Teks Ucapan Berkaitan Pembentangan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025: Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan di Dewan Negara

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
SEMASA MEMBENTANGKAN USUL MENGENAI

RANCANGAN MALAYSIA KEDUA BELAS, 2021-2025: KELUARGA MALAYSIA – MAKMUR, INKLUSIF, MAMPAN
DI DEWAN NEGARA

PADA 12 OKTOBER 2021, 11.30 PAGI

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Dengan penuh takzim, saya berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan usul seperti berikut:

“BAHAWA Dewan ini,

menyedari akan cabaran untuk memulih serta menjana semula ekonomi negara bagi mencapai pertumbuhan yang mampan, dengan mengambil kira landskap sosioekonomi pasca COVID-19 dan pencapaian Rancangan Malaysia Kesebelas, 2016-2020;

merestui usaha Kerajaan untuk merancang dan melaksanakan agenda pembangunan negara yang mampan selaras dengan semangat Keluarga Malaysia, aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Pembangunan Mampan 2030; dan

meluluskan Rancangan Malaysia Kedua Belas bagi tempoh 2021 hingga 2025 yang menetapkan hala tuju strategik bagi mencapai objektif “Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan” dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar, menurut Kertas Perintah CMD.1 Tahun 2021.

BAHAWA dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kedua Belas, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha dengan sepenuh komitmen dan iltizam yang jitu, untuk membangunkan negara secara mampan bagi membolehkan setiap ahli Keluarga Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan kaum menikmati taraf hidup yang wajar.”

Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala kerana memberikan saya peluang untuk membentangkan RMKe-12, tahun 2021 hingga 2025 di Dewan yang mulia ini. Saya juga bersyukur kerana usul RMKe-12 yang saya bentangkan pada 27 September 2021 telahpun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 7 Oktober 2021. Saya gembira kerana umumnya RMKe-12 disambut baik oleh semua pihak.

2. Saya telah menyempurnakan Prapelancaran Keluarga Malaysia pada 8 Oktober 2021 agar kita semua hayati sepenuhnya pendekatan dan hala tuju Keluarga Malaysia. Pendekatan Keluarga Malaysia meliputi ciri- ciri keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Ia merupakan semangat yang perlu disemarakkan berlandaskan nilai-nilai sedia ada yang kita miliki dalam sebuah keluarga besar sebagai panduan mengukuhkan lagi kekuatan Malaysia. Semangat ini penting untuk kita hayati dan bersama-sama menterjemahkannya dalam pelaksanaan RMKe-12. Ini seiring dengan matlamat kita untuk memulihkan ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mencapai status negara berpendapatan tinggi.

3. Kita telah menyaksikan dunia terkesan akibat penularan pandemik COVID-19. Pada tahun 2020, ekonomi global telah menguncup pada kadar 3.2 peratus. Malaysia turut menerima kesan pandemik ini dan mencatat penguncupan sebanyak 5.6 peratus pada tahun yang sama. Kesannya, ekonomi negara sepanjang tempoh RMKe-11, iaitu 2016 hingga 2020 hanya berkembang pada kadar purata 2.7 peratus setahun, iaitu kurang daripada sasaran, antara sasaran 4.5 peratus hingga 5.5 peratus setahun. Pendapatan negara kasar (atau PNK) per kapita adalah sebanyak 42 ribu 500 ringgit, atau 10 ribu 100 dolar Amerika pada tahun 2020. Malaysia telah mencapai pertumbuhan lebih tinggi dalam tempoh empat tahun pertama RMKe-11, iaitu sebanyak 4.9 peratus setahun.

4. Dalam RMKe-11, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak 248.5 bilion ringgit untuk pembangunan sosioekonomi. Daripada perbelanjaan ini, sebanyak 46 peratus diagihkan kepada enam negeri yang memerlukan lebih tumpuan, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

5. Bagi menangani krisis berkembar ekonomi dan kesihatan ini, Kerajaan telah melaksanakan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai 530 bilion ringgit. Alhamdulillah, ekonomi telah kembali stabil dan berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku kedua tahun 2021. Selaras dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial, ekonomi negara mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang lebih kukuh.

6. Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021, perdagangan negara meningkat sebanyak 22.9 peratus kepada 1.4 trilion ringgit, berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Kadar pengangguran pada bulan Ogos 2021 pula menurun kepada 4.6 peratus, berbanding paras tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020. Selain daripada itu, Indeks Pengurus Pembelian (atau PMI) bagi sektor pembuatan bertambah baik sejak Julai 2021, menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat kepada pemulihan ekonomi negara.

7. Pada hari ini, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan. Sehingga 11 Oktober 2021, 90.4 peratus penduduk dewasa telah mendapat suntikan vaksin yang lengkap. Kadar vaksinasi yang semakin meningkat dan liputan yang semakin meluas membolehkan Kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar di bawah Pelan Pemulihan Negara.

8. Pandemik COVID-19 telah menyebabkan gangguan emosi dan tekanan perasaan dalam kalangan sebahagian daripada Keluarga Malaysia. Seperti yang saya umumkan, pergerakan rentas negeri telah dibenarkan setelah kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa mencapai 90 peratus. Saya berharap kelonggaran ini dapat mengubat hati kita untuk menemui ibu bapa dan ahli keluarga yang sudah lama terpisah. Walau bagaimanapun, prosedur operasi standard yang telah ditetapkan mesti dipatuhi oleh Keluarga Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

9. RMKe-12 ini, dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, merupakan pelan pembangunan menyeluruh bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama. Pembaharuan yang diperkenalkan dalam RMKe-12 meliputi tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan. Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, dengan izin, whole-of-nation approach melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil (atau CSO) serta rakyat dalam penggubalan dan pelaksanaan Rancangan ini.

10. Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada Kerajaan, untuk menangani krisis berkembar ini. Kerajaan akan memperuntukkan 400 bilion ringgit bagi memenuhi keperluan RMKe-12, terutamanya untuk membiayai projek pembangunan. Namun, dalam keadaan kewangan semasa yang terhad, tumpuan perbelanjaan pada tahun 2021 dan 2022 adalah untuk melindungi nyawa dan kehidupan serta memenuhi komitmen projek sambungan. Insya-Allah, kita menjangkakan kedudukan kewangan Kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023, apabila ekonomi semakin kukuh.

Tuan Yang di-Pertua,

11. RMKe-12 ini meletakkan beberapa sasaran utama bagi memastikan strategi dan inisiatif yang dilaksanakan dapat dinilai dari segi kejayaannya. Antara sasaran utama tersebut adalah seperti berikut:

• Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021 hingga 2025;
• Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira- kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;
• Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan
• Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau, dengan izin, green house gas (atau GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005.

12. Bagi tujuan pembentangan pada hari ini, saya merangkumkan tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan yang terkandung dalam RMKe-12 di bawah sembilan fokus utama seperti berikut:

• Pertama: Merancakkan Pertumbuhan Ekonomi;
• Kedua: Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan;
• Ketiga: Meningkatkan Kesejahteraan Keluarga Malaysia;
• Keempat: Memantapkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam;
• Kelima: Membasmi Kemiskinan Tegar dan Merapatkan Jurang Pendapatan;
• Keenam: Memperkasa Agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia;
• Ketujuh: Melonjakkan Pembangunan Sabah, Sarawak dan Negeri-Negeri Kurang Membangun;
• Kelapan: Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau; dan
• Kesembilan: Meningkatkan Kecekapan Penyampaian Perkhidmatan Awam dan Memastikan Pelaksanaan Dasar yang Berkesan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS PERTAMA: MERANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI

13. Fokus pertama tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi. Ia juga bertujuan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu serta mempercepatkan transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (atau PMKS).

14. Pertumbuhan sektor perkhidmatan akan disokong melalui pelaksanaan strategi memodenkan sektor untuk menjadikan hab perkhidmatan serantau serta menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menggalakkan lagi pelaburan yang berkualiti. Sektor pembuatan akan tertumpu kepada pengeluaran produk dalam beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, termasuk elektrik dan elektronik, aeroangkasa serta industri halal.

15. Sektor pertanian akan diperkukuh dengan menggunakan teknologi pintar untuk meningkatkan produktiviti dan tahap sekuriti makanan negara. Sektor pembinaan pula akan dirancakkan dengan penggunaan teknologi termaju. Aktiviti dalam sektor perlombongan akan ditumpukan kepada pengeluaran mineral diproses dan bahan mineral baharu yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta perlombongan lestari.

16. Kerangka Aspirasi Pelaburan Nasional (atau NIA) akan menarik pelaburan berkualiti dan membolehkan Malaysia menjadi hab pelaburan di rantau ini. Insentif sedia ada akan disemak semula untuk memberikan fokus kepada pelaburan yang berasaskan teknologi termaju dan memenuhi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (atau ESG).

17. Perdagangan antarabangsa akan diperkukuh dengan meningkatkan daya saing industri eksport utama, mengenal pasti pasaran baharu dan menambah baik kecekapan fasilitasi perdagangan. Selain daripada itu, kerjasama perdagangan akan digalakkan melalui ratifikasi perjanjian perdagangan bebas (atau FTA) baharu seperti, dengan izin, Regional Comprehensive Economic Partnership (atau RCEP).

Tuan Yang di-Pertua,

18. Kerajaan komited untuk terus membantu memulihkan PMKS, terutama menerusi agenda transformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik. PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara iaitu 97.2 peratus daripada keseluruhan jumlah perusahaan dan menyumbang sebanyak 39 peratus kepada KDNK pada tahun 2020. Namun, sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan terjejas akibat pandemik.

19. Di bawah RMKe-12 beberapa program dan projek utama akan dilaksanakan, bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik. Antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa; penubuhan, dengan izin, Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi. Usaha ini adalah untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.

20. Dengan terlaksananya beberapa perancangan ini, dalam tempoh RMKe-12, sektor perkhidmatan disasarkan mencatat pertumbuhan purata sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus. PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK, dan 25 peratus daripada jumlah eksport pada tahun 2025.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEDUA: MEMPERKUKUH PEMANGKIN PERTUMBUHAN

21. Matlamat Malaysia adalah untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan berteknologi termaju. Pilihan yang ada hanyalah untuk kita menerima guna teknologi baharu dan mencipta serta membangunkan teknologi sendiri. Pada masa yang sama, pembangunan infrastruktur perlu diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

22. Langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (atau 4-i-R). Pada awal tahun ini, Kerajaan telah melancarkan agenda MyDIGITAL dan diikuti dengan Dasar 4-i-R Negara. Inisiatif di bawah kedua-dua dasar ini sedang giat dilaksanakan dan dipantau melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4-i-R Negara.

23. Kerajaan komited untuk menerajui agenda MyDIGITAL melalui inisiatif pendigitalan sektor awam dan transformasi PMKS. Kita berharap usaha penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta bernilai 28 bilion ringgit akan menambah baik rangkaian 4G sedia ada. Sebanyak 15 bilion ringgit pelaburan sektor swasta pula akan mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara.

24. Kerajaan memberikan tumpuan yang khusus untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani jurang digital. Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA dijangka dapat menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025. Sehingga bulan Ogos 2021, liputan 4G telah mencapai 94 peratus dan dijangka mencapai 96.9 peratus pada akhir tahun 2022. Lebih 6 juta premis pula telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap. Manakala, rangkaian teknologi 5G yang akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021, dijangka mencapai liputan 80 peratus di kawasan berpenduduk pada tahun 2024. Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025.

25. Kerajaan sedar ekonomi gig (atau gig economy) semakin berkembang pesat. Oleh itu, ekosistem yang kondusif akan diwujudkan untuk menyediakan pekerjaan alternatif dan peluang menambah pendapatan kepada rakyat. Antara usaha yang akan dilaksana adalah mengakreditasi platform tempatan, seperti platform yang menyediakan perkhidmatan e-hailing dan p-hailing. Satu rangka kawal selia sedang disediakan bagi memastikan penyedia platform, pekerja dan pengguna adalah dilindungi. Selain itu, kebajikan pekerja gig akan diberi perhatian termasuk dengan menambah baik penyediaan faedah pampasan akibat pengangguran, perlindungan kesihatan dan simpanan untuk persaraan.

26. Isu jurang digital antara luar bandar dan bandar akan ditangani melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital. Dalam hubungan ini, Pusat Digital Keluarga Malaysia akan diwujudkan dengan mentransformasi Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa. Pusat ini akan menyediakan aktiviti e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat secara bersepadu. Saya mahu Pusat Digital Keluarga Malaysia ini memainkan peranan penting dalam menyokong transformasi Keluarga Malaysia terutamanya di luar bandar.

Tuan Yang di-Pertua,

27. Usaha akan dipergiat untuk melahirkan lebih ramai pembangun dan pencipta teknologi serta usahawan teknologi tempatan bagi menjana kekayaan dan pertumbuhan ekonomi. Bagi tujuan ini, semua aktiviti pembangunan dan penyelidikan, pengkomersialan dan inovasi (atau R&D dan C&I) akan dijajarkan dengan keutamaan negara. Aspek pengkomersialan akan diberi penekanan dengan menyediakan sebanyak 50 peratus daripada dana penyelidikan untuk penyelidikan eksperimental.

28. Pada tahun 2025, peratusan perbelanjaan kasar R&D kepada KDNK dijangka mencapai 2.5 peratus, berbanding 1.0 peratus sahaja pada tahun 2020. Bagi tujuan ini, sumbangan sektor swasta disasarkan meningkat dua kali ganda, iaitu mencapai 70 peratus kepada jumlah perbelanjaan R&D. Sumber pembiayaan alternatif termasuk modal teroka, pembiayaan antarabangsa dan dana endowmen juga akan dipertingkatkan.

Tuan Yang di-Pertua,

29. Kerajaan akan terus melaksanakan projek besar dan berimpak tinggi. Antara projek utama yang akan disiapkan pelaksanaannya adalah Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru, Laluan Rel Pantai Timur (atau ECRL) dan Central Spine Road dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai, Kelantan.

30. Dana mudah cara khusus untuk projek infrastruktur akan diwujudkan di bawah model Perkongsian Awam Swasta atau, dengan izin, Public Private Partnership (atau PPP) 3.0. Model pelaksanaan projek ini tidak akan melibatkan komitmen kewangan tambahan Kerajaan sebaliknya menggunakan kaedah dengan izin, request for proposal (atau RFP). Model pelaksanaan projek ini dijangka diumumkan pada pertengahan tahun 2022.

31. Ketersediaan bakat ataupun, dengan izin, talent berkualiti amat penting untuk pembangunan negara. Oleh itu, tumpuan akan diberikan untuk menambah baik seluruh sistem pendidikan negara dan menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan. Antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

• Memperkukuhkan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (atau STEM) bagi menyediakan murid dengan perubahan teknologi termasuk 4-i-R;
• Menyediakan persekitaran sekolah yang lebih kondusif, termasuk melalui penggantian bangunan sekolah-sekolah daif;
• Memperkasa program TVET melalui akreditasi oleh badan bertaraf antarabangsa dan memperkenalkan sistem penarafan institusi TVET; dan
• Memperkenalkan pelan pendidikan digital pada peringkat sekolah dan pengajian tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

32. Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021 hingga 2025 diperkenalkan untuk menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran tenaga kerja. Di samping itu, dengan izin, Job Creation Strategic Plan 2021 hingga 2023 akan diperkenalkan bagi menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi.

33. Bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah, penggunaan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran akan ditingkatkan dan pekerja asing dihadkan kepada 15 peratus daripada tenaga kerja. Penguatkuasaan berkaitan pekerja asing pula akan diperkukuhkan bagi tujuan ini.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETIGA: MENINGKATKAN KESEJAHTERAAN KELUARGA MALAYSIA

34. Bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, Kerajaan sedang mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada. Dasar kesihatan negara akan dirangka untuk meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan. Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara yang sedang dimuktamadkan akan memastikan kita mampu menghasilkan vaksin sendiri, dan bersedia menghadapi sebarang pandemik pada masa hadapan.

35. Kerajaan juga telah mengenal pasti beberapa langkah bagi meningkatkan kesiapsiagaan hospital dan fasiliti kesihatan. Dalam hubungan ini, Kerajaan menyasarkan nisbah 2.06 katil hospital bagi setiap seribu penduduk pada tahun 2025. Selain daripada itu, kelengkapan dan peralatan kesihatan, termasuk keperluan unit rawatan rapi (atau ICU) akan ditambah. Dalam usaha untuk merapatkan jurang perbezaan fasiliti kesihatan di bandar dan luar bandar, Kerajaan akan membina dan menaik taraf klinik-klinik kesihatan di seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

36. Kerajaan komited untuk memastikan penyediaan rumah kediaman yang berkualiti dan mampu milik demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Dalam RMKe-12, sebanyak 500 ribu unit rumah mampu milik akan dibina bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki rumah. Di samping itu, kemudahan pembiayaan akan ditambah baik bagi memastikan golongan B40 dan M40 tidak terbeban dengan bayaran ansuran.

37. Bagi menyediakan bantuan perumahan kepada rakyat termiskin, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sebanyak 85 ribu 500 unit rumah di kawasan luar bandar dan bandar. Ini akan turut disokong dengan pembinaan rumah yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, sektor korporat dan CSO.

38. Seperti yang dijelaskan dalam awal ucapan saya, pendekatan Keluarga Malaysia akan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Sebagai satu keluarga, perbezaan kaum, agama, bangsa dan ideologi politik tidak akan menghalang kita daripada mendukung semangat kebersamaan. Untuk membina sebuah negara bangsa, pemahaman serta penghayatan mengenai Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara, perlu terus diterap dan diperkasa kepada generasi pewaris negara.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEEMPAT: MEMANTAPKAN KESELAMATAN DAN KETENTERAMAN AWAM

39. Keselamatan rakyat dan kedaulatan negara merupakan perkara asas bagi memastikan keamanan dan kestabilan Malaysia. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan merangkumi langkah menambah baik kesiapsiagaan, kawalan sempadan dan penguatkuasaan, mempertingkatkan ketenteraman awam, mengukuhkan keselamatan dan pertahanan siber serta menjaga kebajikan anggota. Saya akan pastikan, langkah yang lebih tegas akan diambil untuk melaksanakan pelan menyeluruh, dan memperkukuhkan Ops Benteng bagi mengekang pendatang asing tanpa izin.

40. Antara projek yang akan dilaksanakan, termasuklah Marine Police Sea Monitoring System di lima wilayah maritim, pembinaan Bare Base Tentera Udara Bintulu, Sarawak, pembinaan Hospital Angkatan Tentera Terendak, Melaka dan meningkatkan keupayaan aset maritim. Selain daripada itu, aset Tentera Laut DiRaja Malaysia akan melengkapi Pelabuhan Bintulu sedia ada untuk memantau keselamatan maritim di perairan Laut China Selatan. Kem tentera baharu di Felda Sahabat, Kem 5 Briged di Kota Belud dan kem Pasukan Gerakan Am di Beluran, Sabah akan siap dibina dalam tempoh RMKe-12. Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara akan diperkenalkan, bagi menetapkan hala tuju industri tempatan berkaitan pertahanan dan keselamatan.

41. Bagi memastikan kebajikan anggota tentera dan penguatkuasa terbela, 10,200 unit rumah keluarga angkatan tentera dan kuarters sedang dibina dan boleh diduduki dalam tempoh RMKe-12.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KELIMA: MEMBASMI KEMISKINAN TEGAR DAN MERAPATKAN JURANG PENDAPATAN

42. Isu kemiskinan sangat dekat di hati saya. Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat. Pandemik COVID-19 yang telah melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah, seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk CSO, badan korporat, orang perseorangan dan majlis agama Islam negeri yang sentiasa prihatin dan menyokong Kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik.

43. Kerajaan komited untuk membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan rakyat. Pendekatan keseluruhan negara akan digunakan dalam menangani isu kemiskinan. Unit Kemiskinan akan ditubuhkan di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (atau UPE, JPM) melalui penyusunan semula fungsi dan perjawatan untuk menyelaras segala hal ehwal kemiskinan, termasuk pengurusan data yang lebih bersepadu. Unit yang sama dicadang ditubuhkan di setiap negeri dan pejabat daerah. Melalui usaha ini, saya yakin sasaran untuk membasmi kemiskinan tegar dapat dicapai pada tahun 2025.

44. Menyedari kesan pandemik kepada kadar kemiskinan dan bagi memastikan inisiatif pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan, Pendapatan Garis Kemiskinan (atau PGK) sedia ada akan dikemas kini berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022. Kaedah mengukur kemiskinan juga akan terus ditambah baik dengan memperluas skop Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (ataupun MPI).

45. Bagi menambah baik kesejahteraan keluarga B40 dan kumpulan mudah terjejas, usaha yang lebih bersepadu akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup.

46. Bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial, akan diteruskan kepada mereka yang layak. Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar, dengan kos sebanyak 1.5 bilion ringgit akan diperkukuh bagi meningkatkan kebolehpasaran, kesejahteraan dan kuasa beli keluarga B40. Saya menyeru agar sektor korporat dan orang perseorangan dapat meneruskan usaha murni membantu ahli Keluarga Malaysia keluar daripada kemelut kemiskinan, termasuk melalui pemberian zakat dan wakaf.

47. Kemiskinan pada hari ini juga wujud dalam pelbagai dimensi. Dalam aspek pendidikan, lebih ramai murid daripada keluarga B40 akan diberikan keutamaan kemasukan ke sekolah berprestasi tinggi dan pemberian biasiswa. Bagi kesihatan, akses kepada penjagaan kesihatan akan diperluas. Isu kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga B40 akan ditangani secara komprehensif, termasuk melalui pengambilan makanan berkhasiat.

48. Bagi meningkatkan keupayaan, kemahiran dan kebolehpasaran golongan M40, program latihan dan latihan kemahiran semula serta aktiviti keusahawanan akan dipertingkat tanpa mengira kaum. Anak-anak M40 juga akan dipastikan mendapat akses pendidikan yang berkualiti pada kos yang berpatutan.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KEENAM: MEMPERKASA AGENDA BUMIPUTERA DAN KELUARGA MALAYSIA

49. Keluarga Malaysia merangkumi Melayu, Bumiputera, Orang Asli dan Anak Negeri Sabah yang mempunyai 42 etnik dan lebih 200 sub- etnik, antaranya suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan Bajau. Juga Bumiputera Sarawak yang mempunyai 27 etnik, antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh di samping kaum Cina, India dan lain-lain. Ahli keluarga ini yang berpendapatan rendah serta kumpulan khusus dan golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum, yang perlukan pembelaan dan bimbingan, akan diberikan perhatian.

50. Saya memberi jaminan bahawa agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan. Ini sebagai mana termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak dan keistimewaan orang Melayu dan anak negeri, iaitu pribumi Sabah dan Sarawak, dan kepentingan sah kaum-kaum lain. Hasrat Kerajaan adalah untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil dan saksama serta inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.

51. Agenda ini akan diterap dalam pelaksanaan semua dasar bagi memastikan ia menjadi komponen yang diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan. Semua pihak, termasuk pihak Kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (atau GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (atau GLIC) dan sektor swasta akan bersama-sama dalam menjayakan agenda ini.

52. Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam aktiviti ekonomi, akses dan peluang pendidikan serta pembangunan modal insan, termasuk huffaz, akan diperkukuh, antaranya melalui inisiatif berikut:
• Latihan dalam bidang teknikal dan profesional supaya menjadi pakar dalam pelbagai bidang; dan
• Kemahiran untuk kerjaya masa hadapan, seperti penganalisis dan saintis data serta pakar data raya.

53. Daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkatkan lagi bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan PMKS Bumiputera kepada KDNK pada tahun 2025. Pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu, termasuk:
• Dana Kemakmuran Bumiputera untuk syarikat Bumiputera;
• Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres di bawah Majlis Amanah Rakyat (atau MARA) untuk kontraktor Bumiputera; dan
• Penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital serta industri yang mempunyai potensi pertumbuhan yang tinggi.

54. Bagi meningkatkan kekayaan Bumiputera, dasar dan pelaksanaan kuota pemilikan kediaman Bumiputera akan diperkukuh melalui kerjasama yang lebih erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Selain daripada itu, bantuan kewangan, bimbingan dan permentoran oleh institusi kewangan akan diperluaskan bagi menyokong usahawan Bumiputera.

55. Pelan Induk Wakaf Nasional sedang dibangunkan bagi memastikan pengurusan wakaf yang lebih cekap. Sebagai inisiatif dalam menggalakkan lebih banyak instrumen wakaf, satu dana wakaf di peringkat nasional akan diwujudkan untuk membiayai program pembangunan sosioekonomi Islam dan Bumiputera.

Tuan Yang di-Pertua,

56. Sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum tercapai. Status pemilikan ekuiti sektor korporat berasaskan nilai pasaran tahun 2019 adalah seperti berikut:
• pegangan Bumiputera hanya mencapai 17.2 peratus;
• bukan Bumiputera 25.0 peratus;
• pegangan asing 45.5 peratus; dan
• nomini 12.3 peratus.

57. Pada masa ini, pegangan nomini tidak disyaratkan untuk mendedahkan pemilik sebenar saham di bawah pegangan ini. Sehubungan dengan itu, saya ingin memaklumkan bahawa Akta Syarikat 2016 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 sedang ditambah baik untuk membolehkan pemilik sebenar saham dikenal pasti.

58. Seperti yang telah saya umumkan juga, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat milik agensi mandat Bumiputera, hanya ditawar dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera yang lain. Antara agensi mandat Bumiputera ini adalah PNB, yang menyumbang peratusan terbesar kepada pemilikan ekuiti Bumiputera, serta MARA dan EKUINAS.

59. Saya ingin menegaskan bahawa cadangan memperkenalkan kerangka jaringan keselamatan ekuiti ini tidak akan mengambil hak kepentingan kaum lain. Syarikat swasta tidak tertakluk kepada cadangan ini, sebaliknya tertakluk kepada peraturan sedia ada di bawah kawal selia sektor yang berkenaan. Ini bagi memastikan penjualan saham dan syarikat oleh syarikat tempatan kepada pemilik asing akan dapat dikawal dan seterusnya dapat memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera tidak terhakis.

Tuan Yang di-Pertua,

60. Kerajaan komited untuk memperkukuh pembangunan sosioekonomi Orang Asli. Pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang sedang dirangka, antaranya bagi menambah baik aspek peningkatan pendapatan dan kesejahteraan serta penyediaan infrastruktur asas untuk komuniti ini. Bilangan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (atau K9) akan ditambah dan sebahagiannya dinaik taraf kepada K11 bagi memberikan peluang yang lebih besar kepada pendidikan berkualiti kepada murid Orang Asli. Di samping itu, aspek pengajaran dan pembelajaran akan terus ditambah baik, termasuk meningkatkan kualiti guru dan kemudahan di sekolah.

61. Isi rumah kaum Cina yang berpendapatan rendah juga akan terus diberi perhatian. Bagi meningkatkan penyertaan dalam keusahawanan dan mengembangkan perniagaan, Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru akan ditambah baik. Selain daripada itu, program infrastruktur asas dan ameniti sosial akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di Kampung Baru Cina.

62. Dalam mencapai pembangunan inklusif, kesejahteraan kaum India yang berpendapatan rendah akan terus diberi tumpuan. Akses kepada pendidikan, peningkatan kemahiran serta peluang pekerjaan dan keusahawanan akan terus disediakan selaras dengan Pelan Tindakan Masyarakat India.

Tuan Yang di-Pertua,

63. Sebagai aset masa depan negara, peranan dan tanggungjawab anak muda dalam Keluarga Malaysia akan terus diberi perhatian. Dalam hubungan itu, pelan kebangsaan pemerkasaan ekonomi belia sedang dirangka untuk memantapkan peranan mereka dalam pembangunan negara. Kapasiti dan keupayaan belia akan dipertingkat bagi melahirkan lebih ramai pekerja mahir. Selaras dengan pindaan perlembagaan membolehkan warganegara berumur 18 tahun dapat mengundi (atau Undi18), Kerajaan akan memastikan Undi18 dilaksanakan dalam tempoh terdekat. Ini akan membolehkan suara anak muda didengari dan diambil kira dalam agenda pembangunan negara melalui amalan demokrasi.

64. Pada tahun 2030, Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua apabila sebanyak 15 peratus daripada jumlah penduduk adalah berumur 60 tahun ke atas. Kerajaan akan meningkatkan sistem sokongan kepada warga emas serta menambah baik dan memperluaskan liputan Sistem Pendaftaran Warga Emas Nasional. Golongan orang kurang upaya (OKU) juga akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti Pemulihan Dalam Komuniti (atau PDK), perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.

65. Penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan proses membuat keputusan akan dipertingkat. Langkah akan diambil untuk mendorong lebih ramai wanita untuk kekal dan kembali bekerja, seterusnya menyumbang kepada sasaran 59 peratus penyertaan wanita dalam pasaran kerja pada tahun 2025. Selain daripada itu, pembangunan usahawan wanita akan diperkukuh dengan meningkatkan akses kepada pembiayaan dan latihan kemahiran. Usaha memperkasa gender dan menambah baik undang-undang akan dilaksana bagi menangani isu yang berkaitan dengan wanita.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KETUJUH: MELONJAKKAN PEMBANGUNAN SABAH, SARAWAK DAN NEGERI-NEGERI KURANG MEMBANGUN

66. Seperti yang telah saya nyatakan sebelum ini, saya komited untuk menyelesaikan isu-isu berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (atau MA63). Ini termasuklah keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan. Oleh itu, pembangunan negeri Sabah dan Sarawak akan terus diberikan keutamaan dalam RMKe-12. Penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 km jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.

67. Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutamanya Sabah dan Sarawak akan dipergiat. Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan KDNK yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutamanya di Sabah, Kelantan dan Sarawak.

68. Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut. Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi. Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat.

69. Seperti yang saya umumkan semasa Hari Malaysia, peruntukan sejumlah 7.7 bilion ringgit, iaitu 3.61 bilion ringgit kepada negeri Sabah dan 4.09 bilion ringgit kepada negeri Sarawak disediakan bagi

pelaksanaan JENDELA sepanjang tempoh RMKe-12. Dengan peruntukan ini, liputan jalur lebar akan dipertingkat melalui pembinaan infrastruktur digital, termasuk pembinaan menara atau pemancar telekomunikasi. Sehingga Ogos 2021, sebanyak 2,645 infrastruktur digital siap dipasang di Sabah dan 2,117 di Sarawak. Bagi menambah baik bekalan elektrik, loji janakuasa baharu akan dibina dan talian penghantaran Grid Timur-Barat Sabah akan dinaik taraf. Projek pembinaan hidroelektrik Baleh di Sarawak dijangka siap pada tahun 2025.

70. Perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak. Pembinaan 26 buah klinik baharu akan dapat menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di klinik- klink desa di kedua-dua negeri. Selain daripada itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26 ribu isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak.

71. Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks ICQS Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf. Selain daripada itu, Projek Jalan dari Sempadan Ba’kelalan/Kompleks CIQ Menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada tahun 2022.

72. Dengan pelaksanaan strategi dan inisiatif untuk melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak ini, pertumbuhan purata KDNK tahunan negeri Sabah dijangka meningkat pada kadar 6.5 peratus dan negeri Sarawak pada kadar 5.3 peratus pada tempoh 2021 hingga 2025.

Saya berkeyakinan kedua-dua negeri ini mempunyai keupayaan dan kekuatan sumber yang boleh dioptimumkan sepenuhnya. Dengan itu, pertumbuhan sebenar boleh menjadi lebih tinggi daripada jangkaan ini.

Tuan Yang di-Pertua,

73. Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar. Infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap, sebagai contoh, antaranya:
• Jalan Nanga Tulie ke Rumah Bujah, Nanga Pelagus di Kapit, Sarawak dengan kos sebanyak 280 juta ringgit;
• Jalan Dudar ke Taburan ke Mendawang di Kota Belud, Sabah dengan kos sebanyak 101 juta ringgit;
• Jalan Luar Bandar dari Simpang FELCRA Ulu Kerut ke Kampung Orang Asli Bot-Bot ke FELDA Jengka 7 ke Jalan Kilang Sawit Jengka 18 di Daerah Maran, Pahang dengan kos sebanyak 135.3 juta ringgit; dan
• Jalan Baharu dari Kampung Gagu ke Ulu Beranang di Negeri Sembilan dengan kos projek sebanyak 179.2 juta ringgit.

74. Selain daripada itu, usaha juga akan dipertingkat untuk memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus. Bagi mempergiat aktiviti sosioekonomi setempat pula, projek-projek kecil luar bandar akan terus dilaksana seperti Program Ameniti Sosial dengan peruntukan sebanyak 310 juta ringgit dan pembinaan Jalan Perhubungan Desa dengan kos sebanyak 1.6 bilion ringgit. Usaha ini dijangka dapat membantu merapatkan jurang pendapatan antara luar bandar dan bandar.

75. Saya menghargai setiap titik peluh dan penat lelah peladang, penternak dan nelayan. Mereka juga merupakan sebahagian daripada komponen penting dalam pembangunan luar bandar. Keluarga kita ini harus dibawa bersama dalam transformasi ekonomi negara.

76. Pelan Pemulihan FELDA sedang giat dilaksana bagi membolehkan FELDA beroperasi secara mandiri dan mampan serta meningkatkan taraf sosio ekonomi warga FELDA. Pelan pemulihan ini antaranya melibatkan pengurangan beban hutang FELDA dan peneroka, meningkatkan pendapatan teras, mengoptimumkan pengurusan operasi dan memperbaiki pengurusan kewangan dan tadbir urus korporat FELDA. Selain daripada itu, kawasan FELDA juga akan ditransformasi menjadi pengeluar makanan utama negara yang berasaskan kepada pertanian pintar dan seterusnya menjadi contoh atau, dengan izin, role model transformasi komuniti luar bandar yang moden dan progresif. Sehubungan dengan itu, satu pelan tindakan yang akan memperincikan strategi pelaksanaan akan disediakan.

77. Isu perumahan generasi kedua FELDA akan ditangani dengan memperkenalkan semula model pembangunan perumahan berasaskan konsep bina sendiri oleh generasi kedua. Melalui model ini, generasi kedua akan ditawarkan tapak rumah dan reka bentuk yang standard oleh Kerajaan. FELDA telah mengenal pasti 5 ribu lot di 54 tanah rancangan untuk dijual dengan harga mampu milik kepada generasi kedua atau baharu FELDA seluruh negara.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KELAPAN: MEMPERCEPATKAN PERTUMBUHAN HIJAU

78. Pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar. Oleh itu, Kerajaan akan mengambil kira prinsip ESG dalam proses membuat keputusan. Langkah ini akan terus dilaksana untuk memenuhi komitmen bagi mengurangkan intensiti pelepasan GHG sehingga 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030, berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, selari dengan aspirasi menjadi negara rendah karbon.

79. Saya ingin menggesa supaya lebih banyak pihak mencontohi inisiatif beberapa syarikat GLC dan GLIC serta syarikat-syarikat swasta yang telah menyatakan komitmen untuk mencapai, dengan izin, net zero carbon emissions pada tahun 2050. Langkah ini menjadi semakin penting apabila rakan dagangan, pasaran modal dan institusi kewangan meletakkan syarat pematuhan kepada prinsip ESG dalam keputusan pelaburan dan pengeluaran produk mereka.

Tuan Yang di-Pertua,

80. Saya telah menyatakan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada tahun 2050. Bagi memperjelaskan lagi aspirasi ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia Bilangan 2 Tahun 2021 pada 11 Oktober 2021. Perincian langkah-langkah bagi pencapaian aspirasi pelepasan GHG bersih sifar akan diumumkan setelah kajian strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon negara dimuktamadkan pada tahun 2022. Bagi menyokong usaha ini, langkah seperti, dengan izin, carbon pricing, termasuk cukai karbon serta instrumen ekonomi lain akan diperincikan.

81. Selain itu, Kerajaan juga berpendirian untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu, sebaliknya memberikan tumpuan kepada penjanaan elektrik yang lebih bersih. Malaysia akan menyuarakan aspirasi baharu negara berkaitan perubahan iklim dalam Persidangan ke-26 Negara Ahli-Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 31 Oktober hingga 12 November nanti.

82. Pelan hala tuju untuk mengurangkan pelepasan GHG dan pelan adaptasi kebangsaan akan diperkenalkan bagi memastikan langkah mitigasi dan adaptasi perubahan iklim yang terselaras dan menyeluruh. Selain daripada itu, inisiatif perolehan hijau Kerajaan juga akan diperluas ke peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Ini akan membolehkan perolehan hijau Kerajaan meningkat kepada 25 peratus pada tahun 2025.

83. Dasar Tenaga Negara yang komprehensif akan diperkenalkan untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon. Akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diwujudkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial. Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025.

84. Di bawah RMKe-12, model ekonomi kitaran akan dilaksana bagi mengurangkan penjanaan sisa, kebergantungan kepada sumber asli serta pencemaran. Pendekatan peluasan tanggungjawab pengeluar akan dipergiat, manakala pelaburan hijau akan terus digalakkan. Selain daripada itu, CSO akan diiktiraf sebagai rakan pembangunan dalam mencapai Agenda 2030.

Tuan Yang di-Pertua,

85. Pembangunan bandar hijau yang berdaya tahan akan terus dipergiat dengan sasaran sebanyak 120 bandar mencapai status bandar mampan. Bagi tujuan ini, pelaksanaan inisiatif Pelan Tindakan Bandar Hijau dan sistem analitik data raya pelbagai dimensi akan diperkenalkan. Kerajaan juga akan memberi keutamaan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga (atau EEV) bagi menyokong inisiatif mobiliti mesra alam.

86. Bagi menyokong langkah kerajaan negeri memulihara kawasan hutan, mekanisme, dengan izin, ecological fiscal transfer akan ditambah baik. Santuari bagi hidupan liar yang semakin terancam juga akan ditambah baik bagi tujuan konservasi. Selain daripada itu, pelan rangka tindakan ekonomi biru akan diperkenalkan untuk menentukan hala tuju pembangunan kawasan pesisir pantai dan marin secara mampan.

87. Bencana banjir dan tanah runtuh telah mengakibatkan banyak kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa dan mata pencarian. Bagi menangani isu ini, beberapa projek tebatan banjir, pengurusan lembangan sungai bersepadu dan kawalan hakisan pantai serta program ramalan dan amaran banjir akan dilaksanakan dalam tempoh RMKe-12.

88. Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan untuk mentransformasi sektor air daripada pemboleh daya ekonomi kepada penjana pertumbuhan yang dinamik. Usaha penerimagunaan pengurusan sumber air bersepadu akan dipergiatkan pada peringkat Persekutuan, negeri dan daerah. Tadbir urus air akan ditambah baik dengan meningkatkan penglibatan rakyat, mengukuhkan penguatkuasaan dan mengkaji mekanisme pembiayaan inovatif. Program pengurangan air tidak berhasil akan diteruskan untuk mencapai sasaran 25 peratus pada tahun 2025.

Tuan Yang di-Pertua,

FOKUS KESEMBILAN: MENINGKATKAN KECEKAPAN PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM DAN MEMASTIKAN PELAKSANAAN DASAR YANG BERKESAN

89. Saya ingin memberi komitmen bahawa perkhidmatan awam yang menjadi nadi pentadbiran negara akan terus dimantapkan bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan. Perkhidmatan awam akan ditransformasi melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dengan mengambil kira bahawa kejayaan pelaksanaan sesuatu inisiatif bergantung kepada penglibatan semua pihak berkaitan.

90. Struktur dan fungsi kementerian dan agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi. Mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim juga akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik. Cadangan untuk memperkenalkan

akta perkhidmatan awam akan dikaji bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara Anggota Pentadbiran dengan penjawat awam.

91. Pendigitalan perkhidmatan awam akan terus dipertingkat melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam bagi tahun 2021 hingga 2025. Kerajaan menyasarkan perkhidmatan dalam talian dari peringkat awal ke akhir Kerajaan Persekutuan atau, dengan izin, end-to- end online federal services meningkat kepada 80 peratus pada tahun 2025. Di samping itu, inisiatif data terbuka akan diperkukuh melalui pemerkasaan data terbuka serta pengukuhan kolaborasi strategik dengan semua pihak berkepentingan.

92. Saya beriltizam untuk menjadikan Kerajaan ini sebuah Kerajaan bebas rasuah dan berprestasi tinggi melalui pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional dan Pelan Antirasuah Organisasi. Oleh itu, saya memberi jaminan bahawa semua strategi dan inisiatif di bawah RMKe-12 ini akan dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab. Indeks Tadbir Urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

93. Bagi memastikan pencapaian outcome yang telah ditetapkan dalam RMKe-12, Kerajaan sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (atau PPD) di bawah penyelarasan UPE, JPM. PPD ini menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi utama (atau KPI) serta kementerian dan agensi penyelaras dan pelaksana yang bertanggungjawab. PPD ini akan disiapkan pada bulan November ini. Satu jawatankuasa pemantauan akan ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMKe-12 dengan rapi. Saya akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pemantauan yang pertama pada pertengahan bulan November ini. Saya juga mengalu-alukan maklum balas daripada Ahli- Ahli Yang Berhormat sekalian berhubung cadangan pelaksanaan dasar dan strategi RMKe-12 ini.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

94. Walaupun ada pihak yang ragu-ragu tentang pencapaian sasaran RMKe-12, namun saya yakin dengan kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, akademia, CSO, wakil-wakil rakyat, Ahli Parlimen dan Yang Berhormat Senator serta rakyat dengan semangat Keluarga Malaysia, matlamat ini dapat dicapai. Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pegawai kerajaan yang bekerja keras dalam penyediaan RMKe-12 ini. Saya juga menyeru supaya usaha yang lebih jitu dan tersusun dapat diteruskan bagi memantau dan melaksanakan semua strategi dan inisiatif di bawah RMKe-12.

95. Kita telah hampir berjaya dalam perjuangan memerangi impak pandemik COVID-19. Namun, kita tidak harus leka dan alpa kerana COVID-19 masih belum berakhir. Kita harus bersedia untuk memasuki fasa endemik dan meneruskan kehidupan dengan kebiasaan baharu. Demi Keluarga Malaysia, Kerajaan akan meneruskan usaha untuk melindungi nyawa dan kehidupan, di samping memberikan tumpuan kepada agenda untuk memulihkan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara.

96. Bajet 2022 akan dibentangkan pada 29 Oktober 2021 oleh Yang Berhormat Menteri Kewangan. Ia akan memperincikan butiran program dan projek bagi melaksanakan strategi dan inisiatif di bawah RMKe-12 serta akan menyokong pencapaiannya. Saya optimis, dengan tanda- tanda pemulihan ekonomi pada masa ini serta agenda pembangunan negara dalam RMKe-12 dan inisiatif Bajet 2022 yang akan diumumkan sedikit masa lagi, kita mampu untuk memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

97. Sesungguhnya krisis ini telah menyatukan kita semua dan memberi peluang untuk kita membuat perubahan secara inklusif. Saya berharap Memorandum Persefahaman untuk Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah dipersetujui pada 13 September yang lalu, akan terus dihormati oleh kedua-dua belah pihak selaras dengan pendekatan Keluarga Malaysia. Persefahaman ini akan membolehkan kita memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh.

98. Marilah kita bersama-sama berganding bahu merealisasikan matlamat RMKe-12 dengan mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi masa hadapan Keluarga Malaysia yang lebih baik. Yakinlah bahawa hanya melalui kerjasama seluruh Keluarga Malaysia, perjuangan melawan pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi, insya-Allah akan beroleh kemenangan.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri