Majlis Penyerahan Felo Perdana Tahun 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PENYERAHAN FELO PERDANA TAHUN 2021
13 OKTOBER 2021(RABU)| 12:30 TENGAH HARI
DEWAN TEATER ARAS 1, BLOK TIMUR, BANGUNAN PERDANA PUTRA

Bismillahirrahmaanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

1. Alhamdullillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana mengizinkan kita untuk bersama bagi menyempurnakan Majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana Tahun 2021 pada hari ini. Pertamanya, marilah kita menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis pada petang ini.

2. Felo Perdana yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan merupakan program berprestij yang sentiasa dinanti-nantikan oleh anak-anak muda. Tahun ini merupakan tahun ke-9 pelaksanaannya sejak 2013 dan sehingga kini telah mengumpulkan penyertaan seramai 617 anak muda.

3. Peringkat awal pelaksanaannya, kerajaan melihat perlunya satu program yang memberi pelbagai maklumat berhubung dasar dan peranan setiap kementerian menerusi satu program khusus. Ia bertujuan mendidik anak-anak muda sebagai Felo, dan ditempatkan bersama Ahli-ahli Jemaah Menteri yang menjadi Mentor mereka.

4. Di sana, Felo Perdana yang terpilih ini berperanan sebagai ‘Duta Muda Kerajaan’. Mereka diberi ruang untuk menyertai semua program yang melibatkan Ahli-ahli Jemaah Menteri. Ini termasuklah menyertai aktiviti di peringkat Parlimen yang diwakili.

HASRAT MURNI PROGRAM FELO PERDANA

5. Sejak pelaksanaannya, program ini ternyata telah memberikan impak yang sangat baik, bukan sahaja kepada Kerajaan tetapi juga kepada generasi muda. Ramai Felo yang masih terus berkhidmat dengan Mentor masing- masing.

6. Selain itu, ada Felo yang terus mendapat tawaran sebagai penjawat awam, ada juga yang menerima tawaran daripada sektor korporat dan ada pula yang memilih untuk menjadi usahawan, aktivis dan ahli politik.

7. Felo-felo yang terdidik melalui program ini ternyata memiliki kemahiran dalam bidang penulisan yang meliputi penulisan artikel berita, penyediaan teks ucapan dan sentiasa memberi idea yang segar kepada perancangan program baru di peringkat kementerian dan kerajaan.

8. Meskipun objektif asal pengambilan Felo ini ialah sekadar memberi pendedahan berhubung senario sebenar pentadbiran kerajaan, namun manfaat yang mereka perolehi lebih daripada itu.

9. Bahkan, pengalaman berkhidmat bersama Mentor mereka, telah menjadi satu nilai tambah yang besar ertinya dalam membantu Felo-felo ini menempuh alam kerjaya.

PLATFORM PERKONGSIAN IDEA BERNAS

10. Program Felo Perdana menjadi platform melatih Felo-felo terpilih dengan kemahiran kepimpinan beraras tinggi. Latihan ini dilaksanakan menerusi penempatan secara langsung bersama Ahli-Ahli Jemaah Menteri.

11. Di setiap penempatan itu, mereka diberikan platform untuk berkongsi idea dan visi mengenai masa depan. Ini termasuklah ruang berkongsi idea dan menjana inovasi sosial bagi memulihkan semula negara yang kini sedang memasuki era endemik COVID-19.

12. Program Felo Perdana ini menyediakan pentas mengumpul pengalaman dan kefahaman sebelum berdepan dengan alam pekerjaan yang sebenar. Ia menjanjikan pengalaman yang amat berharga kepada Felo yang bijak memanfaatkan peluang.

13. Oleh itu, setiap mereka dinasihatkan sentiasa membuat penilaian, berfikiran matang dan merancang karier masing- masing secara kendiri.

14. Menyorot fakta sejak program ini bermula, ia telah mendapat tempat dalam kalangan Menteri-menteri Kabinet dan anak- anak muda. Maka, tidak hairanlah apabila ada dalam kalangan Felo yang terpilih sanggup meninggalkan pekerjaan asal mereka demi menyertai program ini.

‘DUTA MUDA KERAJAAN’

15. Kesemua anak muda berprestasi tinggi yang terpilih ini bakal ditempatkan di Pejabat Ahli Jemaah Menteri di setiap kementerian, termasuk di Pejabat Ketua Setiausaha Negara. Sebentar lagi, mereka akan diperkenalkan kepada Mentor masing-masing.

16. Setiap Mentor yang diberikan ini memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri. Kepada setiap Felo, gunakanlah peluang yang ada sebaik-baiknya. Bukalah minda seluasnya sepanjang menjalani program ini, meskipun mungkin ada penempatan tertentu tidak selari dengan bidang pengkhususan ketika di universiti. Insan yang cemerlang bermula dengan memiliki keterbukaan minda.

17. Selain itu, seiring kecenderungan anak muda semasa, saya mengingatkan supaya kesemua Felo sentiasa berwaspada setiap kali memuat naik bahan di laman sosial peribadi masing-masing. Anda perlu sedar bahawa status anda kini telah berbeza berbanding anak-anak muda lain. Anda kini menjadi ‘Duta Muda Kerajaan’.

18. Bermula detik ini, setiap tingkah peribadi anda kini mewakili kerajaan dan masa depan negara. Anda menjadi pembawa dan penyampai suara anak muda dalam memastikan keberkesanan setiap perancangan dan pelaksanaan yang melibatkan mereka.

PENUTUP

19. Seramai 64 orang anak muda berprestasi tinggi telah terpilih sebagai Felo Perdana kali ini. Mereka telah melalui proses pemilihan dan saringan yang terperinci. Justeru, saya mengucapkan syabas kepada kesemua Felo ini.

20. Semoga platform sebagai Felo ini dimanfaatkan bagi mempelajari sebanyak mungkin ilmu dan kemahiran dari penempatan di Kementerian masing-masing. Pada masa yang sama, kongsikanlah kemahiran itu bersama rakan- rakan yang memerlukan.

21. Semoga usaha kita ini memberi makna yang besar terhadap usaha melahirkan generasi kepimpinan masa depan yang terbaik untuk negara ini. Sekali lagi, Syabas kepada kesemua 64 ‘Duta Muda Kerajaan’ Program Felo Perdana Tahun 2021.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri