Kenyataan Media Berkaitan Peralihan Fasa Dan Kelonggaran SOP

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

PERALIHAN FASA DAN KELONGGARAN SOP

A. Peralihan Fasa-Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini bersetuju untuk peralihan Fasa PPN bagi negeri-negeri berikut bermula 25 Oktober 2021:

Johor dan Terengganu : Beralih dari Fasa 3 ke Fasa 4

Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.

B. Syarat vaksinasi lengkap bagi golongan remaja

Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan remaja yang berumur 12 hingga 17 tahun telah bermula secara rasmi pada 20 September 2021. Setakat semalam, 21 Oktober 2021, 11:59 pm, kadar vaksinasi dos pertama bagi golongan remaja telah mencapai 80.2% atau bersamaan 2,524,156 individu. Kadar ini merupakan antara yang terpantas di dunia.

Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini telah bersetuju agar kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa ketika ini turut diperluaskan kepada golongan remaja yang telah divaksin lengkap. Ini bermakna, syarat vaksinasi lengkap bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun akan dinyatakan dalam semua SOP.

Bagaimanapun, ia tidak akan dilaksanakan serta merta. Pihak Kerajaan akan selaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan dan memberi golongan remaja ‘grace period’ selama 3 minggu atau sehingga pertengahan bulan November. Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80% remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap.

C. SOP Gelembung Pelancongan Antarabangsa (Inbound) bagi Projek Rintis Pulau Langkawi

Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini turut telah bersetuju dengan cadangan SOP yang dibentangkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung Gelembung Pelancongan Antarabangsa (Inbound) bagi Projek Rintis Pulau Langkawi.

Sehubungan itu, bagi pelancong antarabangsa yang berhasrat memanfaatkan gelembung pelancongan antarabangsa ini perlulah memenuhi syarat dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti berikut:

a. Pra perlepasan

i. Kumpulan sasaran
– Pelancong berkualiti (high yield)
– Individu yang telah divaksin lengkap
– Anak di bawah umur 18 tahun wajib hadir bersama-sama ibu bapa/penjaga masing-masing yang telah divaksin lengkap
– Senarai negara yang dibenarkan tertakluk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)/Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)/Kementerian Luar Negeri (KLN)

ii. Tempoh Tinggal
– Sekurang-kurangnya 3 hari
– Tiada syarat kuarantin dikenakan (terpakai untuk Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi sahaja)

iii. Ujian PCR-RT COVID-19
– 72 jam sebelum berlepas
– Wajib dalam bentuk digital / cetakan

iv. Insuran
– Min US$ 80,000

v. Khidmat pelancongan
– Wajib (pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC

vi. Passport & Visa Health Declaration Form LoU and Indemnity
– Wajib

vii. Aplikasi MySejahtera
– Muat naik dan mendaftar sebelum berlepas

b. Ketibaan dan Penginapan

i. Melalui KLIA
– Rapid Molecular Testing (1 jam 30 minit)
– Atau terus ke Langkawi (wajib ujian RT-PCR COVID-19 pada hari kedua)
– Sekiranya positif, akan terus dibawa ke pusat pengasingan / kuarantin / hospital swasta (mengikut Kategori)

ii. Pemandu Pelancong
– 1 TG dalam satu kumpulan lawatan (maksimum 20 orang)

iii. Ujian PCR-RT COVID-19
– Sekiranya melancong selama 3 hari, ujian saringan pada hari kedua memadai (boleh digunakan untuk berlepas pulang ke negara asal)
– Sekiranya melancong lebih 5 hari, wajib melakukan ujian saringan pada hari kelima
– SEMUA kos ditanggung sendiri oleh pelancong

c. Pra perlepasan pulang ke negara asal

i. Ujian PCR-RT COVID-19
– 72 jam sebelum berlepas
– Sekiranya melancong selama 3 hari, ujian saringan pada hari kedua boleh digunakan untuk berlepas pulang ke negara asal

d. Projek rintis

– Akan dijalankan selama 3 bulan bagi KKM dan MKN menilai keberkesanannya sebelum dilaksanakan di pulau-pulau peranginan serta kawasan pelancongan yang lain

D. SOP Kemasukan Pekerja Asing ke Malaysia (Sektor Perladangan)

Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini telah bersetuju dengan cadangan SOP kemasukan pekerja asing ke Malaysia khususnya bagi memenuhi keperluan sektor perladangan seperti yang dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM). SOP-SOP ini akan dikuatkuasakan kepada semua sektor yang ditetapkan dan diluluskan secara case-by-case basis oleh Jawatankuasa Pekerja Asing yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari juga telah meluluskan SOP kemasukan pekerja asing ke negara ini. Sementara itu, kuota dan tarikh kemasukan pekerja asing bagi sektor pekerjaan yang lain adalah tertakluk kepada keputusan Mesyuarat Bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia.

SOP kemasukan pekerja asing ialah seperti berikut:

a. Pra Perlepasan

i. Telah menerima vaksinasi lengkap di negara sumber (diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO))
ii. Melakukan ujian saringan menggunakan RT-PCR 72 jam sebelum meninggalkan negara asal
iii. Mengemukakan sijil vaksinasi
iv. Patuhi syarat dan dasar imigresen serta lain-lain kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan

b. Semasa Ketibaan

i. Hanya melalui satu pintu masuk iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 dan KLIA 2 sahaja (kecuali pekerja asing dari Thailand – kru vessel penangkapan ikan tempatan melalui laluan darat seperti Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian, Betong dan Rantau Panjang).
ii. Urusan dengan wakil majikan dan Agensi Kerajaan yang berkaitan (Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Agensi Kawal Selia dan lain-lain)
iii. Special Lane kemasukan pekerja asing.
iv. Wakil Perwakilan Diplomatik negara sumber (optional)

c. Selepas Ketibaan (tempoh kuarantin)

i. Tempoh kuarantin diselaraskan dengan KKM (tempoh Kuarantin wajib adalah 7 hari)
ii. Pusat Kuarantin yang diperakui oleh Kerajaan di sekitar Lembah Klang sahaja (pengecualian kepada Pekerja Asing warga Thailand yang bekerja sebagai kru vessel penangkapan ikan tempatan yang akan menggunakan Pusat Kuarantin yang berdekatan dengan pintu masuk)
iii. Ujian RT-PCR pada hari kedua dan hari ke-5 tempoh kuarantin
iv. Sekiranya positif, kes kategori 1 atau 2 perlu disolasi di PKRC swasta, manakala kes kategori 3, 4 dan 5 perlu dirujuk ke hospital swasta;

d. Pasca Kuarantin

i. Selepas tamat kuarantin dan disahkan negatif, pekerja asing akan dibawa ke premis majikan
ii. Pengangkutan disediakan oleh majikan
iii. Urusan FOMEMA
iv. Pekerja asing perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh majikan

Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik ini tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata. Sebaliknya, ia juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan. Justeru, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PENGERUSI JAWATANKUASA KHAS PENGURUSAN PANDEMIK COVID-19
22 OKTOBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri