Teks Ucapan Sempena Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI BELIA NEGARA 2021
30 OKTOBER 2021 (SABTU)
GRAND HYATT KUALA LUMPUR 


1. YB Dato’ Seri Ahmad Faizal bin Dato’ Azumu Menteri Belia dan Sukan

2. VIP 2 Jawatan

3. VIP 3 Jawatan

4. VIP 4 Jawatan

5. Dif-dif Kehormat,

Para Pegawai Kanan Kerajaan

Barisan Exco Majlis Belia Malaysia

Datuk-Datuk, Datin-Datin

Para NGO dan Seluruh Warga Belia

BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Keluarga Malaysia

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

1. Alhamdulillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnia-Nya dapat kita menjayakan Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 (atau HBN2021) anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) secara fizikal dalam norma baharu pada hari ini.

2. Sambutan pada kali ini yang bertemakan ‘Dekad ini, Dekad Anda’, meneruskan legasi HBN sebelumnya, menjadi pendorong kepada generasi belia Keluarga Malaysia supaya lebih bersemangat dan komited dalam merencana kepimpinan masa depan.

3. Acara ini merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan, komitmen, kecemerlangan dan daya usaha seluruh warga belia. Andalah yang membentuk hampir 68% populasi tenaga kerja negara, anda jugalah yang mewakili hampir 47% daripada keseluruhan populasi Keluarga Malaysia.

4. Oleh sebab itu, kerajaan hari ini mengambil pendekatan Bekerja Bersama Rakyat, lantaran peranan penting yang dimiliki belia dalam menentukan kejayaan setiap agenda pembangunan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

MEMPERSIAP DIRI MENERIMA PERUBAHAN

5. Kerajaan sebelum ini telah meminda Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (yang dikenali sebagai Akta 668) dengan menurunkan julat usia belia daripada 15 hingga 40 tahun kepada 15 hingga 30 tahun.

6. Pada 2019 pula, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 119) turut dipinda bagi membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun ke 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilakukan.

7. Ia bakal meningkatkan bilangan pengundi muda yang berumur 30 tahun ke bawah iaitu dengan anggaran seramai
3.9 juta orang sehingga 31 Disember 2021.

8. Daripada jumlah itu, mereka yang berumur 18 hingga 20 tahun adalah dianggarkan seramai 1.3 juta orang. Dua pindaan besar itu bakal menjadi penanda aras baharu dalam kepimpinan negara dan transisi kepimpinan warga belia.

9. Untuk itu, para pemimpin belia sedia ada, perlu menyediakan pemimpin pelapis yang berkaliber, sekali gus mempersiapkan diri mendepani cabaran kepimpinan negara yang lebih luas setelah melepasi had usia seperti ditetapkan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

KEBERSAMAAN DALAM MENGHADAPI CABARAN

10. Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, kerajaan menyedari peningkatan angka penglibatan warga belia dalam industri pendigitalan dan perkhidmatan menerusi ekonomi-gig.

11. Sumber pendapatan dipelbagaikan menerusi perkhidmatan e-hailing dan p-hailing juga semakin menarik minat warga belia Keluarga Malaysia menceburi sektor ini. Secara langsung, langkah ini telah membantu mengurangkan angka pengangguran ekoran pandemik.

12. Seiring itu, kerajaan menerusi KBS telah memperkenalkan Skim Perantisan Nasional bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia. Sehingga kini, sekitar 7 ribu belia daripada lebih 11 ribu yang menyertainya telah mendapat pekerjaan.

13. Kerajaan akan terus merancakkan penyediaan infrastruktur, perkhidmatan digital dan pasaran kerjaya kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya warga belia. Inisiatif ini dikenal pasti berupaya merapatkan jurang digital dan merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi semasa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

BERSAMA MEWUJUDKAN MASYARAKAT 5.0

14. Seluruh cabaran yang dihadapi ini bertujuan menyegerakan kewujudan Masyarakat 5.0 di negara kita iaitu sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal. Peranan belia dalam usaha mewujudkan Masyarakat 5.0 bermula daripada keperibadian setiap belia.

15. Wajar diingatkan bahawa Masyarakat 5.0 yang dihasratkan negara bukanlah semata-mata generasi yang pintar mengendali dunia digital, tetapi bijak juga beradaptasi. Teknologi perlu berperanan sebagai nilai tambah kepada entiti murni bidang agama, budaya, adat resam dan adab santun Keluarga Malaysia.

16. Saya berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan warga belia dalam menyahut cabaran ini, lantaran data menunjukkan sebilangan besar telah pun berada di tahap Belia 4.0. Pada tahap ini, belia sudah berfikiran analitikal, berpendekatan inovatif, berkemahiran teknologi dan menekankan budaya kreatif.

17. Pada masa yang sama, kerajaan bersama KBS akan terus mempergiatkan usaha agar Masyarakat 5.0 segera tercapai menerusi pelbagai inisiatif yang telah digariskan termasuk melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

MELESTARIKAN KESEJAHTERAAN MENTAL

18. Kerajaan akan terus meningkatkan semangat kesukarelawan dan melestarikan kesejahteraan mental pada era pasca pandemik ini. Misalnya, ialah kempen Mental Health Matters dan melalui program Rakan Muda Comfort Room serta Young Mind yang mensasarkan lebih 1000 Kaunselor Muda sebagai pelatih.

19. Program yang mendapat kerjasama NGO ini menyediakan pelbagai platform khidmat emosi dan intervensi kepada yang memerlukan. Seramai lebih 320 ribu warga belia telah menjadi sukarelawan kepada Malaysia Vaccine Support Volunteers, manakala hampir 6 ribu lagi membantu pematuhan SOP bagi program Rakan Muda Sports Bubble.

20. Bersempena itu, sukacita dimaklumkan bahawa satu Model Baharu Pembangunan Belia 2030 (MBPB) bakal dilancarkan pada Mac 2022. Ia bertujuan mempergiat usaha membangunkan belia secara berterusan sekali gus melahirkan Masyarakat 5.0.

21. Ia akan dibangunkan berdasarkan kepada aspirasi dan suara anak muda untuk pemerkasaan belia bagi tempoh 10 tahun ke hadapan.

22. Apabila dilaksanakan kelak, MBPB2030 ini bakal memberi manfaat kepada golongan belia termasuk dalam meningkatkan sosioekonomi melalui peluang dan penciptaan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran masa depan.

23. Selain itu ia akan memperkukuhkan lagi sistem sokongan belia khususnya hubungan dengan keluarga, masyarakat dan agensi kerajaan dalam usaha melahirkan warganegara belia yang lebih yakin dan aktif selain berdaya tahan menghadapi cabaran.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Walaupun dalam majlis sambutan pada hari ini, seramai enam individu akan menerima Anugerah Perdana Belia Negara 2021, sebenarnya kita memiliki ramai lagi warga belia yang membanggakan negara.

25. Namun sepanjang usaha mengejar kecemerlangan, suka saya memetik pesanan cendekiawan lama: “Sehelai halaman kitab tidak pernah menjadikan seseorang itu sebagai ulama. Pada banyak perkara, hidup ini memerlukan usia”.

26. Justeru pada setiap ketika, warga belia perlu merujuk kepada yang lebih berpengalaman sebelum bertindak. Inilah amalan generasi belia terdahulu sebelum mereka menikmati kejayaan hari ini.

27. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2021.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri