Kenyataan Media Berkaitan Komitmen Malaysia Dalam Menerajui Agenda Perubahan Iklim Negara

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI
KOMITMEN MALAYSIA DALAM MENERAJUI AGENDA PERUBAHAN IKLIM NEGARA

  1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia atau Malaysia Climate Change Action Council (MyCAC) Bil. 2 Tahun 2021 pada 11 Oktober 2021. Majlis ini dianggotai oleh 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri, 16 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan 2 pakar sebagai ahli jemputan.

  2. Isu perubahan iklim perlu ditangani segera dengan mengambil kira impak fenomena pemanasan global yang disebabkan oleh peningkatan pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gas – GHG) ekoran aktiviti manusia. Ia akan memberi kesan kepada sistem iklim global yang seterusnya menyebabkan kejadian cuaca yang lebih ekstrem. Selain itu, pemanasan global juga akan memberi impak kepada pembangunan sosio-ekonomi negara sekiranya tidak ditangani secara bersama pada kadar segera.

  3. Oleh itu, adalah penting untuk negara terus komited dan progresif dalam menangani isu perubahan iklim ini. Ingin saya tekankan bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negara di bawah pentadbiran kerajaan pada masa sekarang. Komitmen ini terkandung di dalam Tema Ketiga Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) – Melonjakkan Kemampanan.

  4. Mesyuarat mengambil maklum berhubung Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change/ UNFCCC COP-26) bakal diadakan di Glasgow, Scotland pada 31 Oktober hingga 12 November 2021.

  5. Buat julung kalinya, pendirian negara yang bakal dibentangkan semasa UNFCCC COP-26 telahpun dibincangkan di peringkat tertinggi negara melalui platform MyCAC. Walaupun saya dan YB Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA) tidak dapat menghadiri World Leader’s Summit pada 1 hingga 2 November 2021 dan UNFCCC COP-26, keputusan mesyuarat telah memberi mandat kepada delegasi yang diketuai oleh KASA untuk menyampaikan Kenyataan Negara. Antara intipati perbincangan dan keputusan mesyuarat yang akan diketengahkan dalam Kenyataan Negara adalah seperti berikut:

    i. Pengemaskinian Nationally Determined Contributions (NDC) yang lebih ‘ambitious’ kepada UNFCCC COP-26. Malaysia berhasrat untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus (berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar) pada tahun 2030 kelak. Pengurangan intensiti tersebut dibuat tanpa syarat (unconditional) dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini;

    ii. Aspirasi negara untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar (net- zero GHG emissions) seawal-awalnya pada tahun 2050. Pencapaian sasaran ini adalah tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (Long-Term Low Emissions Development Strategy/ LT-LEDS) yang akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2022 oleh KASA;

    iii.Pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (Domestic Emissions Trading Scheme/ DETS) oleh KASA, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad. Skim ini melibatkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestik. Kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara;

    iii. Meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100% kenderaan kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (non-internal combustion engine/ ICE) menjelang 2030, mengekalkan sekurang-kurangnya 50% litupan hutan negara, menggalakkan ‘zero waste’ dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan konsep ekonomi kitaran;

    iv.Kerajaan juga telah mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air, bagi memastikan pengurusan air secara lestari; dan

    v.Menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat.

  6. Dalam hal ini juga, ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara-negara di rantau ini.

  7. Memandangkan isu perubahan iklim ini merentas sektor, dan kini dikaitkan juga dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda tersebut. Justeru, kerajaan wajar memperkukuhkan tadbir urus perubahan iklim negara, antaranya melalui penubuhan Pusat GHG Kebangsaan di bawah KASA. Ia penting bagi meningkatkan ketelusan pelaporan maklumat perubahan iklim negara dan data perubahan iklim yang diuruskan oleh pusat tersebut, supaya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan rendah karbon. Negara juga perlu mengambil kira pendekatan kesihatan planet (planetary health) bagi menangani krisis iklim dan melindungi kesihatan Keluarga Malaysia.

  8. Selaras dengan pendekatan ‘whole of nation’, semua pemegang taruh diseru untuk bersama-sama menyumbang kepada agenda perubahan iklim negara dan mengarus perdana isu tersebut dalam rancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar negara.

#KeluargaMalaysia #BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
11 OKTOBER 2021

Similar Posts:

Share:
Scroll to top
Telegram Pejabat Perdana Menteri