Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0)

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PELANCARAN
DASAR AGROMAKANAN NEGARA 2021-2030 (DAN 2.0)

1. Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee
    Menteri Pertanian dan Industri Makanan

2. Yang Berhormat Datuk Seri Haji Ahmad bin Hamzah
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I

3. Yang Berhormat Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh,
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II

4. Yang Berbahagia Dato’ Haslina binti Abdul Hamid Ketua Setiausaha
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersama secara maya untuk menjayakan Majlis Pelancaran Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

2. Bidang pertanian negara telah melalui beberapa proses transformasi sejak merdeka sehingga kini. Sepanjang 64 tahun, aspek pertanian tidak pernah dipinggirkan dalam sebarang pelan pembangunan negara, malah semakin ditumpukan.

3. Misalnya pada 1974, buat julung kalinya kerajaan ketika itu melancarkan Rancangan Buku Hijau yang bertujuan mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan.

4. Usaha sedemikian diteruskan dari setahun ke setahun secara terancang. Ini termasuklah penggubalan Dasar Agromakanan Negara 2011-2020 (DAN) yang bertujuan menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat, serta menjadikan sektor agromakanan berdaya saing.

SEKURITI MAKANAN NEGARA

5. Sistem makanan negara perlu diperkukuh supaya lebih berdaya tahan dan mampan, terutama sebagai persediaan menangani krisis global selain pandemik COVID-19 yang mungkin berlaku pada masa akan datang.

6. Ini termasuklah meningkatkan prestasi rangkaian di semua aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan termasuklah keselamatan makanan serta pemakanan.

7. Sehubungan itu, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara pada 25 Mac 2020 bagi merangka dasar sekuriti makanan secara holistik.

8. Menerusi platform ini, Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 telah dibangunkan dengan mengambil kira isu dan cabaran sekuriti makanan negara.

9. Kesemua dasar dan pelan itu akan saling melengkapi, bagi menjayakan usaha negara dalam meningkatkan kemampanan sistem agromakanan.

PRESTASI SEKTOR AGROMAKANAN NEGARA

10. Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan sebelum ini ternyata begitu membanggakan. Setelah dilancarkan, sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (atau KDNK) negara ternyata meningkat dengan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.8% pada tahun 2020. Peningkatan ini hampir 100% berbanding pertumbuhan KDNK pada 2010.

11. Jumlah eksport bahan makanan turut meningkat dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.4%, iaitu daripada RM18.1 bilion kepada RM33.7 bilion bagi tempoh tahun yang sama. Ternyata sektor agromakanan hari ini memiliki nilai tambah yang berpotensi meningkatkan pendapatan di sepanjang rantaian peserta industri.

12. Demi meneruskan kejayaan Dasar Agromakanan Negara yang dilancarkan pada 2011 itu, maka pada hari ini DAN 2.0 telah digubal. Ia bertujuan meneruskan agenda pembangunan sektor agromakanan, dengan tumpuan khusus terhadap usaha meningkatkan sekuriti makanan negara.

13. Usaha tersebut bakal dijayakan melalui pemodenan dan pertanian pintar serta memperkukuh rantaian nilai agromakanan. Keutamaan dasar kali ini, ditumpukan kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan pendapatan serta kualiti hidup dalam kalangan pengeluar sektor makanan.

MENUJU NEGARA PERTANIAN PINTAR

14. Isu sekuriti makanan semakin mendapat tumpuan di peringkat global. Dalam Persidangan United Nations Food Systems Summit pada 23 September lalu, saya telah menggariskan fokus transformasi sistem makanan negara. Fokus ini bakal dilaksanakan melalui DAN 2.0, dengan tempoh pelaksanaannya yang selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

15. Bagi mencapai matlamat DAN 2.0, kaedah pertanian pintar menjadi fokus memodenkan sektor ini. Ia bertujuan meningkatkan produktiviti yang merangkumi semua subsektor agromakanan. Pertanian pintar ini merupakan antara Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama yang telah digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

16. Sehubungan itu, DAN 2.0 telah meletakkan strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagai key game changer bagi menjayakan transformasi sektor agromakanan. Ia bakal dipacu melalui dana pembiayaan, insentif pelaburan dan tenaga kerja bagi meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

17. Dalam hal berkaitan, bidang Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersilan dan Inovasi akan menjadi nadi pembangunan sektor ini. Seiring itu, kerjasama pelbagai agensi penyelidikan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, turut digembleng dalam menjayakan DAN 2.0 ini.

18. Melalui kerangka DAN 2.0 beserta dokumen pelan tindakan yang telah disediakan, sasaran purata pertumbuhan sektor agromakanan dijangka berkembang pada kadar 4.5% setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas.

19. Marilah kita menjayakan DAN 2.0, menerusi kolaborasi bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan demi kelangsungan prestasi sektor agromakanan negara.

20. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.

Sekian,

Wabillahi Taufiq Walhidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri