Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara 2021

MAJLIS PELANCARAN HARI SUKAN NEGARA 2021
09 OKTOBER 2021 / SABTU
Dewan Podium, Menara KBS

YB DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU
Menteri Belia dan Sukan

YB SENATOR DATO’ SRI TI LIAN KER
Timbalan Menteri Belia dan Sukan

YBHG. TAN SRI DATO’ SERI MOHD. ZUKI BIN ALI
Ketua Setiausaha Negara

YBHG. TAN SRI MOHD KHAIRUL ADIB BIN ABD RAHMAN
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

YBHG. DATUK M. NOOR AZMAN BIN TAIB
Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan

Ahli-Ahli Jemaah Menteri, Dif-Dif Kehormat Tuan-tuan dan Puan-puan.

Bismillahirrahmaanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun secara fizikal dan maya dalam norma baharu pada pagi ini, untuk meraikan Sambutan Hari Sukan Negara 2021, dengan tema ‘Towards Sporting Nation.’

  2. Sejak Hari Sukan Negara disambut bermula pada tahun 2015, negara telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah sebagai sebuah agenda nasional dalam melahirkan Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

  3. Sambutan Hari Sukan Negara tahun ini disambut penuh makna, selepas setahun kita tidak dapat meraikannya ekoran pandemik COVID-19.

  4. Sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya, bertujuan meraikan segala usaha dan kejayaan kita dalam membudayakan sukan dan riadah, seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009.

  5. Sebagai individu yang pernah menjawat portfolio Menteri Belia dan Sukan, saya faham betapa sambutan sebegini memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak.

  6. Sehubungan itu, saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada YB Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu serta seluruh keluarga Kementerian Belia dan Sukan (atau KBS), pelbagai agensi kerajaan mahupun swasta yang telah berusaha memastikan acara hari ini disambut serentak di seluruh negara.


    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

  7. Pihak kerajaan sedia maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik COVID-19. Aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas. Paling membimbangkan ialah kesannya terhadap industri sukan.

  8. Saya difahamkan, bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 1,968 buah perniagaan berkaitan sukan terpaksa menamatkan operasi kerana kekurangan modal pusingan, tidak dapat menampung kos operasi dan sebagainya. Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta instruktur sukan.

  9. Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan.

  10. Bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, Kementerian Belia dan Sukan (atau KBS), pada 5 Julai 2021 telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (atau IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Inisiatif-inisiatif tersebut telah diwujudkan sebagai usaha KBS, dalam menambah nilai dan menyokong pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (atau PEMULIH).

  11. Prosedur Operasi Standard (atau SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (atau PPN), merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor ini dapat beroperasi semula.

  12. Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan melalui pelaksanaan PPN, akhirnya mendorong kepada pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 September lalu.

  13. Sejak itu aktiviti sukan kembali rancak dengan pematuhan Keluarga Malaysia terhadap SOP yang ketat. Saya dimaklumkan dalam tempoh sebulan sejak keizinan diberikan, jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan telahpun melebihi 1.4 juta orang peserta. Penyertaan ini melibatkan ribuan aktiviti yang bermanfaat, termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

  14. Justeru, kerajaan bersama KBS berasa yakin bahawa kesemua aktiviti yang dilaksanakan secara hibrid itu, akan disertai lebih ramai lagi ahli Keluarga Malaysia menjelang penghujung tahun ini.

    Keluarga Malaysia yang dikasihi,

  15. Sukacita saya kongsikan usaha terbaharu kerajaan dan KBS iaitu Pelancaran Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, pada pagi ini yang merupakan satu dokumen komprehensif yang menggariskan objektif, strategi dan inisiatif yang terancang ke arah memperkasa penglibatan dan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang sukan ke arah menjadikan pembangunan sukan negara yang lebih inklusif dan seimbang.

  16. Pelan tindakan ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara dan Akta Pembangunan Sukan 1997 serta dasar dan perundangan di peringkat antarabangsa seperti Olympic Charter, Olympic Agenda 2020, Kazan Action Plan dan The Convention on the Elimination of all Forms of Discrimination Against Women (atau CEDAW).

  17. Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak 10 juta ringgit untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan yang mengandungi 5 teras, 8 objektif, 19 strategi dan 45 inisiatif. Susulan itu juga, Jawatankuasa Wanita Dalam Sukan telah ditubuhkan bagi merancang dan memantau pelaksanaan pelan tindakan ini. Jawatankuasa ini dianggotai oleh 15 orang pakar rujuk terdiri daripada wakil kementerian, badan sukan, bekas atlet dan individu berpengalaman.

  18. Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan disasarkan mampu meningkatkan penglibatan keseluruhan wanita dalam aktiviti sukan, kepimpinan dalam badan sukan dan penyertaan dalam kejurulatihan dan kepegawaian sukan.

  19. Pada masa sama, menyedari peri pentingnya pembangunan bakat-bakat sukan bagi melahirkan juara di temasya sukan antarabangsa, pada hari ini, kita turut melancarkan Program Talent Identification and Development yang dinamakan Program MyTID KPM-KBS melalui kerjasama rentas kementerian di antara KBS dan Kementerian Pendidikan Malaysia (atau KPM).

  20. Program MyTID KPM-KBS ini dianggarkan melibatkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih (dikenali sebagai Talent Eagle) serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (Tahun 1-6) yang melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon.

  21. Program ini dijangka akan membantu memperluaskan penyertaan bakat-bakat baharu (talent pool) seawal usia 7 tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dengan lebih awal dan mengurangkan risiko keciciran bakat.

  22. Menyedari kepentingan sukan sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara, KBS juga sedang menggubal sebuah Pelan Tindakan Industri Sukan Negara. Pelan yang bersifat komprehensif dan kompetitif ini bertujuan menjadikan sukan sebagai sumber baharu dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara, seiring perkembangan di peringkat global.

  23. Pelan ini amat wajar dibentuk setelah mengambil kira analisis berasaskan data ekonomi dunia yang menunjukkan nilai pasaran global sukan mencecah hampir388.3 bilion dollar Amerika pada tahun 2020 dan dijangka terus

  24. positif berkembang dan mencecah 599.0 bilion dollar Amerika pada tahun 2025. Data yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (atau MITI) pada tahun 2020 pula menunjukkan seramai 32.7 juta rakyat Malaysia telah membelanjakan 430 juta ringgit bagi tujuan sukan dan riadah.

  25. Secara keseluruhan, Pelan Tindakan Wanita Dalam Sukan, Program Talent Identification and Development dan Pelan Tindakan Industri Sukan Negara merupakan sebahagian daripada hala tuju perancangan dan pembangunan sukan yang sedang dibentuk oleh KBS melalui Visi Sukan Negara 2030.

    Keluarga Malaysia yang dikasihi,

  26. Temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 telah memberi impak yang sangat membanggakan negara. Pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 misalnya, kita berjaya menggondol pingat gangsa dan perak. Pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pula, sejumlah lima pingat diperolehi, tiga daripadanya adalah pingat emas.

  27. Justeru pada hari ini, marilah kita memberikan penghormatan kepada mereka yang telah menumpahkan bakti dan jasa kepada negara, iaitu:

    a) Dato’ Mohd Azizulhasni Awang
    b) Aaron Chia
    c) Soh Wooi Yik
    d) Bonnie Bunyau Anak Gustin
    e) Cheah Liek Hou
    f) Abdul Latif Romly
    g) Chew Wei Lun dan
    h) Jong Yee Khie

  28. Pencapaian ini adalah hasil prinsip kebersamaan semua pihak, khususnya para atlet dan jurulatih masing-masing. Ketika seluruh dunia berperang melawan pandemik COVID-19, mereka berlatih dalam keadaan serba getir, demi mengangkat nama negara. Kita perlu melihat kesungguhan ini pada diri setiap atlet, termasuk mereka yang pulang tanpa membawa sebarang pingat.

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

  29. Akhir kata, marilah kita menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu, sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

  30. InsyaAllah akan lebih banyak keizinan yang bersesuaian dengan faktor kesihatan akan diberikan pada masa hadapan. Sebab itu, sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi SOP yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah.

  31. Dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya melancarkan Hari Sukan Negara 2021.

Sekian,

Wabillahi taufiq wal hidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri