Teks Ucapan Majlis Pelancaran Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN 2021)

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
DASAR KEBUDAYAAN NEGARA 2021 (DAKEN 2021)

SALUTASI

1. Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;

2. Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Santhara Kumar Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya;

3. Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat Ketua Setiausaha
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya;

4. Pegawai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Para Penggiat Kebudayaan;

5. Seluruh Keluarga Malaysia yang saya kasihi, tidak kira di mana anda berada.

Bismillahirrahmannirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulilah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin- Nya, dapat kita berhimpun pada malam ini untuk menjayakan Majlis Pelancaran Dasar Kebudayaan Negara 2021 (atau DAKEN 2021) yang bakal memacu industri seni dan kebudayaan negara.

2. Pertamanya, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri dan seluruh tenaga kerja Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (atau MOTAC) yang telah bertungkus lumus menyempurnakan dasar penting ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

3. Sejujurnya, budaya bermula daripada keperibadian individu. Ia disuburkan dalam kalangan keluarga, yang kemudiannya menjadi amalan sesebuah masyarakat.

4. Bahkan, perkataan budaya itu sendiri berasal daripada Sanskrit ‘buddhaya’, yang bermaksud ‘kekuatan yang berterusan dalam membentuk pemikiran, mengenali diri, menjana kebijaksanaan dan mempertahankannya’.

5. Budaya merangkumi cara berfikir, bekerja, berpakaian, berinteraksi, sehinggalah kepada penghasilan material seperti seni bina dan prasarana.

6. Maksudnya, dasar yang akan dilancarkan ini menjadi entiti penting dalam konsep Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

KERAJAAN KONSISTEN MEMPERKASAKAN BUDAYA

7. Kerajaan terus berusaha memperkasakan sektor ini melalui pelbagai gagasan. Menyorot sejarah, bermula sejak tahun 1971 lagi, negara telah melaksanakan pelbagai inisiatif terhadap seni, budaya dan warisan negara berorientasikan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK 1971), dalam membentuk kebudayaan kebangsaan dan melahirkan bangsa Malaysia yang bersatu padu.

8. Dasar ini dijadikan panduan dalam membentuk dan mengekalkan identiti negara Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum. Hasilnya, sepanjang tempoh
50 tahun lalu, pelbagai pencapaian dalam arena seni, budaya dan warisan telah dicatat.

9. Antaranya ialah penubuhan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu pada 1983, pembinaan Istana Budaya pada 1999, penubuhan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (atau ASWARA) pada 1994.

10. Pada tahun 2000 pula, Muzium Etnologi Dunia Melayu ditubuhkan. Ia diiringi pembentukan Jawatankuasa Penasihat Program Kebudayaan bagi UNESCO dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada 2005.

11. Pada alaf baharu ini, penglibatan Malaysia dalam sektor ini kian bertambah melalui keanggotaan dalam pertubuhan serantau dan antarabangsa. Ia termasuklah kolaborasi bersama ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (atau OIC), dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (atau PBB).

12. Kesemua usaha ini bertujuan memperkasakan budaya negara. Inilah prinsip yang tersemai sejak lama bagi pembinaan bangsa dan ketahanan negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
BUDAYA SEBAGAI PENJANA EKONOMI

13. Sektor budaya sejak dahulu memiliki potensi besar sebagai penjana ekonomi. Misalnya pada tahun 2019, sektor ini telah mencatatkan pendapatan RM585 juta berbanding RM542 juta, pada 2017.

14. Kini, angka itu menunjukkan pemulihan yang meyakinkan sejurus negara memasuki era endemik COVID-19. Ekoran itu, kerajaan menetapkan sasaran perolehan sektor ini pada aras RM1 bilion menjelang tahun 2025 kelak.

15. Kerajaan yakin, sasaran tersebut akan dapat dicapai melalui pelbagai strategi pembangunan dan program yang tersusun.

16. Antaranya ialah Permata Genius dan Tunas Budaya yang cekal dalam mengakrabkan anak-anak Keluarga Malaysia kepada seni, budaya dan warisan.

17. Strategi ini merangkumi pendidikan di peringkat pra- sekolah, rendah dan menengah. Seperti pepatah, jika hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya.

18. Kini, kesemua institusi pengajian tinggi telah pun meletakkan aktiviti ko-kurikulum sebagai pra-syarat bagi melengkapkan pengukuran tahap kecemerlangan mahasiswa.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,
DASAR KEBUDAYAAN NEGARA 2021

19. Meskipun kita berjaya melakar kecemerlangan melalui DKK 1971, hari ini usianya telahpun mencecah separuh abad. Sehubungan itu, demi memastikan kelestarian budaya terus terjamin, satu dasar yang memiliki semangat dan prinsip sebelum ini wajar digubal.

20. Dasar Kebudayaan Negara 2021 (atau DAKEN 2021) yang dilancarkan ini merupakan sebuah dokumen yang holistik, yang bakal dijadikan panduan dan rujukan dalam merencana segenap pembangunan seni, budaya dan warisan negara. Inisiatif tersebut seiring menjadikan sektor ini sebagai pemangkin sosio-ekonomi Keluarga Malaysia.

21. Seluruh strategi dan pelan tindakannya memiliki tujuh teras iaitu:
Pertama, Budaya nilai tinggi;
Kedua, Keharmonian masyarakat;
Ketiga, pemeliharaan dan pemuliharaan warisan budaya;
Keempat, Pembangunan dan pengembangan budaya;
Kelima, Pemerkasaan budaya;
Keenam, Penjanaan ekonomi kebudayaan;dan
Ketujuh, Kecemerlangan budaya.

22. Pada setiap teras itu, tersulam pembangunan modal insan secara konsisten. Selain pendidikan seni, budaya dan warisan secara formal, dasar ini turut menerapkan pendidikan tidak formal sebagai usaha melahirkan para pelapis kepada penggiat seni, budaya dan warisan yang sedia ada.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. DAKEN 2021 ini menggariskan hala tuju Malaysia menjadi ‘Negara Maju Rakyat Berbudaya’. Ia digubal berlandaskan lima prinsip yang terdapat dalam Keluarga Malaysia iaitu keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

24. Kerajaan berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan DAKEN 2021 ini sebagai usaha menjulang dan memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar mendukung dasar ini supaya aspek seni, budaya dan warisan negara terus terpelihara.

25. Kerajaan menerusi MOTAC, juga akan terus mempelbagaikan ikhtiar demi meningkatkan daya saing, visibiliti dan imej seni, budaya serta warisan negara sebagai teras kepada pembangunan yang seimbang, ibarat kata pepatah Melayu sekati sama berat, diuji sama merah.

26. Ayuh kita bersama menjayakannya, sekaligus menggembalikan reputasi ‘Malaysia Truly Asia’ ke persada yang sewajarnya. Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dan memberi manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

27. Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya melancarkan Dasar Kebudayaan Negara 2021.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri