Teks Ucapan Perasmian Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan Peringkat Kebangsaan

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
PERASMIAN PENUTUP MAJLIS TILAWAH AL-QURAN JOHAN-JOHAN KEBANGSAAN
PERINGKAT KEBANGSAAN

TAHUN 1443 H BERSAMAAN 2021 M

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia

PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya dapat kita bersama di Perasmian Penutup Majlis Tilawah Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan (MTQJK) Tahun 2021. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.

2. MTQJK ini julung kalinya diadakan sebagai alternatif kepada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Tahun 1442H/2021M. Alhamdulillah, walaupun kita mendepani dugaan daripada pandemik COVID-19, penganjuran majlis ini masih dapat dilaksanakan.

3. Ini menggambarkan komitmen pihak kerajaan dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan menghindari larangan-Nya dalam amalan kehidupan kita seharian.

PENDIGITALAN AL-QURAN DAN AMALAN MEMBACANYA

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Penularan wabak COVID-19 di penghujung tahun 2019 telah banyak mengubah cara hidup Keluarga Malaysia kepada norma baharu termasuklah dalam aspek pengajaran dan pembacaan al-Quran. Kini, untuk membaca al-Quran di mana jua menjadi lebih mudah.

5. Seiring dengan teknologi dan keperluan umat Islam moden, al-Quran kini disediakan dalam pelbagai produk digital dan aplikasi perisian, malahan, terdapat aplikasi yang juga menyediakan tafsir dan doa-doa pilihan. Semua hanya di hujung jari.

6. Saya difahamkan sejak penularan wabak COVID-19, pembelajaran al-Quran secara dalam talian semakin mendapat tempat.

7. Banyak institusi sama ada kerajaan mahupun swasta telah memperkenalkan kelas-kelas pembelajaran al-Quran seperti tajwid, talaqqi, tarannum dan hafazan secara dalam talian. Usaha murni tersebut memudahkan capaian masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran.

AL-QURAN SEBAGAI SUMBER INTELEKTUAL DAN SPIRITUAL

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Sumber utama bagi umat Islam adalah al-Quran. Ia merupakan wahyu yang lengkap dan terakhir kepada Baginda Rasulullah SAW bagi seluruh umat manusia di dunia, supaya tunduk dan akur kepada Tuhan yang Maha Esa.

9. Al-Quran menganjur serta mendorong umat Islam agar menuntut ilmu, mempelajari, menganalisis dan menggunakan akal yang dikurniakan Allah SWT untuk dimanfaatkan.

10. Ia adalah sumber intelektual dan spiritual Islam yang merupakan asas bukan hanya bagi agama dan kerohanian semata-mata, tetapi bagi semua cabang ilmu pengetahuan termasuk teknologi.

AL-QURAN DAN TEKNOLOGI

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Al-Quran dan teknologi tidak dapat dipisahkan. Ia adalah wahyu Allah SWT yang diturunkan sebagai petunjuk, agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil, manakala teknologi ialah penemuan berdasarkan cerapan dan kajian yang dilakukan oleh manusia.

12. Gabungan al-Quran dan teknologi dapat memperkuat dan memperjelas sesuatu fakta hujahnya dengan merujuk kepada hadis nabi, mazhab-mazhab, para sarjana, saintis Islam dan bukan Islam.

13. Perhubungan teknologi dan agama dipandang sebagai perhubungan roh dan jasad. Teknologi dan agama saling menyempurnakan di antara satu sama lain. Alam tabi’i perlu difahami, dikaji dan manusia akan beroleh manfaat daripadanya.

14. Sebagai contoh, dalam majlis ini kita dapat melihat bagaimana teknologi digunakan ke arah kebaikan seiring dengan prinsip Islam.

15. Majlis ini menyaksikan teknologi menghubungkan 26 orang qari dan qariah Johan-Johan Kebangsaan di seluruh negara yang bersiaran secara langsung dari 11 lokasi yang boleh disaksikan di pelbagai capaian media.

16. Alunan ayat-ayat al-Quran dan ibrah huraian ayat pula dipancarkan kepada penonton menggunakan teknologi AR (atau augmented reality), yang menunjukkan Islam tidak pernah menghalang umatnya daripada memaksimumkan penggunaan teknologi dalam kehidupan.

KELUARGA MALAYSIA DAN SEMANGAT AL-QURAN

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

17. Sejak 5 hari lalu, bermula 22 Oktober sehingga hari ini, seramai 26 orang qari dan qariah, Johan-Johan Kebangsaan yang telah mempersembahkan bacaan mereka.

18. Saya mengharapkan kita semua dapat mengambil manfaat daripada ayat-ayat yang dibacakan dan ibrah yang disampaikan.

19. Dalam meraikan semangat Keluarga Malaysia, qari dan qariah dari seluruh negara telah menyertai majlis ini dan telah memberikan komitmen yang terbaik dari awal proses pelaksanaan sehingga selesai majlis ini.

20. Semangat dan kerjasama erat yang ditunjukkan oleh pihak negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam dan RTM sangat dipuji dan boleh dijadikan satu contoh ke arah Keluarga Sejahtera.

Penutup

21. Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat bagi menjayakan majlis tilawah kali ini.

22. Mudah-mudahan segala usaha yang disumbangkan untuk memartabatkan al-Quran bagi melahirkan generasi dan negara rabbani yang mencintai al-Quran akan diterima sebagai amal soleh di sisi Allah SWT serta diberkati oleh- Nya.

23. Semoga usaha ini dapat menjadi pemangkin mengimarah dan melebarkan risalah Islam di bumi tercinta ini. Terima kasih.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri