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di samping 20 nilai lain seperti amalan ihsan, beriman, kasih sayang dan bermusyawarah.

  17. Tema ini juga selari dengan Dasar Perpaduan Negara berkonsepkan, Perpaduan Dalam Kepelbagaian yang mana perpaduan dan integrasi nasional telah lama diamalkan di negara ini termasuk dalam sambutan Maulidur Rasul.

  18. Ia dilakukan melalui penganugerahan Tokoh Maulidur Rasul kepada insan yang banyak berbakti kepada masyarakat merentasi agama dan bangsa.

  19. Pengiktirafan ini secara langsung menyumbang ke arah melahirkan generasi Malaysia yang memiliki semangat perpaduan dan kebersamaan serta saling hormat- menghormati selari dengan konsep Keluarga Malaysia.


    Tanggungjawab mengukuh kemampanan sosial, ekonomi dan kesihatan

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian,

  20. Dalam mengharungi krisis berkembar ekonomi dan kesihatan yang mencabar ketika ini, sebagai Keluarga Malaysia, kita perlu berganding bahu untuk memulihkan negara selain menyesuaikan diri dalam norma baharu.

  21. Apa jua perbezaan, kita jadikan sebagai kelebihan dan bukannya kelemahan, manakala sebarang persamaan, kita jadikan sebagai sumber kekuatan. Kita jalin dan kukuhkan kembali perpaduan dengan ikatan kasih sayang dan toleransi sebagai sebuah Keluarga Malaysia yang besar.

  22. Siapa pun kita, sama ada seorang bapa, ibu, anak, jiran, pekerja, ketua di pejabat, pemimpin masyarakat, pemimpin agama atau pemimpin politik, masing-masing perlu memainkan peranan untuk memulihkan kembali negara ini demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.


    PENUTUP

  23. Sesungguhnya kemuliaan umat Islam, bahkan jatuh bangun sesebuah bangsa serta negara adalah terletak kepada kesatuan dan kesepaduannya.

  24. Rasulullah, misalnya telah mengadakan perjanjian damai dengan pelbagai suku kaum yang tinggal berhampiran Madinah di wilayah utara dan selatan untuk meningkatkan kesefahaman dan memperbaharui hubungan berlandaskan prinsip kebenaran serta menghindar kekacauan selain pertembungan kuasa.

  25. Jangan kerana kita berbeza pendapat, berlainan wadah atau cara pendekatan, menyebabkan hilang nilai ukhuwah dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin.

  26. Akhir kata, bersempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, dapat menghasilkan sebuah keinsafan serta kecintaan dan kasihnya kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri