Kenyataan Media Berkaitan Program Komprehensif Untuk Peminjam B50 Yang Terjejas

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
PROGRAM KOMPREHENSIF UNTUK PEMINJAM B50 YANG TERJEJAS

Sejajar dengan usaha membantu peminjam yang berada dalam kumpulan 50 peratus terbawah atau B50, kerajaan ingin mengumumkan bahawa Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) akan dilaksanakan oleh sektor perbankan di dalam masa terdekat.

URUS merupakan program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman yang komprehensif dan akan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas, yang turut merangkumi peminjam yang berada dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar (gross household income) kurang dari RM5,880 sebulan.

Kemudahan yang ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga (3) bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan, termasuk pengurangan kadar faedah. Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman/ pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat datipada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Program URUS ini telah dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Butiran selanjutnya mengenai program URUS akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

Inisiatif oleh sektor perbankan jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha Kerajaan untuk membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini telah pun mendapat manfaat dari program moratorium yang diumumkan di bawah pakej- pakej bantuan dan rangsangan Kerajaan sejak Mac 2020.

Kerajaan berharap dengan pendekatan whole-of-nation dan penyatuan usaha seluruh rakyat Malaysia, kita mampu merealisasikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan.

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri Malaysia

13 Oktober 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri